29 December 2009

2009

Salam...

2009 sudah hampir melabuhkan tirai
mungkin ada mimpi yang belum usai
mungkin ada harapan yang tak sampai
juga, kekusutan yang tak mampu dihurai
serta, jawapan-jawapan yang tak pernah selesai
jatuh bangun jatuh tersungkur memang lumrah
tapi, berapa di antara kita yang pasrah
terus mampu untuk cuba gagah melangkah
dan, siapakah yang ikhlas memapah menampung agar tak rebah?
yang terpampang di skrin kehidupan adakala bukan realiti
sekadar ungkapan, ucapan, paparan penyedap hati
lari hakikat dan hukum kehidupan jauh sekali
hidup ini umpama mimpi dalam mimpi
lena yang panjang bagaikan sudah mati
bukan tak ada motivasi, tetapi...
segalanya masih belum menembusi hati
yang sekeras tembok besi
namun, jauh di lubuk sanubari
keinginan pada sebuah kehidupan belum mati
biar malap sinar itu tetap masih bererti
untuk bangun semula dan berdiri
pada sebuah kehidupan baru yang dicari

11 October 2009

APO?



SALAM... lama tak update ya! Alasan biasa-biasanya - BZ! Alasan biasa - malas! Walaupun ada perkara yang hendak ditulis, tetapi tak tertuliskan di sini. Walau ada perkara yang hendak dikongsi, tetapi kadang-kadang berasa ia tak perlulah dikongsikan di sini. Biarlah... yang penting hidup dan kehidupan masih berjalan seperti biasa atau mungkin berselang-selikan hal-hal luarbiasa.

Sekadar nak berkongsi apa yang dirasakan patut. Ini cover Majalah APO? 259, yakni keluaran terkini yang dijangkakan akan mula berada di pasaran pada 12 OKTOBER 2009. Menyebut tentang Majalah APO?, sebenarnya saya bagai sirih pulang ke gagang (betul ke?). Kalau dulu, pada keluaran sulung Majalah APO? (Disember '99) saya berasa lega kerana melihat APO? edisi perdananya siap dicetak. Ketika itu, kami (Petai, Rambai dan saya) ditempatkan di sebuah bilik di dalam stor di ground floor pejabat MOY di USJ 9. Suasana opis yang sangat menyeramkan apabila melepasi waktu Mahgrib - eheheheh! Saya tak tahu orang lain macam mana, tapi saya pernah stay sampai malam dan mendengar bola ping pong melantun-lantun di atas lantai di bilik bersebelahan stor tersebut. Memang kebetulan budak-budak MOY selalu main ping pong di bilik tersebut pada waktu petang. Tapi apa kejadah-giler-hapanya ada orang main ping pong jam 11 malam di dalam gelap? Tak apa... lu pikir la sendirik!

Itu kisah sampingan saya pada awal-awal peerbitan Majalah APO?. Kemudian setelah mencecah hampir keluaran ke-30 saya meninggalkan APO? untuk menguruskan penerbitan Majalah ERA@MOY. Saya buat team baru atas arahan Pengurus Besar dan hanya RIO yang ketika itu jadi graphic designer APO? saya bawa ke ERA@MOY. Majalah ni pelik sikit sebab hanya dilancarkan pada keluaran ke-9, dan kemudian dihentikan penerbitannya pada keluaran ke-15. Mungkin situasi pasaran dan tidak mampu mencapai target yang diharapkan oleh big boss.

Selepas pengumuman penutupan ERA@MOY, saya menghadap Pengurus Besar sekali lagi untuk projek baru - BLUES SELAMANYA! Dalam senarai yang diberikan saya ada kartunis Gayour, Niezam, Keladi, Ubi, Bawang, Skar, Topan, Bayok, Norman... yang kemudiannya ada Jakalll. Bak kata orang lautan mana yang tak bergelora, kan? Saya terpaksa menghadapi 'kehilangan' staff. Pada awalnya, saya terpaksa 'berhentikan' colourist WENG atas sebab-sebab yang memang dah tak boleh dielakkan. Kemudian digantikan oleh Amir. Rio pun kemudiannya beralih arah sebab nak mencuba haluan sendiri. Norman, Bayok dan Topan pun angkat kaki dengan alasan masing-masing. Kemudian datang pulak ribut sapu staff yang lain - Gayour, Niezam dan Keladi yang ketika itu freelancer berpindah ke Majalah G3.

Sebenarnya dunia pererbitan di Malaya ni tak besar mana pun. Kita sebenarnya mempunyai ramai bakat baru terpendam. Dengan pemergian yang senior untuk mencari sesuatu yang 'lebih bagus' adalah merupakan rezeki dan membuka ruang untuk pelukis baru masuk. Saya memanggil She, kemudian Pac untuk berkarya di BS. She kemudian mahu mencari sesuatu yang mungkin lebih menjamin masa depannya, dia mencari tapak baru dan sekarang di NSTP.

Hakikat dan kenyataan memang tak mampu kita sanggah. Saya terpaksa akur apabila sekali lagi orang atasan memanggil dengan arahan penutupan Blues Salamanya! Kenangannya cukup banyak di sini. Kerana saya memang tak mampu menentang takdir, penutupan itu diterima dengan keterpaksaan atau apa rasa sekalipun. Bermulalah kehidupan saya ibarat duduk dalam perahu kecil di tengah lautan yang bergelora - eheheh. Mungkin Tuhan mahu 'menunjukkan' sesuatu kepada saya. Saya pun memang sedar bahawa tak ada sesuatu yang kekal di dunia ini melainkan DIA. Namun sebagai menusia memang akan ada waktu gagal mengawal emosi. Kerana emosi itu anugerah, maka saya layankan sajalah apa adanya. Lebih kurang dua tahun 'gelandangan' dengan job-job yang tak menentu. Terima kasih kepada orang-orang yang ada di dekat saya, yang cuba bagi moral support, kepada kawan-kawan yang tinggal tak berapa ramai yang sudi tolong. Jasamu kukenang jua.

Kini, saya kembali menghadap Majalah APO?... dulu memang saya pernah 'menangis' menghadap dateline dan sekarang pun saya menitik air mata nak menyiapkan layout APO?! Menghadap skrin komputer sepanjang malam memang boleh buat air mata mengalir sebab mata dah letih! Ehehehehe...

Okey, layan eh APO? terkini! Nanti saya tulis lagi apa yang patut. Wassalam....

02 September 2009

Pelita


Pada suatu malam, seorang buta ingin pulang dari rumah sahabatnya. Si sahabat membekalkannya dengan sebuah pelita.

Orang buta itu ketawa dan berkata, “Buat apa saya bawa pelita? Kan tak ada bezanya buat saya!”

Dengan lembut sahabatnya menjawab, “Ini agar orang lain dapat melihat kamu, biar mereka tidak melanggarmu.”

Akhirnya orang buta itu setuju untuk membawa pelita tersebut. Tak berapa lama dalam perjalanan, seseorang telah melanggar si buta.

Dalam keadaan terkejut, dia mengomel, “Hei, kamu kan punya mata! Beri jalan buat orang buta!”

Tanpa berbalas sapa, mereka pun saling berlalu.

Kemudian, seseorang yang lain turut melanggar si buta. Kali ini si buta bertambah marah, “Apa kamu buta? Aku bawa pelita ini kamu tak nampak ke!”

Orang itu membalas, “Kamu yang buta! Apa kamu tidak lihat, pelitamu sudah padam!”

Si buta tertegun!

Menyedari situasi itu, orang yang melanggar si buta tadi meminta maaf, “Oh, maaf, sayalah yang ‘buta’, saya tidak melihat bahawa anda adalah orang buta.”

Si buta tersipu menjawab, “Tidak apa-apa, maafkan saya juga atas kata-kata kasar saya.”

Dengan tulus, orang itu membantu menyalakan kembali pelita yang dibawa si buta. Mereka pun meneruskan perjalanan masing-masing. Dalam perjalanan selanjutnya, ada lagi pejalan kaki yang melanggar si buta itu.

Kali ini, si buta lebih berhati-hati, dia bertanya dengan santun, “Maaf, apakah pelita saya padam?”

Orang yang melanggarnya menjawab, “Err, sebenarnya saya pun mahu bertanyakan hal yang sama.”

Senyap sejenak!

Secara serentak mereka bertanya, “Apakah anda orang buta?”

Dan, sejurus kemudian serentak juga mereka menjawab, “Ya!” Kemudian diiringi tawa.

Mereka pun berupaya saling membantu menemukan kembali pelita mereka yang terjatuh ketika berlanggar sesama sendiri tadi. Pada waktu itu juga, seseorang melewati kawasan itu. Dalam keremangan malam, nyaris saja dia melanggar kedua orang yang sedang mencari-cari pelita mereka. Dia pun berlalu, tanpa mengetahui bahwaa mereka adalah orang buta.

Timbul fikiran di dalam benak orang itu, “Rasanya saya perlu membawa pelita juga, jadi saya boleh melihat jalan dengan lebih jelas, orang lain juga dapat melihat jalan mereka.”

Pelita melambangkan terang kebijaksanaan. Membawa pelita bererti menjalankan kebijaksanaan dalam hidup. Pelita, sama halnya dengan kebijaksanaan, melindungi kita dan pihak lain daripada pelbagai rintangan.


Si buta pertama mewakili mereka yang terselubungi kegelapan batin, keangkuhan, kebebalan, ego, dan kemarahan. Selalu menunjuk ke arah orang lain, tidak sedar bahawa lebih banyak jarinya yang menunjuk ke arah dirinya sendiri. Dalam perjalanan 'pulang', dia belajar menjadi bijak melalui peristiwa demi peristiwa yang dialaminya. Dia menjadi lebih rendah hati kerana menyedari kebutaannya dan dengan adanya belas kasih daripada pihak lain. Dia juga belajar menjadi pemaaf.

Orang pertama yang melanggar si buta mewakili komuniti pada umumnya, yang kurang kesedaran, yang kurang peduli. Kadang-kadang, mereka memilih untuk 'membuta'kan mata walaupun mereka mampu melihat.

Orang kedua mewakili mereka yang seolah berada di hadapan kita, yang sebetulnya menunjukkan kekeliruan kita, sengaja atau tidak sengaja. Mereka boleh menjadi guru terbaik kita. Tak seorang pun yang mahu jadi buta, sudah selayaknya kita saling memaklumi dan saling membantu.

Orang buta kedua mewakili mereka yang sama-sama gelap batin dengan kita. Betapa sulitnya menyalakan pelita kalau kita tidak dapat melihat pelita yang kita bawa. Orang buta sulit menuntun orang buta lainnya. Itulah pentingnya untuk terus belajar agar kita menjadi semakin bijaksana.

Orang terakhir yang melewat kedua-dua si buta mewakili mereka yang cukup sedar akan pentingnya memiliki pelita kebijaksanaan.

Sudahkah kita nyalakan pelita dalam diri kita? Jika sudah, apakah nyalanya masih terang, atau bahkan hampir padam? JADILAH PELITA, bagi diri kita sendiri dan sekitar kita.

Sebuah pepatah berusia 25 abad mengatakan: Sejuta pelita dapat dinyalakan dari sebuah pelita, dan nyala pelita pertama tidak akan meredup. Pelita kebijaksanaan juga begitu, tak akan pernah habis walau dikongsi dengan sebanyak mana sekalipun manusia.

Bila mata tanpa penghalang, hasilnya adalah penglihatan. Jika telinga tanpa penghalang, hasilnya adalah pendengaran. Hidung yang tanpa penghalang membuahkan penciuman. Fikiran yang tanpa penghalang hasilnya adalah kebijaksanaan.

Blog Widget by LinkWithin