10 March 2007

Dunia Kecil Milik Kita : 01

Salam untuk semua…

Pernahkah kamu merasakan bahawa terlalu banyak hal yang harus kamu lakukan, sehingga akhir tak satu apa pun yang dapat dilakukan dengan sempurna? Pernahkah kamu merasakan bahawa kamu sudah terlalu bosan menghadapi kehidupan yang sama dan serupa? Pernahkah kamu merasakan bahawa kamu sebenar-benarnya tak tahu apa yang kamu cari selama-lama ini?

Pernahkah?

Sebenarnya, macam banyak hal dan cerita yang hendak ditulis dan dikongsikan di sini, namun jari-jari bagaikan kaku! Ia bagai tak mahu menari lagi kerana mungkin sudah keletihan. Tidak! Bukan itu alasan yang boleh diguna-pakai untuk ini. Lalu, adakah kerana otak sudah malas untuk mencernakan sesuatu yang boleh disalurkan ke hujung jari ini? Juga bukan begitu alasannya! Jika begitu, mungkinkah kerana hati sudah beku dan sudah kematian perasaan terhadap selera cerita yang boleh dialirkan ke papan kekunci melalui hujung jari?

Entah! Sesungguhnya kita ini hanyalah hamba Maha Pencipta yang terlalu banyak tidak tahunya, sehingga tentang apa yang dimahukan oleh diri sendiri pun tidak jelas.

Ada orang kata, buat saja apa yang kamu ingin lakukan, asal saja ia tak bertentangan dengan hukum. Sama ada hukum agama mahupun hukum kehidupan itu sendiri. Ada pula yang berkata, duduk dan fikirlah apa yang ingin kamu lakukan. Setelah kamu yakin, nah… lakukan saja sepertimana yang kamu inginkan itu. Tetapi sampai bila? Sampai bila harus begini?

Setelah sekian lama berfikir, setelah sekian banyak hal dilakukan – apakah yang kam temui? Kalau kamu masih belum bertemu apa-apa, bukanlah bermakna jalan kamu itu gelap gelita. Atau bukan kerana kamu buta. Mungkin kamu berjalan atas landasan yang lain, yang tidak bersesuaian dengan fitrah kamu yang sebenar-benarnya. Bukan salah kamu semata, kerana ada waktu kamu tak mempunyai banyak pilihan. Dan, andai dihidangkan pilihan, pilihan-pilihan tersebut semuanya ‘pahit’ dan tidak sesuai dengan selera kamu. Tetapi kamu tetap harus menelannya!

Kamu bukan hidup sendirian, tetapi kesendirian itu kadangkala datang walau kamu berdiri dalam keriuhan kehidupan orang lain. Kamu tetap sunyi dan terpencil dalam dunia kecil kamu sendiri. Kamu ‘tak pernah wujud’ bagi orang lain sedangkan tiada apa pun yang melindungi atau menghalangi kamu.

Duduk dan renungkanlah… mengapa semua ini berlaku? Mungkin dalam minda kamu ada seribu satu jawapan yang berlegar. Namun tidak satu pun daripadanya yang mungkin mampu melegakan apatah lagi membawa kamu keluar dari dunia kamu itu. Atau, mungkin kamu sudah penah memikirkannya dan kamu terus juga terkurung dalam dunia ciptaan sendiri itu. Lalu jika begitu, pasrah dan redha… kerana Maha Pencipta Maha Tahu pada setiap apa yang berlaku. Mungkin… Dia tidak mahu memberikan apa-apa untuk kamu di alam fana ini.

Semoga kita semua terus tabah dan tak pernah melupakan-Nya.

16 February 2007

Lilin Harapan

Ada empat batang lilin sedang menyala, dan sedikit demi sedikit habis meleleh. Suasana begitu sunyi, sehingga terdengarlah percakapan di antara mereka.

Lilin yang pertama berkata, “AKU ADALAH DAMAI, namun manusia tak pernah mampu menjagaku. Maka lebih baik aku mematikan diriku saja!” Maka sedikit demi sedikit lilin itu padam.

Lilin yang kedua berkata, “AKU ADALAH IMAN, sayangnya aku tak berguna lagi. Manusia tak mahu mengenalku, untuk itulah tak ada gunanya lagi aku untuk tetap menyala.” Selesai berbicara, tiupan angin memadamkannya.

Dengan rasa sedih, giliran lilin ke tiga pula berkata, “AKU ADALAH CINTA, tak mampu lagi manusia untuk tetap menyala dengan cinta. Manusia tidak lagi memandang dan menganggapku berguna, mereka saling membenci, bahkan mereka membenci yang mencintainya, membenci keluarganya!” Tanpa menunggu waktu yang lama, maka matilah lilin ke tiga.

Tanpa terduga… seorang kanak-kanak masuk ke dalam kamar, dan melihat ketiga-tiga lilin itu telah padam. Kerana takut akan kegelapan, maka dia berkata, “Ehh, apa yang terjadi? Kamu semua harus tetap terus menyala, aku takut kegelapan!”

Lalu dia menangis tersedu-sedu.

Dengan terharu lilin ke empat pun berkata, “Jangan takut, jangan menangis. Selagi aku masih ada dan tetap menyala, kita akan tetap dapat menyalakan ketiga-tiga lilin itu lagi, AKULAH HARAPAN!”

Dengan mata bersinar, kanak-kanak tadi mengambil lilin HARAPAN, lalu menyalakan ke tiga lilin lainnya yang telah padam.

Apa yang tidak pernah mati hanyalah HARAPAN yang ada pada diri kita dan setiap daripada kita semoga dapat menjadi seperti kanak-kanak tersebut. Yang dalam situasi apa pun mampu menghidupkan kembali IMAN, DAMAI, CINTA dengan HARAPANNYA!

15 February 2007

Kucari Damai di Hati

Kegembiraan akan hadir dan melenyapkan pelbagai kegundahan dan kerungsingan apabila kita berusaha menyingkirkan penyebab kegundahan itu dan meraih pelbagai cara yang dapat membuahkan kegembiraan. Melupakan cubaan-cubaan yang telah lampau yang tidak mungkin diulang kembali, dan menyedari bahawa kekalutan hati dan memikirkan hal itu adalah suatu tindakan sia-sia.

Jadi kita harus tidak memikirkan cubaan masa lalu itu. Juga meyakinkan hatinya agar tidak gelisah menghadapi masa yang akan datang, yang dibayangkan dengan bayang-bayang masa depan buruk yang lain. Hendaknya kita mengetahui, bahawa segala peristiwa di masa mendatang, sama ada yang baik atau keburukan, gembira atau derita, adalah tidak dapat diketahui, dan bahwasanya itu semua di tangan Maha Pencipta. Di tangan kita sekalian hamba ini tiada lain adalah usaha untuk mendapat kebaikan dan menghindar keburukan di masa mendatang itu.

Hendaknya kita hamba ini mengetahui, jika kita memalingkan fikirannya dari bayang-bayang kegelisahan masa depan dan bertawakal kepada-Nya untuk menghadapinya serta percaya penuh kepada Maha Pencipta saat melakukan semua itu, nescaya hati kita akan tenteram.

Blog Widget by LinkWithin