28 November 2007

Penjara Emas!


BEBERAPA hari kebelakangan ini, saya banyak berfikir 'ke belakang'... cuba mengundur masa, walaupun sebenarnya masa yang berlalu itu tak boleh saya kembalikan. Sekadar 'menghabiskan' masa yang begitu 'banyak terluang' ketika ini, yang hampir tak sempat saya nikmatinya sebelum ini. Sepanjang lebih 20 tahun saya 'terpenjara' dengan sesuatu yang pada mulanya sekadar hobi, minat dan kemudian berkembang menjadi karier.

Kenapa saya gunakan istilah 'terpenjara', sedangkan ada rakan-rakan yang mengatakan saya bertuah kerana dapat mencapai hampir semua apa yang saya impikan. Sebenarnya, itu hanya yang tersurat... bukan yang tersirat! Itulah sebabnya, apabila saya menerobos terowong masa dan berundur 20 tahun ke belakang, saya berkata alangkah baiknya kalau saya mampu mengubah sesuatu pada waktu itu. Alangkah baiknya...

Saya teringat kata-kata seseorang yang cukup banyak membuat hidup dan kehidupan saya berubah selama ini. Katanya, "Peluang yang sebenar-benar peluang terbaik, hanya akan muncul sekali dalam hidup kita." Pada mulanya saya protes dengan pendapat itu. Mana mungkin kita hanya memiliki atau diberi satu peluang sahaja dalam kehidupan ini. Namun, akhirnya saya faham - maksudnya, peluang yang benar-benar terbaik hanya sekali. Bukan bererti kita tak memiliki peluang-peluang lain.

Makanya, hargai setiap peluang yang ada, manfaatkan sebaiknya, pertimbangkan dengan setenang-tenangnya... kemudian buatlah keputusan. Andai kita silap pertimbangan, nescaya impaknya kalau tidak kita rasakan pada waktu itu mungkin akan kita rasakan secara perlahan-lahan, bersama beranjaknya waktu.

Selepas melihat 'peluang-peluang' yang datang, saya memanfaatkannya. Saya melompat dari satu 'penjara' ke satu 'penjara' lain untuk terus merebut peluang keemasan. Sehingga saya merasakan roda kehidupan ketika itu telah bertukar menjadi 'roda impian'. Apakah perbezaan roda kehidupan dan roda impian?

Roda kehidupan putarannya tak menentu, dan biasanya agak perlahan. Kadang-kadang ia terhenti untuk suatu waktu yang tak kita jangkakan lamanya, sama ada di atas mahupun di bawah. Manakala roda impian sentiasa berputar deras untuk memenuhi impian-impian kita. Roda impian mampu merealisasikan impian kita dalam sekelip mata, dan ia juga mampu memusnahkan impian yang telah diberikannya itu - juga dalam sekelip mata!

Setelah berputar-putar dari roda kehidupan kepada roda impian, suatu masa 'roda' saya berhenti dan meletakkan saya di dalam sebuah 'lombong emas'! Waktu itu memang hampir semua orang lupa bahawa 'lombong emas' ini tetap berupaya menenggelam dan melemaskan sesiapa saja yang ada di dalamnya.

Saya dapat menyaksikan keluar masuknya penghuni lombong emas ini. Memang dalam diam-diam saya semakin memikirkan tentang kemungkinan bahawa mungkin suatu masa kelak saya akan dilemaskan di lombong emas ini. Saya semakin berfikir tetapi bagai tidak mampu berbuat apa-apa, sehingga ada seorang rakan yang pernah meninggalkan lombong emas ini untuk mencuba nasib di luar kembali semula. Katanya kepada saya, "Aku telah kembali semula ke lombong emas ini..."

Benar-benar tepatkan istilah LOMBONG EMAS itu? Andai ia memang lombong emas, pastinya setiap pelombong akan menikmati hasil emas juga. Tetapi mengapa semakin hari emas-emas yang dilombong hanya menghasilkan bijih dan besi?

Setelah 10 tahun saya melombong dilombong emas ini, dan semakin hari semakin merasakan bahawa emas-emas itu tlah digantikan dengan besi - mungkin besi karat! Setelah 10 tahun, akhirnya apa yang saya fikirkan sekitar lima tahun lalu tentang kemungkinan saya lemas atau dilemaskan di lombong emas ini menjadi kenyataan!

Memang saya tenggelam! Namun saya tenggelam bukan bersendirian tetapi bersama beban-beban semasa menjadi pelombong 10 tahun. Lalu, apabila jasad saya berada di dasar lombong emas itu, dengan mencungap saya harus naik ke permukaan untuk menyedut udara. Saya harus!

Biarpun saya bukan timbul dan menyedut udara di permukaan lombong emas itu, saya cukup selesa dengan udara di lombong lain walaupun bukan berstatus lombong emas. Saya pasrah, saya mungkin harus berada di lombong pasir tetapi insya-Allah saya tak akan MAKAN PASIR! Dan, mungkin makan pasir di lombong pasir itu lebih relevan berbanding makan pasir di lombong emas!

Saya kini meninggalkan seluruh beban di dasar lombong emas itu. Saya merangkak keluar dengan bahu yang ringan tanpa 'beban emas' lagi. Saya tahu, saya akan terpaksa memikul 'pasir' selepas ini. Biarlah... kerana saya tahu bahawa PASIR ITU KELAK AKAN MAMPU SAYA NILAIKAN SEPERTI EMAS, insya-Allah.

Tiga hari lalu, ketika bertemu dengan seorang rakan lama yang menganggap saya sebagai salah seorang 'gurunya', kami banyak mengundurkan masa - sekadar melihat kegembiraan dan kesediha masa lampau. Tiba-tiba timbul perkataan 'LOMBONG EMAS' di celahan perbualan kami. Dia sebenarnya lebih dahulu tercampak dalam lombong pasir setelah berada di lombong emas. Kemudian, saya membetulkan istilah LOMBONG EMAS itu....

Saya katakan kepadanya, "Sebenarnya selama ini aku bukan berada di LOMBONG EMAS, tetapi... aku berada di dalam PENJARA EMAS!" Dan, dia senyum sambil mengangguk perlahan tanda faham apa yang aku maksudkan.

0 comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin