10 March 2007

Dunia Kecil Milik Kita : 01

Salam untuk semua…

Pernahkah kamu merasakan bahawa terlalu banyak hal yang harus kamu lakukan, sehingga akhir tak satu apa pun yang dapat dilakukan dengan sempurna? Pernahkah kamu merasakan bahawa kamu sudah terlalu bosan menghadapi kehidupan yang sama dan serupa? Pernahkah kamu merasakan bahawa kamu sebenar-benarnya tak tahu apa yang kamu cari selama-lama ini?

Pernahkah?

Sebenarnya, macam banyak hal dan cerita yang hendak ditulis dan dikongsikan di sini, namun jari-jari bagaikan kaku! Ia bagai tak mahu menari lagi kerana mungkin sudah keletihan. Tidak! Bukan itu alasan yang boleh diguna-pakai untuk ini. Lalu, adakah kerana otak sudah malas untuk mencernakan sesuatu yang boleh disalurkan ke hujung jari ini? Juga bukan begitu alasannya! Jika begitu, mungkinkah kerana hati sudah beku dan sudah kematian perasaan terhadap selera cerita yang boleh dialirkan ke papan kekunci melalui hujung jari?

Entah! Sesungguhnya kita ini hanyalah hamba Maha Pencipta yang terlalu banyak tidak tahunya, sehingga tentang apa yang dimahukan oleh diri sendiri pun tidak jelas.

Ada orang kata, buat saja apa yang kamu ingin lakukan, asal saja ia tak bertentangan dengan hukum. Sama ada hukum agama mahupun hukum kehidupan itu sendiri. Ada pula yang berkata, duduk dan fikirlah apa yang ingin kamu lakukan. Setelah kamu yakin, nah… lakukan saja sepertimana yang kamu inginkan itu. Tetapi sampai bila? Sampai bila harus begini?

Setelah sekian lama berfikir, setelah sekian banyak hal dilakukan – apakah yang kam temui? Kalau kamu masih belum bertemu apa-apa, bukanlah bermakna jalan kamu itu gelap gelita. Atau bukan kerana kamu buta. Mungkin kamu berjalan atas landasan yang lain, yang tidak bersesuaian dengan fitrah kamu yang sebenar-benarnya. Bukan salah kamu semata, kerana ada waktu kamu tak mempunyai banyak pilihan. Dan, andai dihidangkan pilihan, pilihan-pilihan tersebut semuanya ‘pahit’ dan tidak sesuai dengan selera kamu. Tetapi kamu tetap harus menelannya!

Kamu bukan hidup sendirian, tetapi kesendirian itu kadangkala datang walau kamu berdiri dalam keriuhan kehidupan orang lain. Kamu tetap sunyi dan terpencil dalam dunia kecil kamu sendiri. Kamu ‘tak pernah wujud’ bagi orang lain sedangkan tiada apa pun yang melindungi atau menghalangi kamu.

Duduk dan renungkanlah… mengapa semua ini berlaku? Mungkin dalam minda kamu ada seribu satu jawapan yang berlegar. Namun tidak satu pun daripadanya yang mungkin mampu melegakan apatah lagi membawa kamu keluar dari dunia kamu itu. Atau, mungkin kamu sudah penah memikirkannya dan kamu terus juga terkurung dalam dunia ciptaan sendiri itu. Lalu jika begitu, pasrah dan redha… kerana Maha Pencipta Maha Tahu pada setiap apa yang berlaku. Mungkin… Dia tidak mahu memberikan apa-apa untuk kamu di alam fana ini.

Semoga kita semua terus tabah dan tak pernah melupakan-Nya.
Blog Widget by LinkWithin