21 December 2007

Hari Ini; Lapan Tahun Lalu [Satu Kehilangan]


SALAM AIDILADHA...
Hari ini, 11 Zulhijjah; lapan tahun lalu, saya bersembang-sembang dengan emak di talian. Bertanyakan suasana Aidiladha di kampung sebab keadaan tak mengizinkan saya pulang. Walaupun emak tak meluahkan perasaannya, tapi saya boleh menghidu rasa sunyi sebab kecuali abang sayang yang nombor tiga yang berada di rumah, abang sulung dan kakak juga tak pulang beraya seperti saya.

Di hujung perbualan, mak berpesan, "Kirim salam pada semua... mana tahu lepas-lepas ni dah tak jumpa lagi."

Saya menganggap itu pesanan biasa. Macam seperti sebelum-sebelum ini ketika perbualan dengan mak sampai ke penghujungnya. Sebelum itu juga buat entah yang ke berapa kalinya emak bertanya nama anak saya - QISTINA KHAYRIN. Beberapa kali emak menyebut nama itu dengan agak payah. Biasalah lidah orang tua menyebut nama-nama yang 'pelik' begitu.

Esoknya, 12 Zulhijjah, lapan tahun lalu, saya keluar membeli barang-barang keperluan dapur. Kebetulan masih cuti lagi. Kira-kira jam 11 pagi saya pulang ke rumah. Penat, letih, mamai... selepas angkat barang-barang yang dibeli, saya terlentang di lantai ruang tamu - merenung siling. Tiba-tiba saya rasa dunia saya benar-benar sunyi - telinga saya rasa berdengung sebentar sebelum semuanya bagaikan mati. Hal itu saya alami untuk beberapa detik.

Kesunyian itu berakhir apabila handphone saya berbunyi. Saya bangkit dan melihat nombor telefon kampung terpapar di skrin. Sempat terdetik, kenapa orang kampung call handphone, tak pernah-pernah. Sebelum-sebelum ini emak, ayah atau abang saya akan call talian di rumah saja.

Ternyata suara di hujung talian bukan suara emak, bukan ayah atau abang saya. Tetapi adik jiran sebelah rumah. Ringkas pesaannya, "Abang balik cepat... mama sakit!" Adik-adik jiran sebelah semua pangil emak dengan panggilan mama - mereka lebih manja dengan emak berbanding emak mereka sendiri.

Bila perkataan emak sakit itu saya dengar, sempat bertanya kepada diri sendiri, benarkah? Semalam emak sihat-sihat saja. Saya terus berkemas tanpa berkata apa-apa. Bila isteri saya bertanya, saya jawap mak sakit jom balik. Kemudian saya call kakak di Perak. Tak banyak info yang saya dapat selain dengar tangisannya.

Mungkin saya dah ceritakan kisah ini sebelumnya, yang mana sebenarnya emak sudah tak ada ketika saya mendapat panggilan tersebut. Saya cuma sekadar nak berkongsi betapa saya akan mengingati sesuatu setiap kali Aidiladha tiba. Mengingati akan kehilangan seseorang yang melahirkan, membesarkan saya. Sekadar nak berkongsi akan erti kehilangan, tidak kita kehilangan apa pun kerana sesuatu yang hilang itu biasanya akan kita selalu kenang.

Kehilangan sesuatu yang harus kita terima dengan redha, bukan dengan ratapan dan kesedihan nan berpanjangan. Memang saya akan sentiasa mengenang kehilangan emak. Biarpun saya sedih kerana tak akan dapat berjumpa dengan emak lagi, tetapi saya sentiasa mendoakan emak akan lebih bahagia di sana. Moga emak berada di jalan menuju kebahagian hakiki.

Saya kehilangan orang yang saya sayang, tetapi kasih sayang orang yang telah mati itu tak akan mati. Kasih sayangnya akan tetap hidup subur dalam diri saya, sehingga saya pula menutup mata bila tiba masanya kelak. Begitu juga dengan perpisahan dan kehilangan-kehilangan lain yang saya hadapi - saya tak pernah membunuh rasa kasih yang pernah saya semai. Saya akan menjadi begitu bodoh apabila membunuh sesuatu yang telah dengan susah payah saya semai.

Kehilangan sentiasa saya anggap sebagai simbolik, sebagai cermin atau malah sebagai petunjuk untuk sesuatu. Bohong kalau saya katakan tak ada rasa sakit apabila saya menghadapi kehilangan. Sakit itu akan cepat-cepat saya simpan kerana jika saya terus melayan kesakitan itu, maka saya akan BERTAMBAH SAKIT! Saya menjadikan formula; simpan dan hadapi sebagai penawar kepada kesakitan yang saya alami. Simpan sakit - saya simpan hal-hal yang boleh menyebabkan datangnya kesakitan. Saya hadapi - saya hadapi kenyataan, saya hadapi orang atau sesuatu yang menyebabkan saya sakit itu. Saya harus menyelami kenapa sesuatu itu menyakitkan saya.

Kesimpulannya; kita memang akan menghadapi kesakitan-kesakitan, cuma bila dan bagaimana saja yang membezakannya. Cara kita menghadapi dan menanganinya juga mungkin tak akan sama. Sebab itu kesakitan setiap di antara kita tak akan sama bagaimana rasa dan pedihnya. Kesakitan selain simboliknya untuk menjadikan kita kuat, ia mungkin sebagai medium untuk menyedarkan kita bahawa kita sebagai hamba ini apabila disakiti barulah mata kita akan terbuka luas untuk melihat realiti hidup dan kehidupan.

Untuk yang masih memiliki emak di muka bumi ini; jagalah mereka sebaiknya, terutama soal perasaan. Insya-Allah suatu hari nanti di antara kita akan menjadi seorang emak pula.

19 December 2007

Salam Aidiladha


Salam Aidiladha...

Hidup perlukan pengorbanan. Untuk kehidupan setiap di antara kita harus ada pengorbanan masing-masing. Mudah-mudahan setiap pengorbanan itu memberi makna mendalam dalam hidup dan kehidupan kita. Yang penting ikhlas dan dengan hati suci melakukannya...

Setiap Ujian Menjadi Anugerah


HIDUP ini memang tak lebih dari lembar demi lembar ujian, kerana Allah SWT menjadikan seseorang sebagai ujian bagi sesamanya. Itulah yang Allah firmankan, "Dan Kami jadikan sebahagian kalian ujian bagi sebahagian yang lain.” (QS. Al-Furqan : 20), "Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan." (QS. Al-Baqarah (2) : 155).

Ibnu Qayyim mengatakan, bahawa ujian seperti ini akan dialami oleh setiap orang. Para Rasul diuji oleh yang didakwahinya. Diuji kesabarannya atas cacian mereka, diuji kemampuannya dalam menyampaikan risalah Allah. Kaum yang disampaikan ajaran oleh para Rasul itu juga diuji oleh dakwah yang disampaikan para Rasul. Mereka diuji sama ada mereka mentaati para Rasul, menolong, dan membenarkannya? Atau mereka malah mengkufuri, menolak, dan memeranginya?

Para ulama diuji dengan orang-orang bodoh. Apakah para ulama itu tetap mengajari, menasihati, dan sabar untuk mengajari mereka? Dan orang-orang bodoh juga diuji dengan adanya para ulama. Apakah mereka akan mentaati dan mengikuti para ulama? Kaum lelaki diuji dengan adanya kaum wanita. Dan sebaliknya wanita juga diuji dengan adanya kaum lelaki. Suami diuji dengan isterinya. Isteri diuji dengan suaminya. Orang mukmin diuji dengan orang kafir. Orang kafir diuji dengan orang mukmin.

Ketahuilah juga bahawa kedudukan dan kehormatan yang kita nikmati itu adalah ujian. Pemimpin adalah ujian bagi rakyat dan rakyat adalah ujian bagi pemimpin, yang kuat adalah ujian bagi yang lemah dan yang lemah adalah ujian bagi yang kuat, yang kaya adalah ujian bagi yang miskin dan yang miskin adalah ujian bagi yang kaya, yang tampan adalah ujian bagi yang jelek dan yang jelek adalah ujian bagi yang tampan. Semua orang adalah ujian bagi sesamanya. "Dan Kami jadikan sebahagian kalian ujian bagi sebahagian yang lain."

Dengarkanlah sebuah syair yang dikutip oleh Ibnu Qayyim dalam kitab Miftah Darus Sa'adah, "Adakah orang yang sampai pada kedudukan yang terpuji, atau akhir yang utama. Kecuali setelah ia melewati jambatan ujian. Demikian kedudukan tinggi jika engkau ingin mencapainya. Naiklah ke sana dengan melewati jambatan kelelahan."

"Tiada sesuatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Luhul Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah." (QS. Al-Hadid (57) : 22).

Tinta pena telah mongering, lembaran-lembaran catatan ketentuan telah disimpan, setiap perkara telah diputuskan, dan takdir telah ditetapkan. Maka, "Katakanlah : Sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kami." (QS. At-Taubah (9) : 51).

Apa yang membuat kita benar tak akan membuat kita salah. Sebaliknya, apa yang membuat kita salah tidak akan membuat kita benar. Jika keyakinan tersebut tertanam kuat pada jiwa kita dan kukuh bersemayam dalam hati, maka setiap bencana akan menjadi kurnia, setiap ujian menjadi anugerah, dan setiap peristiwa menjadi penghargaan dan pahala.

"Barangsiapa yang oleh Allah dikehendaki menjadi baik, maka ia akan diuji oleh-Nya."

14 December 2007

Cahaya Hati


PERNAH berasa kegelisahan hati dan jiwa? Seperti tidak tahu apa yang harus dilakukan, sedangkan banyak hal menumpuk di depan mata. Pernahkah berasa beban hidup yang terasa berat dan menumpuk di bahu, dan berasa tidak tahu harus bagai mana menguranginya? Pernahkah berasa tekanan dan himpitan ekonomi yang menghadang setiap langkah kehidupan, tidak tahu harus melangkah ke mana? Pernahkah berasa kegelisahan hati yang mendalam, tubuh bergetar dan semuanya menjadi serba tak kena? Jika hal itu menimpa, bererti kegelapan cahaya hati sedang melanda.

Bayangkan orang yang hidup dalam kegelapan tanpa disinari cahaya, tentu saja semuanya serba tak kena, hanya berputar-putar dan menyibukan diri sendiri, tetapi sebenarnya tidak melangkah ke mana pun. Setiap langkah tersandung. Inilah perumpaan bagi manusia yang sedang dalam kegelapan hidup. Hal yang sama berlaku jika tidak menemukan cahaya hati dalam diri. Mereka yang hidup dalam kegelapan cahaya hati bagaikan berada di dasar lautan yang gelap dan dalam, yang diliputi oleh ombak, yang di atasnya masih dipenuhi ombak-ombak lautan, di atasnya lagi awan gelap yang bertindih-tindihan.

Bagaimana caranya menemukan cahaya hati?

Cahaya hati bersumber dari cahaya Ilahi yang akan menerangi hati. Menemukan cahaya hati bererti kembali kepada jati diri sebagai manusia yang jernih dan bersih. Kembali kepada hati yang tanpa tertutupi pelbagai belenggu yang menutup cahaya hati. Kerana sesungguhnya dalam hati ini sudah ditiupkan sifat-sifat mulia Allah pada saat proses penciptaannya.

Lihatlah diri di cermin, berapa banyak pakaian kesombongan, pakaian riya', pakaian dengki dan pakaian takabur yang kita pakai. Berapa banyak pengalaman masa lalu yang negatif, pakaian ego peribadi, pakaian pengaruh sudut pandang yang salah yang menyesatkan dalam diri? Mari tanggalkan pakaian-pakaian itu yang menyelimuti hati dari cahaya hati yang jernih dan tajam.

Tanggalkan pakaian kesombongan hati dengan sikap rendah hati. Tidak ada yang patut disombongkan oleh manusia dalam hidup ini.

Tanggalkan pakaian dengki dengan cinta dan kasih sayang.

Tanggalkan pakaian takabur dengan kesedaran kedudukan diri sebagai hamba Allah semata.

Buanglah pakaian prasangka negatif dengan sikap positif dalam melangkahkan kaki ke depan.

Lawanlah sikap ego peribadi dengan sikap empti kepada orang lain.

Tundukan pengaruh sudut pandang dan prinsip hidup yang salah dengan kembali dalam kejernihan jati diri yang bersumber dari hati.


Kesuksesan dan keagungan dalam hidup tidak akan dapat diraih hanya dari potensi fizikal dan kecerdasan akal fikiran. Lebih dari itu diperlukan kecerdasan hati dan kemampuan menemukan cahaya hati yang bersumber dari cahaya Ilahi. Berbahagialah mereka yang dapat menghidupkan cahaya hatinya, mereka yang dapat mengenali cahaya hatinya akan dapat menggapai kehidupan yang penuh keagungan yang memandang kehidupan jauh ke depan dengan hati jernih. Hidupnya akan dipenuhi cahaya terang dengan pelbagai kemudahan.

13 December 2007

Mencuba Selagi Ada Kesempatan


SUATU masa, seorang pengkaji melakukan ujikaji terhadap ikan untuk mengetahui apakah haiwan berdarah dingin tersebut boleh kehilangan kepercayaan.

Sebuah akuarium yang tidak terlalu besar diisi air. Kemudian, di tengah akuarium tersebut diletakkan sekeping kaca sebagai pemisah menjadi dua bahagian. Di salah satu bahagian dimasukan ikan yang agak besar dan sangat kelaparan. Sedangkan di bahagian yang satu lagi, dimasukan beberapa ekor ikan kecil yang cukup untuk dimakan oleh si ikan besar.

Melihat hadirnya ikan-ikan kecil yang biasa menjadi mangsanya itu, ikan besar terus menjadi liar. Dengan penuh semangat ia berenang ke arah ikan-ikan kecil itu berada. Apa yang terjadi? Kita semua dapat menduganya, bukan? Setiap kali ikan besar berenang menghampiri mangsanya, setiap kali itu juga ia melanggar dinding kaca pemisah.

Rasa lapar yang amat sangat memaksanya untuk terus mencuba, sehingga akhirnya ia menghentikan usahanya yang sia-sia itu. Dan, menyerah kalahlah si ikan besar.

Ujikaji diteruskan, kali ini kaca pemisah yang ada di tengah-tengah akuarium tersebut dikeluarkan. Sekarang apa yang terjadi?

Ajaib! Dengan bebasnya ikan-ikan kecil dapat berenang, bahkan mendekati dan menyentuh sirip dan tubuh ikan besar yang tetap diam dan tak bergerak sedikit pun. Boleh saja sebenarnya si ikan besar melahap ikan-ikan kecil, tapi ia diam saja.

Ikan besar telah menyerah, pasrah dengan keadaan bahawa sekarang bukan saatnya untuk menyantap mangsa walaupun sebenarnya ia mempunyai kesempatan.


KISAH ini ada persamaannya dengan kita ketika melakukan pekerjaan sehari-hari. Banyak orang yang mempunyai kesempatan, namun sering berfikir bahawa rintangannya terlalu banyak dan tidak mungkin dapat teratasi.

Di sudut lain, dia juga tidak berbuat apapun untuk mengatasinya sehingga menghasilkan sikap tidak peduli (i don't care), sama seperti ikan besar dalam cerita di atas yang akhirnya menyerah, pasrah.

Manusia pesimis, seperti si ikan besar, sering membiarkan kesempatan berlalu begitu saja. Banyak hal sebenarnya yang dapat kita lakukan agar pekerjaan menjadi lebih menarik, mencabar dan memuaskan. Kita juga dapat menganalisa metode-metode atau teknik-teknik apa yang sesuai untuk meningkatkan hasil kerja kita. Sejuta cara dapat kita cuba dan lakukan terus untuk mencapai target kita. Jauh lebih memuaskan daripada sekadar mengkritik tanpa sedikit pun melakukan tindakan positif.

Terlewatkah Sudah?


Wahai Mapa Pencipta, terangkanlah kepadaku tentang makna keterlambatan. Segalanya sudah berjalan jauh, tapi aku masih berlari kecil di sini. Lelah ini kutelan sendiri. Ingin rasanya berlari sederas mungkin untuk menyusul mereka yang telah jauh.

Kini, baru kutahu, ternyata terlambat bukan bererti tidak ada ruang sama sekali. Masih ada waktu, masih ada jalan, memanfaatkan erti dari kesempatan.

Sekarang, izinkanlah hamba-MU ini memulai lagi untuk merangkai malam-malam sunyi menjadi singgahsana zikir untuk-MU, mencuci diri dari noda yang entah dari mana harus kumulai membersihkannya, merangkak menggapai uluran maghfirah-MU.

Izinkanlah aku menjejaki keterlambatan dengan beribu semangat juang, agar aku bisa mencapai kehadirat-MU seperti juga mereka yang telah sampai mendahuluiku.

Izinkanlah aku mendapatkan anugerah-MU, mungkin untuk yang pertama kali, dan mungkin hanya sekali-kalinya dalam hidup ini.

Aku sangat menyedari betapa tidak layaknya diri ini menerima anugerah-MU itu. Tapi, apakah salah jika manusia dungu ini menginginkan syurga-MU?

Wahai Maha Agung, bimbinglah kami, agar kami menjadi orang-orang yang sentiasa menggantungkan diri hanya kepada-MU, dan sentiasa mengharap rahmat-MU.

Aamiin...

09 December 2007

Layar Kehidupan


DALAM hidup ini, kita seringkali lebih banyak mendapatkan apa yang tidak kita INGINKAN. Dan ketika kita mendapatkan apa yang kita inginkan, akhirnya kita tahu bahawa apa yang kita inginkan kadang-kadang tidak mampu membuat hidup kita menjadi lebih bahagia.

DUNIA ini umpama lautan yang luas. Kita adalah kapal yang belayar di lautan dimana telah banyak kapal karam di dalamnya. Andai muatan kita adalah iman, dan layarnya takwa, nescaya kita akan selamat dari tersesat di lautan hidup ini.

AMBILLAH waktu untuk berfikir, itu adalah sumber kekuatan. Ambillah waktu untuk bermain, itu adalah rahsia dari masa muda yang abadi. Ambillah waktu untuk berdoa, itu adalah sumber ketenangan. Ambillah waktu untuk belajar, itu adalah sumber kebijaksanaan. Ambillah waktu untuk mencintai dan dicintai, itu adalah hak istimewa yang diberikan Tuhan. Ambillah waktu untuk bersahabat, itu adalah jalan menuju kebahagiaan. Ambillah waktu untuk tertawa, itu adalah irama yang menggetarkan hati. Ambillah waktu untuk memberi, itu adalah membuat hidup terasa bererti. Ambillah waktu untuk bekerja, itu adalah nilai keberhasilan. Ambillah waktu untuk beramal, itu adalah kunci menuju syurga.

03 December 2007

Mencari Kekuatan

SAYA pernah sembang-sembang dengan seorang kawan, tentang rezeki dan kekayaan. Lalu saya katakan kepadanya, saya bersyukur kerana tak menjadi seorang yang kaya dengan harta benda serta wang ringgit - walaupun sebenar-benarnya saya terlalu ingin menjadi kaya! Saya tahu Tuhan tak memberikan anugerah kekayaan sebegitu kepada saya kerana ada sebab. Mungkin salah satu daripadanya kerana saya sudah banyak melihat orang-orang yang tak kaya kemudian menjadi kaya akhirnya menjadi lupa diri. Memang terbetik di dalam benak, saya takut hal seperti itu berlaku kalau saya menjadi kaya.

Hidup kita untuk melalui dugaan dan kita hidup untuk menerima dugaan. Kalau kita remehkan orang lain dan berkata hal yang dialaminya hanya hal kecil, itu sebenarnya kita lupa bahawa setiap manusia diberikan kemampuan yang berbeza. Kecil di mata kita, mungkin terlalu berat bahunya untuk memikul.

Saya mungkin sudah tak akan berkata, "Sabarlah dengan dugaan dan ujian ini..." kepada diri sendiri, kerana saya tahu sedalam mana sabar yang ada. Malah kepada adik-adik yang saya lihat sentiasa bergelumang dengan dugaan Maha Pencipta, pun tak lagi saya titipkan pekataan SABAR kepada mereka. Bukan kerana saya tak simpati, tak prihatin lagi... tetapi sebab saya tahu betapa SABARNYA adik-adik saya selama ini menghadapi apa jua. Lalu saya fikir, adalah lebih baik saya berkata sesuatu yang lain, yang mungkin boleh mengamankan perasaan mereka, yang mampu membawa mereka lebih redha kepada realiti hidup dan kehidupan, yang boleh memberitahu mereka bahawa mereka sentiasa bertuah berbanding orang lain.

Kita mungkin bosan dengan lingkungan kita yang 'bingit', yang menganggu ketenteraman jiwa kita. Tapi sebenarnya kalau kita amati, kebingitan itu mungkin mampu menjadikan telinga kita kebal kepada hal-hal lain yang boleh menyakitkan telinga serta hati.

Hidup dalam lingkungan yang ada macam-macam perangai memang akan menguji kesabaran. Sama ada ia mampu membuat kita 'meletup' atau rasa macam nak telan orang, atau... mungkin kita hanya sebak sendirian melayan hati yang terhiris. Kedua-duanya hanya mendatangkan impak dalaman buat kita sendiri, sedangkan orang lain yang membuat onar akan terus bersikap peduli apa dengan perasaan orang lain. Itu hakikat hidup dan kehidupan... dan itulah antara perangai makhluk bernama manusia!

Ada waktu mungkin kita harus mengalah dengan keadaan sebegitu, tetapi mengalah itu bukanlah bermakna kita kalah. Kita berundur atau melangkah bukan kerana hati luka dan pasrah dengan nasib, tetapi mencari kekuatan baru yang mungkin tak kita temukan lagi. Sesungguhnya setiap di antara kita ada kekuatan tersendiri untuk menghadapi apa jua, kerana Maha Pencipta telah menyediakan kita secukupnya sebelum kita lahir ke dunia ini. Hanya mungkin kita belum 'menemui' kekuatan itu, atau belum masanya lagi.

Untuk diri saya sendiri dan adik-adik... saya mungkin tak berkata SABAR tetapi hati saya sentiasa mendoakan agar kita semua tergolong dalam himpunan hamba-hamba-Nya yang SABAR...

Setiap Kita Ada 'Kekuatan'


KITA dah berada di bulan terakhir 2007 - DISEMBER! Sama ada ini merupakan satu kebetulan atau memang takdir keadaan, saya mengamati bahawa 2007 memang tahun mencabar. Bukan saja berdasarkan kepada apa yang telah saya alami, malah situasi persekitaran juga seperti menggambarkan begitu.

Sebenarnya, apa jua keadaan dan situasi sekali pun kita tidak boleh tidak dari menghadapinya. Mampukah kita lari dari berdepan dengan hakikat dan realiti yang memang telah tertulis ke atas diri kita? Andai lari, berapa lamakah kita mampu menghindar dari situasi yang tak mahu kita hadapi itu?

Bercakap saja tentu mudah, tak semudah memikul dan menghadapinya, bukan? Namun kita harus bercakap dan mendengar apa yang orang lain cakapkan kerana kita hidup dalam satu rumpun, dalam satu komuniti, dalam satu lingkungan. Mungkin kita berfikir orang lain sekadar mahu sibuk-sibuk ambil tahu. Mungkin begitu, tapi kita tak tahu mungki ada yang benar-benar prihatin.

Setiap orang tak sama kemampuan menghadapi sesuatu situasi. Saya pernah gagal berkali-kali dan rasanya sehingga sekarang taklah berjaya mana pun. Mungkin itu sudah takdir saya dan saya tak pernah berhenti untuk mencuba. Cuma, memang diakui adakala saya berasa cukup penat. Mungkin pendekatan terbaik yang saya perolehi, 'berehat' dari apa yang saya cuba lakukan selama ini dan mencuba sesuatu yang baru. Tak apalah kalau kelihatannya seperti membuang masa, asalkan saya tak terus rasa tertekan.

Sebagaimana cacatan sebelum ini, saya bersyukur kerana mempunyai lebih banyak masa bersama anak dara saya berbanding sebelum saya menjadi penganggur. Kalau dulu saya pernah kehilangan saat-saat membesarnya anak dara saya, kini saya tak mahu kehilangan detik-detik seperti itu lagi.

Memang kadang-kadang cukup menaikkan tekanan darah saya untuk melayani kerenah anak dara saya itu. Suara saya juga kadang-kadang jadi seperti halilintar, hehehe. Tetapi, selepas itu saya peluk anak dara saya ketat-ketat. (Tiba-tiba saya terfikir kalau ambil upah jaga 'baby' pun bagus jugak ya...)Saya memang tak boleh marah lama-lama walaupun ada orang berkata bahawa saya ini jenis manusia 'penyimpan'. Manusia jenis 'penyimpan' memang makan masa lama untuk melupakan sesuatu. Memang saya suka 'menyimpan' dan 'melayan' sesuatu itu. Bagi saya, tak guna saya cuba lupakan sedangkan hati tak mahu begitu. Saya layankan apa saja perasaan sehingga suatu masa saya kembali 'aman'.

Beberapa hari lalu saya beroleh ungkapan ini - "menangis boleh saja... asalkan jangan kita sesali dan ratapi sesuatu takdir yang berlaku terhadap diri kita."

Tujuh tahun lalu, ketika menerima panggilan menyuruh saya pulang kerana emak sakit, saya sungguh-sungguh tak menyangka rupa-rupanya 'emak sakit' itu bermaksud bahawa 'emak sudah tiada'. Mungkin ketika itu ayah saya terlalu sebak, sehingga berpesan kepada adik jiran sebelah rumah yang diarahkan menelefon saya untuk berkata begitu.

Sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan yang saya lalui, apa yang banyak saya terfikirkan adalah 'mungkinkah emak dah tak ada' berbanding 'emak sakit apa sebenarnya'. Tiga hari sebelum menerima khabar itu saya bersembang panjang dengan emak di telefon.

Ketika masuk simpang ke rumah di kampung, hati saya mengesahkan bahawa emak memang benar-benar dah tak ada apabila melihat ramai orang di halaman rumah. Saya tak berkelip menatap jenazah emak, wajah emak lembut dan senyum tetapi kaku! Saya keluar dari bilik di mana jenazah emak dibaringkan. Jiran-jiran, emak saudara dan nenek teresak-esak menangis sedangkan ketika itu hati saya menjadi keras untuk mengalirkan air mata - air mata saya beku mungkin kerana naluri saya telah awal-awal bersedia menghadapi kematian itu.

Hanya pada malamnya, ketika kakak saya yang tinggal di Perak tiba dan dia menangis teresak-esak di sebelah saya ketika menghadap jenazah emak. Ketika itulah air mata saya cair - saya menangis melihat kakak menangis! Saya redha dengan pemergian emak, tapi saya sedih melihat kakak yang terlalu sedih.

Mungkin orang melihat saya seperti tak ada perasaan kerana 'selamba' menghadapi kehilangan emak. Tapi, sebenar-benarnya setiap masa saya sentiasa merasakan bahawa emak saya masih ada, sentiasa 'hidup' dalam diri saya - jadi untuk apa saya terlalu bersedih. Saya hanya kehilangan jasad emak, saya dah tak dapat memeluk emak, tapi bukan kehilangan emak.

Kepada beberapa orang adik pernah saya katakan bahawa saya cukup bertuah kerana pernah mempunyai emak yang tak pernah marah. Memang emak saya tak pernah marah atau merungut. Emak saya yang buta huruf dan tak pandai menulis juga tak pernah putus asa untuk mencuba; di mana akhirnya emak pandai juga menulis namanya sendiri. Emak pandai melukis untuk dibuat sulaman. Cuma, ada satu perkara yang saya dan kakak ajarkan kepada emak tapi emak tak boleh juga nak buat - anyam ketupat! Emak kidal, saya dan kakak mengajar emak menganyam ketupat kanan... jadi memang emak tak faham-faham juga.

Emak memang penyabar berbanding ayah yang agak 'panas'. Itulah keseimbangan, bukan? Suatu ketika abang saya yang menghadapi masalah terjebak dengan dadah, emak cukup sabar melayani abang. Emak biarkan dan buat pekak telinga dengan apa orang kata tentang anaknya. Dan, abang saya pernah berkata bahawa hanya emak saja manusia yang dia paling percaya untuk cerita apa saja masalahnya sehingga dia terjebak begitu. Hanya emak yang mahu mendengar...

Itulah sebahagian cerita emak saya yang dapat saya kongsi bersama, tentang dia yang tak pernah putus asa, yang sentiasa mencuba.

Kita manusia tak boleh lari dari sikap mengaku kalah apabila berasa sudah cukup mencuba, dah puas mencuba, tak guna mencuba lagi, berasa sia-sia dan yang seumpamanya. Saya sendiri begitu, tetapi cepat-cepatlah mencari motivasi, mencari kekuatan sebagai sokongan supaya tak terus 'down'. Bersyukur dengan apa yang ada, melihat bahawa ada orang lain yang lebih sukar hidupnya berbanding kita, kenapa orang lain boleh sedangkan kita tidak.

"Kita mungkin akan terus diberi dugaan sepanjang hayat, kerana Tuhan mahu kita menjadi terus kuat dan menikmati segala imbuhan atas kesabaran itu di sana kelak. Bukankah Dia Maha Adil terhadap hamba-hamba-Nya."
Blog Widget by LinkWithin