25 January 2008

Saya Semakin Suka Menangis...


SIAPAKAH yang dapat menyangkal bahawa apabila kita pergi dan berada di tempat yang baik-baik, maka kita akan sentiasa diselubungi kebaikan. Dan, begitulah sebaliknya... andai kita pergi serta berada di tempat yang tidak baik, maka kita sebenarnya mengundang bencana untuk diri sendiri.

Begitu juga orang akan melihat kita ini bagaimana dengan melihat siapa orang-orang yang ada di sekeliling kita, siapa yang menjadi kawan-kawan kita. Andai kawan-kawan kita itu terdiri daripada orang baik-baik, insya-Allah kebaikan yang akan dapat kita perolehi hasil dari persahabatan itu.

Beberapa hari kebelakangan ini saya sering diserang stress, tertekan perasaan dengan tiba-tiba. Perasaan marah saya tiba-tiba muncul, malah sesekali timbul benci dengan situasi yang berlaku. Namun saya cepat-cepat mengingati diri sendiri bahawa apa yang berlaku ada hikmahnya. Saya melepaskan rasa terbuku itu dengan 'membebel'kan ketidakpuasan itu kepada adik-adik saya. Saya hanya mahu mencari orang untuk mendengar sahaja, kerana saya tahu dalam keadaan spontan tak ramai yang mampu memberi pandangan balas.

Ada macam-macam cara untuk melepaskan rasa terbuku di hati. Namun saya mendapati sejak kebelakangan ini ada satu cara yang datang ke dalam diri saya. Saya menyedari semua itu dan ia memang sentiasa berlaku apabila saya berasa tertekan, stress atau rasa teraniaya. Ya, saya keluarkan air mata saya!

Pada mulanya hal ini berlaku saya hanya menyedari hal itu mungkin kerana saya terlalu marah atau sedih. Tetapi lama kelamaan saya mendapati ia bagaikan terapi untuk jiwa saya kembali normal, kembali kepada asalnya, kembali berfikir secara rasional dan positif. Hasilnya, rasa benci dan marah saya menjadi pudar perlahan-lahan dan kemudian lenyap. Malah ia segera menjadikan saya positif untuk menerima hakikat kejadian tersebut.

Ketika air mata saya mengalir, fokus pertama-tama saya adalah Maha Pencipta. DIA menyediakan ujian kekuatan ini untuk saya lalui yang sudah pasti untuk menjadikan saya sebagai seorang hamba yang lebih sedar diri. Kemudian, fokus saya tertumpu kepada dalam diri saya sendiri; dalam beberapa detik saya dapat mengumpulkan kekuatan untuk redha dan berkata, "Tuhan telah menunjukkan sesuatu untuk diriku..."

Apa yang DIA mahu tunjukkan kepada saya? Pertama, saya hanya seorang hamba yang sentiasa tak dapat lari dari melakukan kesilapan. Mungkin Tuhan mahu 'mencuci' dosa-dosa saya dengan balasan segera sebegini - tak perlu tunggu 'di sana' nanti! Saya juga melihat bahawa apabila saya boleh melakukan kesilapan, maka tentu orang lain yang juga hamba seperti saya turut tak lepas dari kesilapan. Dan, jika DIA yang Maha Agung itu mengampunkan dosa-dosa saya yang entah berapa banyak jumlahnya ini, mengapa saya yang terlalu kerdil lagi hina ini TAK MAHU memaafkan makhluk yang setaraf dengan saya?

Lalu, saya pun semakin berfikir mengapa Tuhan menciptakan air mata, mengapa Tuhan menganugerahkan manusia dengan tangisan - air mata dan tangisan itu merupakan satu terapi jiwa bagi yang mahu mengerti.

Orang yang biasanya disenangi dan disayangi adalah orang yang menyenangi dan menyayangi orang lain seikhlasnya. Orang yang biasanya paling dibenci adalah orang yang sering dan suka membenci orang lain. Ungkapan ini melekat di dalam hati saya sebaik dibacakan di mimbar Jumaat tadi.

22 January 2008

Roda Kehidupan Takkan Sama Putarannya


SAYA selalu ingin berada dalam kedudukan selesa, namun saya tahu dalam hidup dan kehidupan ini kita tak semestinya berada pada satu-satu tahap untuk suatu jangka masa tertentu. Kita tidak akan pernah tahu sampai bila kita berada dalam kedudukan yang ada sekarang, tidak kira sama ada kita berada di puncak, di pertengahan atau di bawah.

Ini hukum kehidupan yang harus kita sedari, yang harus kita lalui - mahu tidak mahu!

Roda kehidupan yang kita lalui sejak kita mengenal dunia hingga kelak kita pergi menemui-Nya akan sentiasa berputar. Namun putaran setiap roda kehidupan milik kita tak pernah sama. Ada yang laju, ada yang perlahan, malah mungkin ada yang terhenti buat suatu waktu yang agak lama.

Memang semua orang ingin berada di puncak. Tetapi kebanyakan orang lupa bahawa jika berada di puncak, andai terjatuh sakitnya tentu bukan kepalang berbanding yang berkedudukan lebih terkebawah. Malah biasanya ketika berada di puncak kebanyakan kita hanya melihat pada paras tertinggi itu sahaja. Ramai yang lupa memandang ke bawah, atau malah ramai juga yang takut memandang ke bawah. Ngeri mengenangkan andai terjatuh barangkali.

Sebenarnya, saya melihat kehidupan saya selama ini kelihatan mendatar. Mungkin paras roda kehidupan saya memang sebegitu ditakdirkan. Pun begitu saya berasa bersyukur kerana saya mampu berada di kalangan kawan-kawan yang berada di puncak, dan sahabat-sahabat yang berada di bawah. Mungkin Maha Pencipta mahu saya sentiasa bersedarhana dalam apa jua keadaan. Syukurlah...

Ada waktu-waktu saya terasa seperti ingin mampu memiliki apa jua yang. Tetapi dalam masa yang sama tiba-iba saya berasa takut. Takut apabila segalanya telah berkecukupan, saya menjadi manusia yang lupa dan lalai dari mana saya datang. Hakikat ini berlaku apabila saya melihat kawan-kawan dan orang-orang yang saya kenali menjadi sebegitu. Saya tahu bagaimana kehidupan mereke sebelum meraih kedudukan tinggi itu. Dan saya melihat perubahan demi perubahan dalam hidup mereka. Malah, saya melihat betapa mereka semakin lupa... lupa asal-usul!

Lalu saya pun berkata, cukuplah apa adanya.

Kemudian, pada waktu-waktu tertentu Maha Pencipta menguji saya dengan meletakkan roda kehidupan saya di bawah dan sepertinya tidak bergerak ke mana-mana. Saya pasrah dan menerima bahawa itu ujian dan dugaan yang DIA berikan untuk melihat saya menjadi semakin kuat. Berapa kuatnya saya untuk menggerakkan roda kehidupan ini agar ia beranjak.

Saya menghela nafas dan berkata, syukur kerana DIA memberi saya kekuatan ini.

Sebenarnya, saya berasa cukup-cukup bertuah kerana walaupun dalam hidup ini saya tak diberikan adik kandung sedarah, namun hidup saya cukup meriah dengan adik-adik yang hadir. Seingatnya, sejak saja bersekolah menengah lagi saya cukup suka melayan anak-anak jiran sebelah rumah yang masih kecil. Makan minum semuanya saya layan sehingga mereka menjadi seperti adik kandung saya. Dan kini, adik-adik saya itu telah dewasa dan punya keluarga sendiri.

Bila saya memasuki alam pekerjaan, karier saya membantu saya mengumpul adik-adik baru sehingga berpuluh-puluh orang jumlahnya. Apabila saya memasuki alam dewasa yang benar-benar dewasa, adik-adik yang dianugerahkan kepada saya kebanyakannya mempunyai sejarah hidup yang menarik bagi saya.

Ada seribu satu kisah dalam kehidupan adik-adik saya yang saya anggap istimewa. Mungkin Tuhan menganugerahkan mereka kepada saya untuk terus menguji saya, untuk terus menjadikan saya kuat. Saya bukan saja melihat kehidupan adik-adik yang senang dan mewah, tetapi saya turut diperlihatkan dengan kehidupan yang cukup menekan. Sehingga ada yang pernah melakukan percubaan bunuh diri. Ada pula yang sampai tahap tak tahu lagi bagaimana nak berfikir tentang kehidupan sendiri - lalu hanya berserah pada keadaan.

Saat saya sendiri tertekan dengan pesekitaran, selain mengingati bahawa semua ini dugaan-Nya, saya banyak mengingati adik-adik saya. Seorang demi seorang hadir dalam benak saya lalu semuanya saya kumpulkan di dalam hati. Walaupun adik-adik tak buat apa-apa bagi saya cukuplah saya tahu bahawa mereka ada dengan saya - saya sayang adik-adik saya, dan sebolehnya tak mahu mereka berada dalam keadaan down sehingga hilang punca. Dan, saya yakin dan percaya adik-adik saya juga kuat.

Ada waktu mungkin saya 'hilang' dari mereka, tetapi saya mahu mereka tahu bahawa saya sentiasa ada, saya sentiasa ada dalam hati mereka kerana saya juge sentiasa meletakkan mereka di hati saya ini.

12 January 2008

Saya Pelajar Yang Tak Pernah Habis-Habis Belajar...


GERBANG 2008 sudah dua minggu berlalu, dan seperti tahun-tahun sebelumnya saya lebih suka menyepikan diri pada awal-awal tahun begini. Mungkin sudah menjadi kebiasaan, otak saya lebih banyak menerawang memikirkan hal-hal yang kadangkala tak ada pastinya. Mungkin pada kebanyakan orang pada sebelaum dan awal-awal tahun begini lebih banyak yang memandang ke hadapan. Merancang apa yang hendak dilakukan. Menanam azam itu dan ini serentak menjelang tahun baru.

Entahlah, yang nyata saya banyak menghabiskan masa menoleh ke belakang. Mengimbau masa-masa yang telah berlalu. Menghitung-hitung apa yang telah saya lakukan sepanjang hidup sehingga hari ini. Banyakkah kebaikan yang telah saya lakukan? Atau lebih banyak hal-hal kesia-siaan yang telah saya perbuat selama ini? Sesungguhnya saya tak mampu untuk menilai apa yang telah saya lakukan sepanjang hidup dan kehidupan yang telah berlalu. Hanya saja saya berharap agar Maha Pencipta memberkati kehidupan saya, merestui usaha-usaha yang pada pandangan saya adalah baik, serta mengampunkan segala kesilapan saya sama ada sengaja atau sebaliknya.

Bila mengimbau dan mengamati kehidupan lalu, saya memang seharusnya bersyukur sebanyak-banyaknya kepada Maha Pencipta. Saya sesungguhnya melalui kehidupan yang mudah dan lancar selama ini, walaupun tidaklah semewah atau sesenang orang yang dikelilingi harta dan kekayaan. Saya juga sentiasa 'bernasib baik' dalam bidang yang saya ceburi walaupun saya bukanlah di antara golongan yang ada kelulusan. Mungkin saya memang bernasib baik dan Tuhan menganugerahkan peluang itu awal untuk saya berbanding kawan-kawan sebaya.

Saya mendahului yang lain-lain bergelumang dengan dunia pekerjaan (mungkin keadaan waktu itu membuat saya 'malas' untuk terus belajar). Ketika kawan-kawan sibuk ngan study dan kuliah, saya sibuk dengan art-work dan dateline. Ketika mereka bersengkang mata sampai dini hari mengulangkaji, saya bersengkang mata mengejar dateline. Dan, ketika saya berasa sudah ada riak-riak kelelahan dalam melayari dunia pekerjaan ini, rakan-rakan saya baru bersorak gembira dengan gulungan-gulungan kelulusan akademik masing-masing.

Saya lari meninggalkan kampung halaman lebih banyak atas desakan persekitaran, kemudian kebetulan saya ada alasan untuk mencari sesuatu yang tak ada di situ. Saya memang tak ramai kawan dan ke mana-mana pun lebih suka bersendirian. Saya tak berapa rapat dengan rakan sekampung dan lebih suka mencari kawan-kawan yang jauh. Malah, kepergian saya meninggalkan kampung tak ramai yang tahu. Atau mungkin kewujudan saya di kampung juga seperti tidak disedari sebelum itu.

Seikhlasnya, ketika mengambil keputusan meninggalkan kampung, destinasi saya memang Kuala Lumpur - tetapi sebenarnya saya kabur! Kabur dengan matlamat, keyakinan yang ada sebab atas desakan keinginan yang kuat. Itu saja modal yang saya ada. Walaupun saya telah meletakkan dua sasaran tempat yang harus saya tuju apabila tiba di Kuala Lumpur, sebenarnya saya main redah saja tanpa sebarang panduan. Sebab itulah saya akhirnya mendapat pengalaman cukup menarik pada subuh bening penghujung Disember tahun 198... - saya berjalan kaki dari Hentian Pudu Raya sehingga ke Jalan Pantai Baharu, yakni destinasi pertama yang saya hendak tujui.

Setiap langkah yang saya hayun sebenarnya hanya mengikut gerak hati semata-mata - itu kali pertama saya jejakkan kaki di bumi Kuala Lumpur. Saya tak tahu berapa ratus atau ribu langkah lagi yang ada di depan untuk sampai ke destinasi. Cuma ketika saya terserempak dengan seorang perempuan dan bertanyakan arah Jalan Pantai Baharu, perempuan itu berkata, "Adik naik bas mini la..." Dengan sendiri saya tahu bahawa saya harus melangkah jauh lagi.

Itu antara pelajaran awal di universiti kehidupan saya dan saya amat-amat bersyukur berjaya melaluinya. Malah, saya cukup bangga kerana bukan semua orang beroleh pengalaman seperti itu.

Ketika meneruskan kuliah di universiti kehidupan ini, saya menjadi antara 'pelajar termuda'. Kehidupan saya di kelilingi senior sekaligus menjadikan saya berfikir selari dengan mereka. Benarlah kata orang bahawa persekitaran banyak mempengaruhi kehidupan kita. Mujurlah 'penapis' saya cukup kuat menapis dan memisahkan antara yang perlu dengan yang tidak untuk diri saya.

Saya pernah terbaca satu ungkapan dalam sebuah buku; 'Pelajaran itu ada dalam dua bentuk, yakni yang baik dan yang tidak baik. Kita boleh memilih untuk mempelajari yang baik sahaja dan membiarkan yang tidak baik. Kita juga boleh mempelajari kedua-duanya, menggunakan yang baik itu sebagai panduan dan menjadikan yang tidak itu sebagai peringatan.'

Saya hanya ingin bersyukur dengan kehidupan saya. Berterima kasih kepada universiti kehidupan yang mengajarkan saya tengang hidup dan kehidupan - yang banyak mendedahkan saya kepada praktikalnya berbanding hanya teori. Namun sebenarnya tetap ada rasa terkilan kerana saya gagal untuk memenuhi tuntutan akademik yang mencukupi untuk bekalan, atau sekurang-kurangnya menambahkan ilmu saya yang masih kurang. Biarpun saya tahu bahawa proses menuntut ilmu itu akan berterusan sehinggalah kita menutup mata kelak, namun ada waktu-waktu kemampuan kita terbatas. Ada waktunya kita bagai 'terhenti' di satu titik walaupun itu bukan titik kematian.

Saya sentiasa berharap saya akan terus mampu menjadi mahasiswa di universiti kehidupan ini, di mana di sini saya tak pernah pun mengharapkan untuk memperolehi segulung ijazah. Saya cuma berharap mendapat keredhaan-Nya, mendapat mendapat keberkatan-Nya dan mendapat keampunan-Nya atas 'kenakalan' saya dalam setiap 'sesi kuliah'.

01 January 2008

...Dan, Ketika Mentari Berlabuh Aku Berharap Dapat Merasai Hangatnya Lagi...


HANYA ada satu perkataan yang paling layak saya ucapkan bila berlabuhnya tirai 2007 selepas azan maghrib semalam - syukur alhamdulillah; saya sudah lalui jua hari-hari sepanjang 2007 sehingga ke penghujungnya.

Dan, ketika subuh membangkitkan seluruh umat serta mentari 2008 bersinar terang pagi ini - sekali lagi saya mengucap syukur alhamdulillah kerana saya Maha Pencipta masih memberi peluang untuk saya menjalani hari-hari 2008 ini. Namun, entah berapa hari yang diberikan-Nya untuk saya pada 2008 ini saya tak akan tahu. Mudah-mudahan saya mampu menmanfaatkan usia berbaki ini dengan sebaiknya.

Sesungguhnya saya juga menantikan ambang 1429 yang bakal menjelma. Namun, saya bukanlah menanti satusatu masa untuk 'melakukan' sesuatu. Bagi saya setap masa ada nilai dan harganya. Jikalau saya berasa waktu dan ketika yang datang itu sesuai maka insya-Allah, saya akan lakukan apa yang terbaik.

Sejak awal 2007 lalu, saya seperti merasakan bahawa tahun itu seperti akan menghadirkan cabaran lebih rumit. Bukanlah bermakna sebelum-sebelum ini tak ada cabaran. Mungkin naluri saya berasa 2007 ada kelainannya. Entahlah, mungkin hanya perasaan saja saja. Hal ini selalu juga saya bicarakan dengan adik-adik.

Memang dalam penelitian dan setelah melalui 2007 ternyata dugaan yang datang menimbulkan rasa lain macam berbanding sebelumnya. Tambahan saya sendiri berasa cukup tertekan dengan pelbagai hal sejak awalnya. Hal-hal berkaitan kerja, juga hal-hal peribadi. Walaupun sebelum ini bukan tak pernah saya lalui hal-hal yang serupa itu, namun impaknya untuk 2007 sebenarnya boleh membuat saya terduduk, tertiarap... atau, malah mungkin seperti tak berdaya lagi!

Sesunguhnya, saya melangkahi hari-hari 2007 hanya dengan sisa-sisa tenaga simpanan dan kerana kekuatan anugerah-Nya. Setiap detik saya mengharapkan akan datang suatu hari dalam 2007 itu yang menjadi pintu untuk saya keluar dari kemelut. Namun, hakikat dan kehendak-Nya mungkin tak begitu. DIA mahu terus memberi saya anugerah demi anugerah dalam bentuk dugaan. Syukur dalam waktu-waktu saya berasa cukup-cukup berada 'di bawah' paras normal itu, saya masih ingat pada-Nya.

Ketika seluruh warga bumi merdeka ini bersiap menyambut ulangtahun ke-50 kemerdekaan, saya telah 'dimerdekakan' dari pekerjaan. Syukur, dengan kehilangan pekerjaan saya lebih banyak melihat 'siapa' diri saya. Sesungguhnya saya tak ada apa-apa dan sesiapa. Mungkin DIA mahu membukakan mata hati saya lebih luas, mahu menunjukkan kepada saya bahawa apalah sangat yang saya dapat apabila bergantung hanya kepada sesama manusia.

Saya bukanlah sekuat mana - hakikat bahawa saya seorang hamba yang serba kekurangan itu siapakah yang boleh menafikannya? Memang kalau diibaratkan saya ini seperti jatuh terhumban ke dasar jurang paling dalam. Tapi di jurang paling dalam itulah saya dapat melihat siapa diri saya. Diri saya yang kekurangan, diri saya yang hina, diri saya penuh dengan dosa dan 1001 kekurangan lainnya.

Saya tak pernah mengharap sesiapa pun faham dan cuba memahami. Kerana apa yang saya lalui sudah tentunya bukan harus dirasa oleh orang lain. Tuhan mahu memberikan anugerah itu untuk saya dan sayalah yang harus merasainya.

Ada waktu tertentu dan untuk suatu waktu tertentu juga, saya harus hilang. Mungkin ada saja yang mahu bertanya ke mana hilangnya saya, dan apa perlunya saya hilang? Memang hak saya untuk tidak memberi apa-apa alasan, tetapi sebenarnya apabila saya hilang saya kembali ke dalam jurang di mana saya pernah terhumban dahulu. Tapi kali ini saya bukan terhumban, melainkan saya yang turun ke situ untuk mencari kekuatan-kekuatan baru.

Maafkan saya, andai ada hal yang saya lakukan membuat sesiapa saja terasa, terutama kepada adik-adik yang sentiasa ada di sekeliling saya. Cuma sebelum menutup mata saya mahu mereka tahu bahawa saya tak pernah 'meninggalkan' mereka, dan saya tak pernah pun mahu berbuat begitu.

Sepanjang memulakan karier sejak lebih 20 tahun lalu, kehadiran adik-adiklah yang membuat saya berasa begitu bermakna. Memang ada waktu saya terus berfikir tepatkah saya memilih jalan ini dahulu? Untuk kembali pada keadaan normal, saya lebih suka mengenang adik-adik yang datang memeriahkan karier saya. Adik-adik yang dianugerahkan kepada saya melalui karier saya ini - alhamdulillah.

Entah di mana mereka sekarang? Setiap kali musim berganti adik-adik saya pergi meneruskan kehidupan baru masing-masing; mudah-mudahan mereka bahagia. Untuk Adik GIE yang dah pergi buat selama-lamanya moga sentiasa dicucuri rahmat; al-Fatihah. Saya mengenali arwah ketika baru memulakan karier, tak sempat bertemu mata dengannya... dan paling syahdu setelah setahun dia pergi barulah saya tahu akan hal itu. Hanya sepucuk surat untuk saya sebelum kepergiannya - bertulis dengan dakwat merah di atas kertas kuning.

Antara kandungannya yang masih saya ingat...

Abang, hari ini hari lahir Gie. Mama dengan papa nak buat majlis hari jadi, tapi Gie rasa lebih baik buat doa selamat. Mungkin Gie tak akan dapat jumpa abang sampai bila-bila sebab rasanya ini adalah hari lahir Gie yang terakhir...

Maaf, Gia guna pen dakwat merah, Gie guna pen papa...


Setahun surat itu terperap dalam simpanan keluarganya kerana di atas sampul surat putih itu Gie hanya menulis nama RODIN tanpa alamat. Kebetulan pula salah seorang lagi adik saya mengenali Gie dan ketika berkunjung ke rumah keluarga arwah, keluarga arwah menunjukkan surat itu. Dan... setelah setahun itulah baru saya tahu bahawa adik saya dah tak ada lagi. Walaupun sebelum ini saya cuba mencarinya, tetapi disebabkan waktu itu saya hanya mengenalinya lebih kurang enam bulan. Tak tahu alamatnya, tak tahu nombor telefonnya - sebab saya memang jarang meminta semua itu kecuali diberikan kepada saya.

Gie menghidap lukemia. Meninggal selepas enam bulan mendaftar belajar kat UiTM. Merupakan anak tunggal ibu bapanya...

Apabila masa terus berganti, saya terus bersyukur kerana sentiasa dianugerahi dengan adik-adik. Dan ketika terhumban ke dalam jurang paling dalam itu saya memang banyak merindui adik-adik saya, tetapi sebenarnya saya terpaksa cuba lari kerana saya tak suka orang lain melihat saya 'tidak normal'. Saya tahu adik-adik saya tak pernah berkira apa pun. Tapi memang ada waktu saya suka 'mendera' mereka. Saya mahu menimbulkan suasana bahawa saya ini manusia biasa.

Tiga bulan terakhir 2007 bolehlah dikatakan menjadi kemuncak tekanan yang saya alami. Apapun Ramadan dan Syawal mampu menyejukkan kemelut yang bersarang walau ada waktu semakin rasa tertekan. Saya menyibukkan diri dengan entah apa-apa, maklumlah tak ada kerja tetap macam dulu lagi. Tapi banyak hal yang dilakukan tak menjadi, mungkin sebab saya tak memberi sepenuh tumpuan.

Maka... segalanya pun berlabuh tatkala mentari beradu; saya simpan segalanya menjadi kenangan. Ketika mentari bangkit saya cuba lepangkan dada dan dengan pasrah menerima kedatangan anugerah-anugerah-Nya pada sisa-sisa yang tinggal ini.

Untuk semua yang sentiasa ada di keliling saya, terutama keluarga dan adik-adik saya... terima kasih kerana telah turut mewarnai kehidupan saya, terima kasih kerana sentiasa memberi kekuatan. Sesungguhnya saya sentiasa ada di sini...
Blog Widget by LinkWithin