12 January 2008

Saya Pelajar Yang Tak Pernah Habis-Habis Belajar...


GERBANG 2008 sudah dua minggu berlalu, dan seperti tahun-tahun sebelumnya saya lebih suka menyepikan diri pada awal-awal tahun begini. Mungkin sudah menjadi kebiasaan, otak saya lebih banyak menerawang memikirkan hal-hal yang kadangkala tak ada pastinya. Mungkin pada kebanyakan orang pada sebelaum dan awal-awal tahun begini lebih banyak yang memandang ke hadapan. Merancang apa yang hendak dilakukan. Menanam azam itu dan ini serentak menjelang tahun baru.

Entahlah, yang nyata saya banyak menghabiskan masa menoleh ke belakang. Mengimbau masa-masa yang telah berlalu. Menghitung-hitung apa yang telah saya lakukan sepanjang hidup sehingga hari ini. Banyakkah kebaikan yang telah saya lakukan? Atau lebih banyak hal-hal kesia-siaan yang telah saya perbuat selama ini? Sesungguhnya saya tak mampu untuk menilai apa yang telah saya lakukan sepanjang hidup dan kehidupan yang telah berlalu. Hanya saja saya berharap agar Maha Pencipta memberkati kehidupan saya, merestui usaha-usaha yang pada pandangan saya adalah baik, serta mengampunkan segala kesilapan saya sama ada sengaja atau sebaliknya.

Bila mengimbau dan mengamati kehidupan lalu, saya memang seharusnya bersyukur sebanyak-banyaknya kepada Maha Pencipta. Saya sesungguhnya melalui kehidupan yang mudah dan lancar selama ini, walaupun tidaklah semewah atau sesenang orang yang dikelilingi harta dan kekayaan. Saya juga sentiasa 'bernasib baik' dalam bidang yang saya ceburi walaupun saya bukanlah di antara golongan yang ada kelulusan. Mungkin saya memang bernasib baik dan Tuhan menganugerahkan peluang itu awal untuk saya berbanding kawan-kawan sebaya.

Saya mendahului yang lain-lain bergelumang dengan dunia pekerjaan (mungkin keadaan waktu itu membuat saya 'malas' untuk terus belajar). Ketika kawan-kawan sibuk ngan study dan kuliah, saya sibuk dengan art-work dan dateline. Ketika mereka bersengkang mata sampai dini hari mengulangkaji, saya bersengkang mata mengejar dateline. Dan, ketika saya berasa sudah ada riak-riak kelelahan dalam melayari dunia pekerjaan ini, rakan-rakan saya baru bersorak gembira dengan gulungan-gulungan kelulusan akademik masing-masing.

Saya lari meninggalkan kampung halaman lebih banyak atas desakan persekitaran, kemudian kebetulan saya ada alasan untuk mencari sesuatu yang tak ada di situ. Saya memang tak ramai kawan dan ke mana-mana pun lebih suka bersendirian. Saya tak berapa rapat dengan rakan sekampung dan lebih suka mencari kawan-kawan yang jauh. Malah, kepergian saya meninggalkan kampung tak ramai yang tahu. Atau mungkin kewujudan saya di kampung juga seperti tidak disedari sebelum itu.

Seikhlasnya, ketika mengambil keputusan meninggalkan kampung, destinasi saya memang Kuala Lumpur - tetapi sebenarnya saya kabur! Kabur dengan matlamat, keyakinan yang ada sebab atas desakan keinginan yang kuat. Itu saja modal yang saya ada. Walaupun saya telah meletakkan dua sasaran tempat yang harus saya tuju apabila tiba di Kuala Lumpur, sebenarnya saya main redah saja tanpa sebarang panduan. Sebab itulah saya akhirnya mendapat pengalaman cukup menarik pada subuh bening penghujung Disember tahun 198... - saya berjalan kaki dari Hentian Pudu Raya sehingga ke Jalan Pantai Baharu, yakni destinasi pertama yang saya hendak tujui.

Setiap langkah yang saya hayun sebenarnya hanya mengikut gerak hati semata-mata - itu kali pertama saya jejakkan kaki di bumi Kuala Lumpur. Saya tak tahu berapa ratus atau ribu langkah lagi yang ada di depan untuk sampai ke destinasi. Cuma ketika saya terserempak dengan seorang perempuan dan bertanyakan arah Jalan Pantai Baharu, perempuan itu berkata, "Adik naik bas mini la..." Dengan sendiri saya tahu bahawa saya harus melangkah jauh lagi.

Itu antara pelajaran awal di universiti kehidupan saya dan saya amat-amat bersyukur berjaya melaluinya. Malah, saya cukup bangga kerana bukan semua orang beroleh pengalaman seperti itu.

Ketika meneruskan kuliah di universiti kehidupan ini, saya menjadi antara 'pelajar termuda'. Kehidupan saya di kelilingi senior sekaligus menjadikan saya berfikir selari dengan mereka. Benarlah kata orang bahawa persekitaran banyak mempengaruhi kehidupan kita. Mujurlah 'penapis' saya cukup kuat menapis dan memisahkan antara yang perlu dengan yang tidak untuk diri saya.

Saya pernah terbaca satu ungkapan dalam sebuah buku; 'Pelajaran itu ada dalam dua bentuk, yakni yang baik dan yang tidak baik. Kita boleh memilih untuk mempelajari yang baik sahaja dan membiarkan yang tidak baik. Kita juga boleh mempelajari kedua-duanya, menggunakan yang baik itu sebagai panduan dan menjadikan yang tidak itu sebagai peringatan.'

Saya hanya ingin bersyukur dengan kehidupan saya. Berterima kasih kepada universiti kehidupan yang mengajarkan saya tengang hidup dan kehidupan - yang banyak mendedahkan saya kepada praktikalnya berbanding hanya teori. Namun sebenarnya tetap ada rasa terkilan kerana saya gagal untuk memenuhi tuntutan akademik yang mencukupi untuk bekalan, atau sekurang-kurangnya menambahkan ilmu saya yang masih kurang. Biarpun saya tahu bahawa proses menuntut ilmu itu akan berterusan sehinggalah kita menutup mata kelak, namun ada waktu-waktu kemampuan kita terbatas. Ada waktunya kita bagai 'terhenti' di satu titik walaupun itu bukan titik kematian.

Saya sentiasa berharap saya akan terus mampu menjadi mahasiswa di universiti kehidupan ini, di mana di sini saya tak pernah pun mengharapkan untuk memperolehi segulung ijazah. Saya cuma berharap mendapat keredhaan-Nya, mendapat mendapat keberkatan-Nya dan mendapat keampunan-Nya atas 'kenakalan' saya dalam setiap 'sesi kuliah'.

0 comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin