18 January 2009

Masih Adakah Rasa Belas Kasihan?

Suatu hari, pada masa pemerintahan Khalifah Umar, ketika Umar sedang duduk-duduk dengan para sahabatnya, tiga pemuda bangsawan yang tampan memasuki majlisnya.

Dua orang di antaranya berkata, "Kami berdua bersaudara. Ketika ayah kami sedang bekerja di ladangnya, dia dibunuh oleh pemuda ini, yang sekarang kami bawa kepada tuan untuk diadili. Hukumlah dia sesuai dengan Kitabullah."

Umar menatap pemuda ketiga dan memintanya untuk berbicara.

"Walaupun di sana tidak ada saksi sama sekali, Allah, Yang selalu Hadir, mengetahui bahawa mereka berdua berkata yang sebenar-benarnya," kata si tertuduh itu.

"Aku sangat menyesal ayah mereka terbunuh di tanganku. Aku orang dusun. Aku tiba di Madinah pagi tadi untuk berziarah ke makam Rasullulah s.a.w. Di pinggir kota, aku turun dari kudaku untuk menyucikan diri dan berwudhu. Kudaku mulai memakan ranting-ranting pohon kurma yang bergelantungan melewati tembok. Setelah melihatnya, aku menarik kuda menjauhi ranting-ranting tersebut. Pada saat itu juga, seorang laki-laki tua yang sedang marah mendekatiku dengan membawa batu yang besar. Dia melemparkan batu itu ke kepala kudaku, dan kudaku pun mati. Kerana aku sangat menyayangi kuda itu, aku tak dapat mengawal diri. Aku mengambil batu itu dan melemparkannya kembali ke arah orang tua tersebut. Dia rebah dan meninggal. Jika aku ingin melarikan diri, aku boleh saja melakukannya, tetapi ke mana? Jika aku tidak mendapatkan hukuman di sini, di dunia ini, aku pasti akan mendapatkan hukuman yang abadi di akhirat nanti. Aku tidak bermaksud membunuh orang tua itu, tetapi kenyataannya dia mati di tanganku. Sekarang tuanlah yang berhak mengadili aku."

Khalifah berkata, "Engkau telah melakukan pembunuhan. Menurut hukum Islam, engkau harus menerima hukuman yang setimpal dengan apa yang telah engkau lakukan."

Walaupun pernyataan itu bererti satu pengumuman kematian, pemuda itu tetap bersabar; dan dengan tenang dia berkata, "Kalau begitu, laksanakanlah. Namun, aku menanggung satu tanggungjawab untuk menyimpan harta kekayaan anak yatim yang harus aku serahkan kepadanya bila dia telah cukup umur. Aku menyimpan harta tersebut di dalam tanah agar selamat. Tak ada seorangpun yang tahu letaknya kecuali aku. Sekarang aku harus menggalinya dan menyerahkan harta tersebut kepada pengawasan orang lain. Kalau tidak, anak yatim itu akan kehilangan haknya. Beri aku tiga hari untuk pergi ke desaku dan menyelesaikan masalah ini."

Umar menjawab, "Permintaanmu tidak dapat dipenuhi kecuali ada orang lain yang bersedia menggatikanmu dan menjadi jaminan untuk nyawamu."

"Wahai Amirul Mukminin," kata pemuda tersebut, "Aku dapat melarikan diri sebelumnya jika aku mahu. Hatiku sarat dengan rasa takut kepada Allah; yakinlah bahawa aku akan kembali."

Khalifah menolak permintaan itu atas dasar hukum. Pemuda itu memandang kepada para pengikut Rasullulah s.a.w, yang mulia yang berkerumun di sekeliling khalifah. Dengan memilih secara rambang, dia menunjuk Abu Dzar Al-Ghifari dan berkata, "Orang ini akan menjadi jaminan bagiku." Abu Dzar adalah salah satu saeorang sahabat Rasulullah s.a.w. yang paling dicintai dan disegani. Tanpa keraguan sedikit pun, Abu Dzar setuju untuk menggantikan pemuda itu.

Si tertuduh pun dibebaskan untuk sementara waktu. Pada hari ketiga, kedua pengadu itu kembali ke sidang khalifah. Abu Dzar ada di sana, tetapi tertuduh itu tidak ada. Kedua penuduh itu berkata: "Wahai Abu Dzar, anda bersedia menjadi jaminan bagi seseorang yang tidak anda kenal. Seandainya dia tidak kembali, kami tidak akan pergi tanpa menerima pengganti darah ayah kami."

Khalifah berkata, "Sungguh, bila pemuda itu tidak kembali, kita harus melaksanakan hukuman itu kepada Abu Dzar."

Mendengar kata-kata tersebut, setiap orang yang hadir di sana mulai menangis, kerana Abu Dzar orang yang berakhlak sempurna dan bertingkah laku sangat terpuji, merupakan cahaya dan inpirasi bagi semua penduduk Madinah.

Ketika hari ketiga itu hampir berakhir, kegemparan, kesedihan dan kekaguman orang-orang mencapai puncaknya, tiba-tiba pemuda itu muncul. Dia datang dengan berlari dan dalam keadaan penat, berdebu dan berkeringat. "Aku mohon maaf kerana telah membuat anda bimbang," dia berkata termengah-mengah, "Maafkan aku kerana baru tiba pada saat terakhir. Terlalu banyak yang harus aku kerjakan. Padang pasir sangatlah panas dan perjakanan ini teramat panjang. Sekarang aku telah sedia, laksanakanlah hukumanku."

Kemudian dia berpaling kepada kumpulan orang ramai dan berkata, "Orang yang beriman selalu menepati ucapannya. Orang yang tidak dapat menepati kata-katanya sendiri adalah orang munafik. Siapakah yang dapat melarikan diri dari kematian, yang pasti akan datang cepat atau lambat? Apakah saudara-saudara berfikir bahawa aku akan menghilang dan membuat orang-orang berkata, orang-orang Islam tidak kagi menepati ucapannya sendiri?"

Kumpulan orang ramai kemudian berpaling kepada Abu Dzr dan bertanya apakah dia sudah mengetahui sifat yang terpuji daripada pemuda tersebut. Abu Dzar menjawa, "Tidak, sama sekali. Tetapi, saya tidak merasa mampu untuk menolaknya ketika dia memilih saya, kerana hal itu sesuai dengan asas-asas kemuliaan. Haruskah saya menjadi orang yang membuat rakyat berkata bahawa tak ada lagi perasaan haru dan kasih sayang yang tersisa dalam Islam?"

Hati dan perasaan kedua penuduh itu tersentuh dan bergetar. Mereka lalu menarik tuduhannya, seraya berkata, "Apakah kami harus menjadi orang yang membuat rakyat berkata bahawa tiada lagi rasa belas kasihan di dalam Islam?"

Sungguh benar; bahawa dalam diri orang Islam itu ada rasa belas kasihan antara sesama manusia, tetapi hari ini umat Islam dibunuh, disiksa dan diperlakukan sesuka hati tanpa ada rasa perikemanusiaan. Moga Allah s.w.t melindungi umat Islam di Palestin.

17 January 2009

Mamang dah TAKNAK!


SAYA sekadar berkongsi pengalaman serta apa yang saya lihat di depan mata, semenjak lebih 20 tahun lalu - yakni ketika saya mula berjinak dengan rokok. Saya ni kira bagus juga (puji diri ehh!), kerana waktu zaman sekolah saya bukan murid yang curi-curi merokok dalam tandas atau di mana-mana port. Saya memulakan 'karier' sebagai perokok sebaik saya mula bekerja, yakni sebaik saya sudah ada duit sendiri.

Pun begitu, pada mulanya seperti kebanyakan perokok, banda ni dimulai dengan huluran kawan-kawan, lama-lama bila dah 'rasa sedap' (apa tah yang sedapnya?), kita akan mula belajar beli sendiri, atau dengan kata lain mula pandai membakar duit, membakar paru-paru sendiri serta melemaskan orang sekeliling!

Sebagaimana yang ditanyakan oleh QASEH - apa rahsia saya berhenti merokok? Sebenarnya, terus-terang, tak ada rahsia besar selain KEINGINAN, KESEDARAN, KEINSAFAN, KEKUATAN diri sendiri sahaja yang mampu membawa seseorang itu jauh dari rokok sekaligus merealisasikan ungkapan TAKNAK! itu. Saya lebih suka berpijak di bumi nyata, saya lebih suka melihat sesuatu dari sudut praktikalnya bukan sekadar teori. Kalau sekadar teori saya mungkin boleh menulis buku 'BAGAIMANA MAHU BERHENTI MEROKOK'. Dan memang ada buku seperti itu, kan? Tapi, andai saya masih seorang perokok, saya TAK AKAN MEMBACA BUKU SEPERTI ITU. Apa perlunya saya baca kerana hati saya TAKNAK! berhenti merokok. Lainlah kalau saya sudah memang TAKNAK! merokok lagi.

Bersama saya sekitar 4-5 tahun lalu, sewaktu saya meninggalkan rokok ada seorang rakan lagi kebetulan memulakan niat itu. Tetapi bezanya, itu merupakan percubaan ketiga dia berhenti merokok. Dua percubaan sebelum ini hanya bertahan sekitar 3-6 bulan sahaja dan nyata selepas itu dia semakin gila merokok - senang-senang habiskan 40-60 batang dalam masa 24 jam! Alhamdulillah, percubaan ketiganya berhasil dan sampai sekarang dia kekal tidak merokok lagi.

Sebagaimana yang saya katakan sebelum ini, tiga bulan pertama memang cukup menyeksakan. Selain terpaksa berdepan dengan sakit dada dan batuk-batuk, saya terpaksa tidur awal setiap malam, sedangkan kebiasaan saya memang buat kerja sampai lewat malam dan awal pagi. Dalam tempoh itu juga saya terpaksa meninggalkan banyak kerja dan cuba melakukannya pada siang hari. Alhamdulillah... sahingga kini saya boleh bejaga sampai ke subuh walau tanpa berteman rokok!

Penhujung tahun lalu, saya menghadiri majlis penutup KEM MOTIVASI yang anak saya sertai di Sungai Congkak. Sewaktu menanti anak-anak dilepaskan pulang, saya ke gerai menjual cenderahati milik penganjur kem itu. Saya terlihat beberapa botol kecil yang dikatakan ubat untuk berhenti merokok. Saya tanya harganya dalam botol lebih kurang 50ml itu - RM70.00! Adik yang jaga gerai tu tanya, "Abang nak?" Saya kata tak apa, saya dah lama berhenti merokok tanpa makan apa-apa ubat pun.

Kemudian ketika majlis penyerahan anak-anak, salah seorang pakar motivasi menyatakan cara pengubatan untuk berhenti merokok. Tapi nampaknya cara itu cukup menyeksakan! Salah satunya sampai muntah darah untuk cuci segala karat-karat dalam paru-paru. Saya tak ingat apa yang digunakannya, tapi kalau tak silap 'getah nipah'. Perlukah sampai seksa begitu? Di samping itu ada motivasi dan terapi yang disediakan. Nah, hal ini saya lihat hanya akan MEMBUAT PEROKOK TAK MAHU BERHENTI! Sedangkan, apabila saya katakan saya sakit dada dalam tempoh masa yang agak panjang sudah cukup membuat kawan-kawan perokok berfikir berkali-kali untuk berhenti.

Ringkasnya; BERHENTI MEROKOK MEMANG 'MENYAKITKAN'. Bukan saja ada impak sakit fizikal, namun yang lebih 'sakit' adalah sakitnya jiwa melawan ketagihan!

Dan, pengalaman 'paling sakit' yang saya alami ketika merokok - saya merasai bagaimana apabila tak dapat menyedut oksigen untuk beberapa minit. Saya rasa begitulah ketika manusia ini sedang nazak di hujung-hujung nyawanya.

TAKNAK! yang bagaimana anda inginkan, terserah anda...

15 January 2009

Dah Lama TAKNAK!



SUDAH hampir lima tahun saya tinggalkan rokok! Alhamdulillah, saya langsung tak ada nafsu terhadap benda laknat yang saya sedut selama 20 tahun sebelum ini. Baru-baru ini saya mengalami batuk-batuk, satu fenomena biasa yang saya hadapi sejak berhenti merokok. Ada waktu-waktu memang teruk juga melayan batuk. Menurut doktor, saya antara yang beruntung kerana mampu berhenti merokok sebelum usia 40. Maknanya, saya kurang risiko untuk mendapat kanser!

Menurut doktor lagi, gangguan batuk-batuk tersebut mungkin salah satu impak dan kesan pemulihan paru-paru saya. Kesan asap rokok yang selama ini melekat pada dinding paru-paru saya mungkin berguguran kerana tumbuhnya sel-sel baru. Tak apalah, saya dah semakin biasa dengan hal-hal seperti itu. Kerana, sepanjang 3 bulan pertama saya berhenti merokok sepanjang masa itulah saya mengalami batuk-batuk tanpa henti.

Ramai yang tanya kenapa dan macam mana saya boleh berhenti merokok macam tu saja. Tak ada jawapan yang benar-benar dapat menjelaskan hal ini kerana bagi saya setiap orang ada kemampuan masing-masing. Mungkin saya boleh tapi tidak pada orang lain. Lalu untuk pertanyaan seperti itu saya jawap dengan pertanyaan kembali, "Kamu rasa kamu nak berhenti merokok atau tidak?" Maksudnya berhenti bukan kerana sesuatu sebab - seperti bini/awek paksa, sakit dada, batuk dsb.

TAKNAK! Ungkapan ini boleh disifinisikan kepada;
i) TAKNAK! merokok dah
ii) TAKNAH! berhenti merokok lagi
Jadi, sekarang terpulang kepada anda untuk menentukannya. Kalau berhenti merokok pun belum tentu kamu dapat jimatkan duit rokok tersebut. Tapi kalau terus merokok, dah tentu-tentu kamu bazirkan duit tersebut, kan?

Ini pula bukan kajian pakar, tetapi sekadar penelitian saya. Jika kamu sudah mula berhenti merokok tetapi kemudian bebalik kepada tabiat itu, biasanya kamu akan menjadi perokok yang semakin teruk. Kalau dulu 20 batang sehari, ia mungkin meningkat kepada 40 batang pula!

Pagi tadi, saya minum di sebuah restoran mamak. Dan, saya terus perhatikan satu perangai manusia perokok yang dah lama saya perhatikan. Rasanya mungkin dulu sewaktu jadi perokok, saya juga melakukan 'kebodohan' dan 'kekurang-ajaran' seperti itu. Pertama-tama perangai tak senonoh dan pengotor seorang perokok adalah, walaupun ada ashtray di atas meja tempat dia duduk, DIA TETAP BUANG HABUK ROKOK DI LANTAI! Kemudian bila dah habis campak puntung kat lantai pijak sampai penyak! Bodohkah atau bangangkah atau buta kayukah kerana tak reti gunakan tempat habuk rokok itu?

Keduanya; seorang perokok itu selfish! Dia hanya fikir betapa nikmat dan sedap asap yang masuk ke dalam paru-parunya, tanpa fikir kerimasan orang lain dengan asap yang dia hembus keluar. Kenapa tak telan semua asap tersebut? Mungkin perokok akan kata mengada-ngada saja konon rimas dengan asap rokok. Ya! Memang merimaskan, malah MELEMASKAN! Dulu saya pun tak peduli hal itu, tetapi apabila saya sudah tidak merokok lagi, saya berasa cukup LEMAS duduk berhampiran orang yang merokok. Jadi, kalau kamu itu seorang 'perokok mulia' dan bersopan santun, tolong hormati keselesaan orang lain - kamu nak mampus telan asap pergi jauh-jauh!

Menurut Organisasi Kesihatan Dunia, produk tembakau saat ini menjadi penyebab utama kedua kematian di dunia. Tembakau bertanggungjawab atas kematian 1 daripada 10 orang dewasa di seluruh dunia, sekitar 5 juta kematian setiap tahunnya, sementar kanser saat ini membunuh 7 juta orang dalam setahun.

Apabila angka-angka terus meningkat pada tahap sekarang ini, tembakau dan pelbagai penyakit yang berhubungan dengan merokok akan menjadi pembunuh terbesar di dunia pada tahun 2030, membunuh 10 juta orang dalam setahun.

Sekitar 1.3 bilion orang adalah perokok tetap. Separuh daripada mereka bererti 650 juta orang pada akhirnya akan tewas gara-gara tembakau. Negara-negara maju yang paling banyak menderita. Saat ini 84 peratus perokok berada di negara-negara berpendapatan menengah - rendah, tempat kebiasaan merokok meningkat secara bertahap sejak tahun 1970.

Sebaliknya, tahap merokok di kalangan lelaki dari Amerika Syarikat menurun 55 peratus pada tahun 1950-an menjadi 28 peratus pada tahun 1990-an. Di Timur Tengah tempat separuh lelaki dewasanya merokok meningkat 24 peratus antara tahun 1990 dan 1997.

Konsekuensi ekonomi dari kebiasaan merokok di dunia berkembang sama berbahayanya dengan iampaknya terhadap kesihatan. Di tempat-tempat seperti Nigeria, Vietnam dan Bangladesh, (di Malaysia juga) keluarga-keluarga miskin menghabiskan wang sepertiga lebih banyak kepada produk-produk tembakau daripada makanan.

13 January 2009

Bila Tiba Waktunya...

Salam bersua kembali!

Agak lama saya tinggalkan blog ini - entah ada entah tidak yang mengunjunginya lagi. Mungkin saja setiap kali ke sini tak ada apa-apa yang baru, lalu mereka bosan dan tak pernah kembali lagi!

Seperti dahulu juga, saya tak mahu memberikan apa-apa alasan kenapa saya biarkan blog ini seperti sebelumnya, dan kenapa pula tiba-tiba saya menulis semula. Kadang-kadang sesuatu itu tak perlukan penjelasan apa-apa - biarkan saja.

Tahun 2009 juga sudah masuk minggu kedua, jadi tak perlulah saya ucap selamat tahun baru di sini - biarkan saja. Kerana, apa yang bakal mendatang haruslah kita tempuhi walau bagaimana keadaan sekalipun. Walau sesuatu yang tak kita kehendaki, andai ia datang jua mampukah kita untuk lari? Dalam hidup dan kehidupan hakikatnya tak guna kita melarikan diri kerana andai kita lari pasti akan ada hal lain yang datang juga menghampiri diri kita. Sebenarnya, sudah ditetapkan bahawa kita harus melalui satu-satu hal pada sekian-sekian masa.

Sembilan tahun lalu emak saya pergi buat selama-lamanya... dan penghujung 2008, pada perkiraan tahun hijrahnya hanya berselang tidak berapa lama, nenek dan makcik jiran sebelah rumah pula yang dijemput pergi.

Kalau dahulu, saya tak sempat bertemu emak pada saat akhir beliau. Yang saya tahu emak sihat dan pergi mengejut. Walau saya tak dapat bertemu dalam masa terdekat sebelum kepergiannya, saya panjatkan kesyukuran kerana emak pergi dalam keadaan yang 'mudah'.

Nenek, tidak sedarkan diri selama tiga hari. Ketika saya singgah melawatnya, nenek hanya tidur. Cuma kelihatan dadanya berombak tanda masih bernafas. Wajahnya bersih. Seperti juga arwah emak ketika saya buka kain penutup jenazah, saya lihat emak senyum. Sebelum pulang saya rapati nenek yang tidur dan saya cium dahinya, saya usap rambut nenek yang masih banyak hitam berbanding putih walau usia sudah melebihi 90 tahun.

Kemudian saya pulang ke rumah ayah di daerah lain. Selain nak menjenguk abang saya, saya juga ingin melawat makcik sebelah rumah yang khabarnya kurang sihat ketika itu. Esok petangnya saya terima khabar makcik sebelah rumah dah pergi buat selamanya. Kemudian, tengah hari hari kemudiannya nenek pula menyusul. Al-Fatihah buat semua yang telah pergi lebih dahulu. Kita... saya dan kamu yang masih tinggal ini harus meneruskan kehidupan sehingga waktunya cukup.

Mudah-mudahan selepas ini saya mampu untuk mengisi ruang di sini tanpa sebarang alasan pun. Wassalam....
Blog Widget by LinkWithin