17 January 2009

Mamang dah TAKNAK!


SAYA sekadar berkongsi pengalaman serta apa yang saya lihat di depan mata, semenjak lebih 20 tahun lalu - yakni ketika saya mula berjinak dengan rokok. Saya ni kira bagus juga (puji diri ehh!), kerana waktu zaman sekolah saya bukan murid yang curi-curi merokok dalam tandas atau di mana-mana port. Saya memulakan 'karier' sebagai perokok sebaik saya mula bekerja, yakni sebaik saya sudah ada duit sendiri.

Pun begitu, pada mulanya seperti kebanyakan perokok, banda ni dimulai dengan huluran kawan-kawan, lama-lama bila dah 'rasa sedap' (apa tah yang sedapnya?), kita akan mula belajar beli sendiri, atau dengan kata lain mula pandai membakar duit, membakar paru-paru sendiri serta melemaskan orang sekeliling!

Sebagaimana yang ditanyakan oleh QASEH - apa rahsia saya berhenti merokok? Sebenarnya, terus-terang, tak ada rahsia besar selain KEINGINAN, KESEDARAN, KEINSAFAN, KEKUATAN diri sendiri sahaja yang mampu membawa seseorang itu jauh dari rokok sekaligus merealisasikan ungkapan TAKNAK! itu. Saya lebih suka berpijak di bumi nyata, saya lebih suka melihat sesuatu dari sudut praktikalnya bukan sekadar teori. Kalau sekadar teori saya mungkin boleh menulis buku 'BAGAIMANA MAHU BERHENTI MEROKOK'. Dan memang ada buku seperti itu, kan? Tapi, andai saya masih seorang perokok, saya TAK AKAN MEMBACA BUKU SEPERTI ITU. Apa perlunya saya baca kerana hati saya TAKNAK! berhenti merokok. Lainlah kalau saya sudah memang TAKNAK! merokok lagi.

Bersama saya sekitar 4-5 tahun lalu, sewaktu saya meninggalkan rokok ada seorang rakan lagi kebetulan memulakan niat itu. Tetapi bezanya, itu merupakan percubaan ketiga dia berhenti merokok. Dua percubaan sebelum ini hanya bertahan sekitar 3-6 bulan sahaja dan nyata selepas itu dia semakin gila merokok - senang-senang habiskan 40-60 batang dalam masa 24 jam! Alhamdulillah, percubaan ketiganya berhasil dan sampai sekarang dia kekal tidak merokok lagi.

Sebagaimana yang saya katakan sebelum ini, tiga bulan pertama memang cukup menyeksakan. Selain terpaksa berdepan dengan sakit dada dan batuk-batuk, saya terpaksa tidur awal setiap malam, sedangkan kebiasaan saya memang buat kerja sampai lewat malam dan awal pagi. Dalam tempoh itu juga saya terpaksa meninggalkan banyak kerja dan cuba melakukannya pada siang hari. Alhamdulillah... sahingga kini saya boleh bejaga sampai ke subuh walau tanpa berteman rokok!

Penhujung tahun lalu, saya menghadiri majlis penutup KEM MOTIVASI yang anak saya sertai di Sungai Congkak. Sewaktu menanti anak-anak dilepaskan pulang, saya ke gerai menjual cenderahati milik penganjur kem itu. Saya terlihat beberapa botol kecil yang dikatakan ubat untuk berhenti merokok. Saya tanya harganya dalam botol lebih kurang 50ml itu - RM70.00! Adik yang jaga gerai tu tanya, "Abang nak?" Saya kata tak apa, saya dah lama berhenti merokok tanpa makan apa-apa ubat pun.

Kemudian ketika majlis penyerahan anak-anak, salah seorang pakar motivasi menyatakan cara pengubatan untuk berhenti merokok. Tapi nampaknya cara itu cukup menyeksakan! Salah satunya sampai muntah darah untuk cuci segala karat-karat dalam paru-paru. Saya tak ingat apa yang digunakannya, tapi kalau tak silap 'getah nipah'. Perlukah sampai seksa begitu? Di samping itu ada motivasi dan terapi yang disediakan. Nah, hal ini saya lihat hanya akan MEMBUAT PEROKOK TAK MAHU BERHENTI! Sedangkan, apabila saya katakan saya sakit dada dalam tempoh masa yang agak panjang sudah cukup membuat kawan-kawan perokok berfikir berkali-kali untuk berhenti.

Ringkasnya; BERHENTI MEROKOK MEMANG 'MENYAKITKAN'. Bukan saja ada impak sakit fizikal, namun yang lebih 'sakit' adalah sakitnya jiwa melawan ketagihan!

Dan, pengalaman 'paling sakit' yang saya alami ketika merokok - saya merasai bagaimana apabila tak dapat menyedut oksigen untuk beberapa minit. Saya rasa begitulah ketika manusia ini sedang nazak di hujung-hujung nyawanya.

TAKNAK! yang bagaimana anda inginkan, terserah anda...

0 comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin