29 November 2007

Hikmah Untuk Kita


SUDAH tiga bulan berlalu - 26hb OGOS, saya diberitahu bahawa esok (27hb OGOS) ada pertemuan dengan bos besar. Semalman, yang datang dalam fikiran saya adalah hal yang pernah dibincangkan setahun sebelumnya.

Memang benar apa yang saya fikirkan! Maka, bersempena dengan ulangtahun ke-50 negara kita merdeka, saya dan seluruh team BS turut 'DIMERDEKAKAN'. Dibebaskan dari penjara alis sangkar emas.

Sudah tiga bulan juga saya menjadi 'penganggur'. Walaupun ada kerja, yakni mencari kerja adalah kerja saya - namun, bukanlah mudah seperti yang disangka. Banyak faktor yang mungkin hanya orang yang mengalaminya saja yang akan benar-benar faham hakikat ini.

Bermula dengan menghadapi Ramadan sebagai pengangur. Kemudian berhari raya juga sebagai penganggur. Mujurlah umur sudah boleh dikatakan banyak, jadi tak berapa dihiraukan tentang persediaan 'beria-ia' menyambut raya yang lalu.

Sambil-sambil menghabiskan masa mencari apa kerja yang boleh saya buat, saya buat macam-macam eksperimen termasuk hal-hal yang tak pernah saya lakukan sebelum ini. Alhamdulillah, walaupun bukan mendatangkan hasil buat masa ini, saya yakin ia boleh menjadi penyumbang kepada salah satu sumber pendapatan saya.

Siapa yang tak sedih melihat keadaan diri begini - tipu kalau tak ada perasaan begitu. Tak apalah, nasib masing-masing antara kita tak sama. Ada hikmah walaupun mungkin kita belum nampak apa-apa lagi. Cuba, semenjak jadi penganggur 'anak dara' saya cukup suka sebab katanya ayah ada banyak masa melayan kerenah dia. Hujung-hujung sebelum cuti semester akhir persekolahan 2007, saya hantar dan jemput dia pulang dari sekolah. Itu antara yang dia suka sangat-sangat. Dan... mungkin itu juga salah satu hikmah saya jadi penganggur - masa yang terlalu kurang dengannya dapat saya tebus kembali.

Seperkara lagi, saya berpeluang cuba memasak resipi-resipi keluarga yang ayah dan arwah mak saya pernah ajarkan. Ada kala seawal jam 10 pagi saya dah berdiri di dapur. Hikmahnya, barulah saya tahu sampai suatu masa kalau dah hari-hari duduk dapur kita memang kematian idea nak masak apa lagi.

Beberapa hari lalu, sebelum menghadiri perjumpaan Komik Malaysia PTS, saya sempat SMS kawan-kawan yang mungkin berminat. Sambil-sambil itu, bertanya khabar dan perkembangan masing-masing. Walaupun mereka bukan menjadi tangungjawab saya sebagai Ketua Jabatan mereka lagi, tapi hubungan harus diteruskan sebagai kawan dan manusia.

Ketika dalam perjalanan ke Wangsa Melawati, saya mendapat satu SMS... [aku dah kene halau dengan bini!] Saya hanya mampu mengucap panjang dengan nasib kawan ini. Mungkin layak disebut, sudah jatuh ditimpa tangga! Tak pasti adakah dia dihalau dek bini itu kerana kegagalannya mendapat kerja atau sumber pendapatan. Mungkin ada hal lain dan itu hanya salah satu sebab.

Apa yang dapat saya fikirkan - nasib setiap di antara kita berbeza. Dan, setiap di antara kita yang pastinya akan merasai saat-saat yang cukup menekan setidak-tidaknya sekali dalam seumur hidup ini.

Moga Tuhan Yang Maha Pemurah sentiasa memberi ketenangan kepada kita. Sesungguhnya dengan ketenangan jiwa, kita lebih rasional melayan fikiran. Bila kita rasional, banyaklah hal-hal positif yang mampu kita fikirkan, insya-Allah.

28 November 2007

Penjara Emas!


BEBERAPA hari kebelakangan ini, saya banyak berfikir 'ke belakang'... cuba mengundur masa, walaupun sebenarnya masa yang berlalu itu tak boleh saya kembalikan. Sekadar 'menghabiskan' masa yang begitu 'banyak terluang' ketika ini, yang hampir tak sempat saya nikmatinya sebelum ini. Sepanjang lebih 20 tahun saya 'terpenjara' dengan sesuatu yang pada mulanya sekadar hobi, minat dan kemudian berkembang menjadi karier.

Kenapa saya gunakan istilah 'terpenjara', sedangkan ada rakan-rakan yang mengatakan saya bertuah kerana dapat mencapai hampir semua apa yang saya impikan. Sebenarnya, itu hanya yang tersurat... bukan yang tersirat! Itulah sebabnya, apabila saya menerobos terowong masa dan berundur 20 tahun ke belakang, saya berkata alangkah baiknya kalau saya mampu mengubah sesuatu pada waktu itu. Alangkah baiknya...

Saya teringat kata-kata seseorang yang cukup banyak membuat hidup dan kehidupan saya berubah selama ini. Katanya, "Peluang yang sebenar-benar peluang terbaik, hanya akan muncul sekali dalam hidup kita." Pada mulanya saya protes dengan pendapat itu. Mana mungkin kita hanya memiliki atau diberi satu peluang sahaja dalam kehidupan ini. Namun, akhirnya saya faham - maksudnya, peluang yang benar-benar terbaik hanya sekali. Bukan bererti kita tak memiliki peluang-peluang lain.

Makanya, hargai setiap peluang yang ada, manfaatkan sebaiknya, pertimbangkan dengan setenang-tenangnya... kemudian buatlah keputusan. Andai kita silap pertimbangan, nescaya impaknya kalau tidak kita rasakan pada waktu itu mungkin akan kita rasakan secara perlahan-lahan, bersama beranjaknya waktu.

Selepas melihat 'peluang-peluang' yang datang, saya memanfaatkannya. Saya melompat dari satu 'penjara' ke satu 'penjara' lain untuk terus merebut peluang keemasan. Sehingga saya merasakan roda kehidupan ketika itu telah bertukar menjadi 'roda impian'. Apakah perbezaan roda kehidupan dan roda impian?

Roda kehidupan putarannya tak menentu, dan biasanya agak perlahan. Kadang-kadang ia terhenti untuk suatu waktu yang tak kita jangkakan lamanya, sama ada di atas mahupun di bawah. Manakala roda impian sentiasa berputar deras untuk memenuhi impian-impian kita. Roda impian mampu merealisasikan impian kita dalam sekelip mata, dan ia juga mampu memusnahkan impian yang telah diberikannya itu - juga dalam sekelip mata!

Setelah berputar-putar dari roda kehidupan kepada roda impian, suatu masa 'roda' saya berhenti dan meletakkan saya di dalam sebuah 'lombong emas'! Waktu itu memang hampir semua orang lupa bahawa 'lombong emas' ini tetap berupaya menenggelam dan melemaskan sesiapa saja yang ada di dalamnya.

Saya dapat menyaksikan keluar masuknya penghuni lombong emas ini. Memang dalam diam-diam saya semakin memikirkan tentang kemungkinan bahawa mungkin suatu masa kelak saya akan dilemaskan di lombong emas ini. Saya semakin berfikir tetapi bagai tidak mampu berbuat apa-apa, sehingga ada seorang rakan yang pernah meninggalkan lombong emas ini untuk mencuba nasib di luar kembali semula. Katanya kepada saya, "Aku telah kembali semula ke lombong emas ini..."

Benar-benar tepatkan istilah LOMBONG EMAS itu? Andai ia memang lombong emas, pastinya setiap pelombong akan menikmati hasil emas juga. Tetapi mengapa semakin hari emas-emas yang dilombong hanya menghasilkan bijih dan besi?

Setelah 10 tahun saya melombong dilombong emas ini, dan semakin hari semakin merasakan bahawa emas-emas itu tlah digantikan dengan besi - mungkin besi karat! Setelah 10 tahun, akhirnya apa yang saya fikirkan sekitar lima tahun lalu tentang kemungkinan saya lemas atau dilemaskan di lombong emas ini menjadi kenyataan!

Memang saya tenggelam! Namun saya tenggelam bukan bersendirian tetapi bersama beban-beban semasa menjadi pelombong 10 tahun. Lalu, apabila jasad saya berada di dasar lombong emas itu, dengan mencungap saya harus naik ke permukaan untuk menyedut udara. Saya harus!

Biarpun saya bukan timbul dan menyedut udara di permukaan lombong emas itu, saya cukup selesa dengan udara di lombong lain walaupun bukan berstatus lombong emas. Saya pasrah, saya mungkin harus berada di lombong pasir tetapi insya-Allah saya tak akan MAKAN PASIR! Dan, mungkin makan pasir di lombong pasir itu lebih relevan berbanding makan pasir di lombong emas!

Saya kini meninggalkan seluruh beban di dasar lombong emas itu. Saya merangkak keluar dengan bahu yang ringan tanpa 'beban emas' lagi. Saya tahu, saya akan terpaksa memikul 'pasir' selepas ini. Biarlah... kerana saya tahu bahawa PASIR ITU KELAK AKAN MAMPU SAYA NILAIKAN SEPERTI EMAS, insya-Allah.

Tiga hari lalu, ketika bertemu dengan seorang rakan lama yang menganggap saya sebagai salah seorang 'gurunya', kami banyak mengundurkan masa - sekadar melihat kegembiraan dan kesediha masa lampau. Tiba-tiba timbul perkataan 'LOMBONG EMAS' di celahan perbualan kami. Dia sebenarnya lebih dahulu tercampak dalam lombong pasir setelah berada di lombong emas. Kemudian, saya membetulkan istilah LOMBONG EMAS itu....

Saya katakan kepadanya, "Sebenarnya selama ini aku bukan berada di LOMBONG EMAS, tetapi... aku berada di dalam PENJARA EMAS!" Dan, dia senyum sambil mengangguk perlahan tanda faham apa yang aku maksudkan.

27 November 2007

Komik Malaysia [PTS] & PeKOMIK

Pertemuan ini seterusnya diharap benar-benar dapat merealisasikan harapan dan impian, KOMIK MALAYSIA akan muncul di pasaran. Sabtu, 24 November, jam 10.30 pagi: berkumpullah sekumpulan pelukis dalam sesi pertemuan dengan pengurusan Unit Komik Malaysia PTS. Menggariskan kembali apa yang dikatakan telah 'mati' sebelum ini, sekaligus memberi kembali harapan kepada semua pihak yang terlibat. Membincangkan dan menyuarakan semula apa yang terpendam serta menjadi tanda tanya sebelum ini.

Kemudian dilanjutkan dengan mesyuarat 'kecil-kecilan' PeKOMIK dengan agenda menarik - membawa visi memertabatkan kumpulan ini dan mahu seluruh pengkarya lebih terjamin, lebih 'selesa', jika tidak dalam masa terdekat ini sekurang-kurangnya generasi pelapis kelak akan 'menikmati'nya.

Nah, apa yang penting kini adalah menjadikannya realiti. Dan, yang pasti semua ini terletak di bahu semua yang terlibat. BERUSAHA, BERDOA, BERTAWAKAL... insya-Allah.






23 November 2007

Kita Ibarat Benih


JANGAN pernah berasa malu dengan segala keterbatasan. Jangan berasa sedih dengan ketidaksempurnaan. Kerana Maha Pencipta, menciptakan kita penuh dengan keistimewaan. Dan kerana Maha Pencipta, memang menyediakan kita menjadi mahluk dengan pelbagai kelebihan.

Seperti benih pohon yang menyimpan segalanya. Menyimpan batang yang kukuh, dahan yang rendang, daun yang lebar, juga akar-akar yang kuat. Dan untuk menjadi sebesar pohon ini, ia hanya memerlukan angin, air, dan cahaya matahari yang cukup. Namun jangan lupa bahawa waktu yang membuatnya terus tumbuh membesar. Pada mereka semualah benih ini berterima kasih, kerana telah melatihnya menjadi makhluk yang sabar.

Pandanglah pohon besar. Tahukah kita, batangnya yang kukuh, dulu berasal dari benih yang kecil. Dahan, ranting, dan daunnya, juga berasal dari benih. Akar-akarnya yang tampak menonjol, juga dari benih kecil. Dan kalau kita menggali tanah, ketahuilah, sulur-sulur akarnya yang menerobos tanah, juga berasal dari tempat yang sama.

Mungkin suatu ketika, kita pernah berasa kecil, tak mampu, tak berdaya dengan segala persoalan hidup. Kita mungkin sering bertanya-tanya, bila kita akan menjadi besar, dan mampu menggapai semua impian, harapan, dan keinginan yang ada di dalam dada. Kita juga boleh jadi sering membayangkan, bilakah saatnya berhasil? Bilakah saat itu akan datang?

Kita ibarat benih kecil. Benih yang menyimpan semua kekuatan dari batang yang kukuh, dahan yang kuat, serta daun-daun yang lebar. Dalam benih itu pula akar-akar yang keras dan menghujam itu berasal. Namun, akankah Maha Pencipta membiarkan benih itu tumbuh besar, tanpa alpa dengan bantuan tiupan angin, derasnya air hujan, dan teriknya sinar matahari?

Begitu juga kita, akankah Maha Pencipta membiarkan kita besar, berjaya, dan sukses, tanpa pernah merasakan ujian dan cubaan? Akankah Maha Pencipta lupa mengingatkan kita dengan hembusan angin 'masalah', derasnya air 'ujian', serta teriknya matahari 'persoalan'? Tidak! Kerana Dia Maha Tahu, bahawa setiap hamba-Nya akan menemukan jalan keberhasilan, maka Maha Pencipta akan tak pernah lupa dengan itu semua.

Jangan pernah berkecil hati. Sesungguhnya semua keberhasilan dan kesuksesan itu telah ada dalam diri kita.

Kopi atau Cangkirnya?


SEKUMPULAN bekas pelajar sebuah universiti yang telah mantap dalam karier masing-masing berkumpul untuk bertemu profesor mereka yang telah tua. Perbualan antara mereka terarah kepada topik tentang stress dalam pekerjaan dan kehidupan masing-masing.

Kemudian, profesor masuk ke dapur dan kembali dengan dulang berisi seteko besar kopi dan cangkir pelbagai jenis - dari porselin, plastik, gelas, kristal, dan gelas biasa. Beberapa di antaranya adalah gelas mahal yang sangat indah. Lalu profesor mengatakan kepada para mantan mahasiswanya untuk menuang sendiri kopi tersebut.

Setelah semua mahasiswanya mendapat secangkir kopi di tangan masing-masing, profesor itu mengatakan, "Jika kalian perhatikan, semua cangkir yang indah dan mahal telah diambil, yang tertinggal hanyalah gelas biasa dan yang murah saja. Meskipun normal untuk menginginkan hanya yang terbaik bagi diri kalian, tapi sebenarnya itulah yang menjadi sumber masalah dan stress yang kalian alami.

"Pastikan bahawa cangkir itu sendiri tidak mempengaruhi kualiti kopi. Dalam banyak kes, itu hanya kelihatan lebih mahal. Tapi dalam beberapa kes bahkan menyembunyikan apa yang kita minum. Apa yang kalian inginkan sebenarnya adalah kopi, bukanlah cangkirnya, namun kalian secara sedar mengambil cangkir terbaik dan kemudian mulai memerhatikan cangkir orang lain.

"Sekarang perhatikan hal ini... Kehidupan bagai kopi, sedangkan pekerjaan, wang dan kedudukan dalam masyarakat adalah cangkirnya. Cangkir bagaikan alat untuk memegang dan mengisi kehidupan. Jenis cangkir yang kita miliki tidak mendefinisikan atau juga mengganti kualiti kehidupan yang kita harungi.

"Seringkali, kerana terlalu menumpu hanya kepada cangkir, kita gagal untuk menikmati kopi yang Tuhan sediakan untuk kita. Tuhan memasak dan membuat kopi, bukan cangkirnya. Jadi, nikmatilah kopinya, jangan cangkirnya."


Sedarilah, jika kehidupan itu lebih penting dibanding pekerjaan, jika pekerjaan itu membatasi diri dan mengendalikan hidup, maka sebenarnya akan menjadikan diri kita sebagai orang yang mudah diserang dan rapuh akibat perubahan keadaan. Pekerjaan akan datang dan pergi, namun itu seharusnya tidak merubah diri kita sebagai manusia. Pastikan kita membuat tabungan kesuksesan dalam kehidupan selain dari pekerjaan yang kita lakoni.

19 November 2007

Kepakkan Sayap, Terbanglah...


SEORANG petani menemui sebutir telur di sawahnya, yang ternyata telur itu adalah telur helang. Namun si petani tersebut tidak menyedarinya. Kemudian si petani membawa telur tersebut pulang dengan niat untuk digoreng sebagai tambahan lauk hari itu. Tetapi sesampainya di rumah, dia membatalkan niatnya, tambahan melihat bentuk telur itu yang agak besar dan berbeza daripada telur ayam biasa. Akhirnya si petani meletakkan telur helang tersebut di sangkar seekor ayam betina yang sedang mengeram di belakang rumahnya.

Hari berganti hari, dan akhirnya telur helang itupun menetas bersama dengan telur–telur ayam lainnya. Masa kecil helang tersebut dihabiskan bersama anak–anak ayam yang lain sehingga cara kehidupan anak helang tersebut seperti anak-anak ayam yang lain.

Si helang semakin dewasa. Badannya semakin besar, sayapnya semakin lebar, paruhnya kuat dan semakin tajam, seta kakinya semakin gagah mencengkam. Tetapi ia masih berkelakuan seperti ayam. Ia tidak berani untuk mengepakkan sayapnya. Ia hanya bersedih melihat dirinya berbeza dengan ayam–ayam lainnya dan hanya mampu memandang ke langit memerhatikan burung–burung lain terbang. Hingga akhirnya si helang itupun mati tanpa ia mampu mengepakkan sayapnya dan terbang tinggi di angkasa.



SEBUAH pelajaran yang berharga dari kisah si helang. Ibaratkan diri kita adalah seekor helang yang sebenarnya mampu untuk terbang, melayang tinggi, dan bermain di angkasa. Hanya tinggal kemahuan untuk cuba mengepakkan sayap, maka kita akan mampu terbang bersama burung–burung lain dan malah mampu lebih tinggi jika kita menyedari bahawa diri kita memiliki kelebihan dan kekuatan untuk melakukan hal itu.

Namun sayangnya, kadang–kadang pemikiran kita masih berada jauh dari impian, masih berkisar di dalam lingkungan yang sempit, ketinggalan, dan tidak mahu berubah seperti helang tadi. Untuk keluar mencuba melakukan sesuatu hal yang baru masih tidak mampu dan tidak berani melakukannya. Kita masih dipenjara oleh lingkungan, tanpa mahu tahu sebenarnya kita juga mampu mengubah keadaan sekitar kita.

Memang berat menjadi seekor helang di dalam lingkungan ayam, kerana memang sudah menjadi kebiasaan, menjadi satu tabiat, semua dilakukan atas asas tradisi. Tapi tidak ada salahnya untuk mencuba, tidak ada salahnya untuk cuba berubah. Hidup adalah sebuah jalan yang tidak sentiasa lurus. Ia bergerak dunamik mengikuti arah perkembangan zaman.

Banyak rintangan dan cabaran menjadi sebuah pelajaran buat kita untuk mampu menghadapinya. Kesabaran untuk belajar mengepakkan sayap secara perlahan–lahan tapi pasti akan menunjukkan jati diri bahawa kita adalah manusia yang diciptakan oleh Maha Pencipta secara sempurna yang diberikan akal untuk berfikir, untuk bertahan hidup, dan juga untuk mampu merasakan setiap perbezaan dengan perubahan.

Yakinlah! Kerana dengan keyakinan lebih separuh daripada diri kita sudah bergerak ke arah yang kita mahu dan impikan.

16 November 2007

Kerana di Dalam Gelap, di Luar Terang!


Ini kisah tentang tokoh sufi terkenal, Nasruddin...

Suatu hari, Nasruddin mencari sesuatu di halaman rumahnya yang penuh dengan pasir. Ternyata dia mencari jarum. Tetangganya yang berasa kasihan, turut membantunya mencari jarum tersebut. Tetapi setelah sejam mereka mencari jarum itu tidak ditemui juga.

Tetangganya bertanya, "Jarumnya jatuh di mana?"
"Jarumnya jatuh di dalam," jawab Nasruddin.
"Kalau jarum jatuh di dalam, kenapa mencarinya di luar?" tanya tetangganya.
Dengan ekspresi tanpa dosa, Nasruddin menjawab, "Kerana di dalam gelap, di luar terang."

BEGITULAH, perjalanan kita mencari kebahagiaan dan keindahan. Sering kali kita mencarinya di luar dan tidak mendapat apa-apa. Sedangkan daerah tergelap dalam mencari kebahagiaan dan keindahan, sebenarnya adalah daerah-daerah di dalam diri. Justru letak 'TELAGA' kebahagiaan yang tak pernah kering, berada di dalam. Tak perlu juga mencarinya jauh-jauh, kerana 'TELAGA' itu berada di dalam semua orang.

Sayangnya kerana faktor peradaban, keserakahan dan faktor lainnya, banyak orang mencari telaga itu di luar. Ada orang yang mencari bentuk kebahagiaannya dalam kehalusan kulit, kedudukan, baju mahal, kereta mewah atau rumah tersergam indah. Tetapi kenyataannya, setiap pencarian di luar tersebut akan berakhir pada bukan apa-apa. Kerana semua itu, tidak akan berlangsung lama. Kulit, misalnya, akan berkedut kerana dimamah usia, kereta mewah akan berganti dengan model terbaru, kedudukan juga akan hilang apabila tiba masanya.

"Setiap perjalanan mencari kebahagiaan dan keindahan di luar, akan selalu berakhir pada bukan apa-apa, leads you nowhere. Setiap kekecewaan hidup yang jauh dari keindahan dan kebahagiaan, bermula dari mencarinya di luar." Untuk mencapai tahap kehidupan yang penuh keindahan dan kebahagiaan, seseorang harus melalui lima buah 'pintu' berikut:


Pintu pertama adalah stop comparing, start flowing.

Stop membanding dengan yang lain. Seorang ayah atau ibu belajar untuk tidak membandingkan anak dengan yang lain. Kerana setiap pembandingan akan membuat anak-anak mencari kebahagiaan di luar.

Setiap penderitaan hidup manusia, setiap bentuk ketidakindahan, dimulai dari membandingkan. Kita perhatikan ke sebuah titik, mengalir (flowing) menuju ke kehidupan yang paling indah di dunia, iaitu menjadi diri sendiri. Apa yang disebut flowing ini sesungguhnya sederhana saja. Kita akan menemukan yang terbaik dari diri kita, ketika kita mulai belajar menerimanya. Sehingga kepercayaan diri juga dapat muncul. Kepercayaan diri ini berkaitan dengan keyakinan-keyakinan yang kita bangun dari dalam. "Tidak ada kehidupan yang paling indah dengan menjadi diri sendiri. Itulah keindahan yang sebenar-benarnya!"


Pintu kedua adalah menuju keindahan dan kebahagiaan adalah memberi.

Antara sebab utama kita berada di bumi ini, adalah untuk memberi. Jika masih ragu dengan kegiatan memberi, ertinya kita harus memberi lebih banyak. Ada tiga tangga emas kehidupan. I intend good, I do good and I am good - 'saya berniat baik, saya melakukan hal yang baik, kemudian saya menjadi orang baik'. Yang baik-baik itu boleh kita lakukan bila kita menumpukan kepada hal memberi.

Memberi bukan hanya selalu dalam bentuk material. Pemberian dapat berbentuk senyum, pelukan, perhatian, dan setiap manusia yang sudah rajin memberi, dia akan memasuki wilayah beauty and happiness.


Cahaya dalam pintu ketiga untuk menuju keindahan dan kebahagiaan adalah berawal dari semakin gelap hidup anda, semakin terang cahaya anda di dalam.

Perhatikanlah bintang pada malam hari tampak bercahaya, jika langitnya gelap. Sedangkan, lilin di dalam sebuah ruangan akan bercahaya bagus, jika ruangannya gelap.

Ertinya, semakin anda berhadapan dengan masalah dan cubaan dalam hidup, semakin bercahaya anda dari dalam. Jika anda mempunya suami yang kasar dan selalu marah-marah, jangan lupa mengucapkan terima kasih kepada Tuhan, atau anda punya isteri yang cerewet, ucapkan terima kasih pada Tuhan, kerana orang cerewet adalah guru kehidupan terbaik. Paling tidak daripada orang cerewet kita belajar tentang kesabaran. Jika anda mempunya ketua berperangai diktator, itu sengaja 'dikirim' kepada anda. Agar anda belajar tentang kebijaksanaan. Orang yang pada akhirnya menemukan keindahan dan kebahagiaan, biasanya telah lulus dari 'universiti kesukaran'. Semakin banyak kesukaran hidup yang kita hadapi, semakin diri kita bercahaya dari dalam.

Mengutip ungkapan Jamaluddin Rumi, semuanya dikirim sebagai pembimbing kehidupan dari sebuah tempat yang tidak terbayangkan. "Tidak hanya orang cantik saja yang berguna, orang jelek juga berguna. Gunanya adalah kerana orang jelek, orang cantik terlihat jadi tambah cantik. Jadi semuanya ada gunanya, untuk menghidupkan cahaya-cahaya beauty and happiness."


Pintu keempat adalah rangkaian sikap.

Sikap ini dimulai dari berhenti membimbangkan segala sesuatunya, dan cuba yakinkan diri bahwa everything will be allright. Setiap kali kita beribadah, berdoa dan memuji Tuhan, tetapi setiap kali pula kita berasa takut. Padahal ketakutan adalah sebentuk ketidakyakinan terhadap Tuhan.


Pintu kelima menuju keindahan dan kebahagiaan yakni tahu diri kita dan kita tahu kehidupan.

Ada cerita tentang kumpulan binatang yang hendak membina sekolah kerana mereka tidak mahu kalah dengan manusia. Semua binatang mengikuti kursus berlari, berenang dan terbang. Tetapi 11 tahun kemudian, binatang-binatang tersebut berasa lelah sekali. Burung tetap hanya boleh terbang, ikan tetap hanya boleh berenang, dan serigala tetap hanya boleh berlari. Akhirnya mereka sampai pada satu kesimpulan, bahawa mereka harus sedar diri. Ikan mesti tahu diri hanya boleh berenang, burung mesti tahu diri hanya boleh terbang sedangkan serigala harus tahu diri hanya boleh berlari.

Seperti haiwan-haiwan tersebut, manusia yang tidak sedar diri adalah manusia yang tidak pernah bertemu keindahan dan kebahagiaan.

Ada sebuah kalimat bijak;
"Telaga kehidupan yang tidak pernah kering berada di dalam. Telaga ini hanya kita temukan dan kita timba airnya kalau kita mampu mengenal diri kita sendiri. Seandainya diri sendiri telah ditemukan, maka ertinya kita kemudian mengetahui kehidupan.

15 November 2007

Doa Terindah...


Aku meminta kepada Allah untuk menyingkirkan penderitaanku.
Allah menjawab, TIDAK. Itu bukan untuk KU-singkirkan, tetapi agar kau mengalahkannya.

Aku meminta kepada Allah untuk menyempurnakan kecacatanku.
Allah menjawab, TIDAK. Jiwa adalah sempurna, jasad hanyalah sementara.

Aku meminta kepada Allah untuk menghadiahkanku kesabaran.
Allah menjawab, TIDAK. Kesabaran adalah hasil dari kesulitan; ia tidak dihadiahkan, iaharus dipelajari.

Aku meminta kepada Allah untuk memberiku kebahagiaan.
Allah menjawab, TIDAK. AKU memberimu berkat. Kebahagiaan adalah bergantung kepadamu.

Aku meminta kepada Allah untuk menjauhkan penderitaan.
Allah menjawab, TIDAK. Penderitaan menjauhkanmu dari perhatian duniawi dan membawamu mendekat kepada-KU.

Aku meminta kepada Allah untuk menumbuhkan rohku.
Allah menjawab, TIDAK. Kau harus menumbuhkannya sendiri, tetapi AKU akan memangkas untuk membuatmu berbuah.

Aku meminta kepada Allah segala hal sehingga aku dapat menikmati hidup.
Allah menjawab, TIDAK. AKU akan memberimu hidup, sehingga kau dapat menikmati segala hal.

Aku meminta kepada Allah membantuku mengasihi orang lain, seperti DIA mengasihiku.
Allah menjawab... akhirnya kau mengerti. HARI INI ADALAH MILIKMU DAN JANGAN SIA-SIAKAN. Bagi dunia kamu mungkin hanyalah seseorang, tetapi bagi seseorang kamu adalah dunianya.

14 November 2007

Bosan Dengan Kehidupan?

Pada awalnya kita manusialah yang menciptakan kebiasaan. Namun lama kelamaan, kebiasaanlah yang menentukan tingkah laku kita.

Al-kisahnya suatu masa dahulu... ada seorang lelaki yang hidupnya amat miskin. Namun walaupun dia miskin dia tetap seorang yang cukup rajin membaca. Suatu hari secara tak sengaja dia membaca sebuah buku lama. Di dalam buku itu mengatakan bahawa di sebuah pantai tertentu ada batu yang hidup, yang boleh mengubah apa saja benda menjadi emas.

Setelah menganalisis isi buku tersebut dan memahami fungsi batu ajaib yang dinyatakan itu, dia pun berangkat menuju pantai yang disebutkan dalam buku lama itu. Dinyatakan juga di dalam buku itu bahawa batu ajaib tersebut agak hangat bila dipegang, seperti halnya bila kita menyentuh makhluk hidup lainnya.

Setiap hari pemuda itu memungut batu, merasakan suhu batu tersebut lalu membuangnya ke laut setelah mendapati bahawa batu dalam genggamannya itu dingin saja. Sebutir batu, dua... tiga... dipungutnya, dan dilemparkannya kembali ke dalam laut.

Sehari, dua hari, seminggu, setahun... dia berada di pantai itu.

Kini menggenggam dan membuang batu telah menjadi kebiasaannya.

Suatu hari secara tak sedar, batu yang dicari itu tergenggam dalam tangannya. Namun karena dia telah terbiasa membuang batu ke laut, maka batu ajaib itupun tak luput terbang ke laut dalam.

Lelaki miskin itu meneruskan 'permainannya' memungut dan membuang batu. Dia kini lupa apa yang sedang dicarinya.

Pernahkah kita merasakan bahawa hidup ini hanyalah suatu rentetan perulangan yang membosankan? Dari kecil, kita sebenarnya sudah dapat merasakannya, kita harus bangun pagi-pagi untuk bersekolah, kemudian kita pulang, mungkin sambil melakukan aktiviti lainnya, seperti belajar, menonton TV, tidur. Pada malamnya makan malam, kemudian tidur, keesokkan harinya kita kembali bangun pagi untuk bersekolah, dan melakukan aktiviti seperti hari kelmarin. Hal itu berulang kali kita lakukan bertahun-tahun! Hingga akhirnya tiba saatnya untuk kita bekerja, tak jauh beza dengan bersekolah. Kita harus bangun pagi-pagi untuk berangkat ke pejabat, lalu pulang pada petang atau malamnya, kemudian kita tidur. Keesokan harinya kita harus kembali bekerja lagi, dan melakukan aktiviti yang sama seperti kelmarin. Sampai bila?

Pernahkah kita berasa bosan dengan rutin hidup kita? Jika ada, dengarkanlah sebuah nasihat ini:
"Bila hidup ini cuma suatu rentetan perulangan yang membosankan, maka kita akan kehilangan kesempatan untuk menemukan nilai baru di balik setiap peristiwa hidup."

Ertinya, jangan melihat aktiviti yang kita lakukan ini sebagai satu kebiasaan atau rutin, kerana jika kita menganggap demikian, maka aktiviti kita akan amat sangat membosankan!

Cubalah maknai setiap peristiwa yang terjadi dalam hidup kita, mungkin kita akan menemukan sesuatu yang baru, sesuatu yang belum pernah kita ketahui sebelumnya.

"Setiap hari merupakan hadiah baru yang menyimpan sejuta erti."

12 November 2007

Sesuatu di Antara Waktu

Kelmarin... saja 'jalan-jalan' melawat blog-blog yang dah lama tak dilawati. Melihat-lihat apa yang ada - sawang atau hehehe... Bukan larat sangat pun nak baca semua yang ada.

Dalam salah satu blog, ternampak pautan blog lama SESUATU DI ANTARA WAKTU yang telah hilang lebih kurang setahun lalu. Sehingga terpaksa digantikan dengan beberapa blog lain sehinggalah yang ini.

Saja cuba klik pautan tu, dan...

...Perlahan-lahan muncul laman blog yang telah lama hilang itu. Uik? Dulu dah hilang boleh ada balik? Sebelum ini berkali-kali mencuba tetapi memang blog SESUATU DI ANTARA WAKTU dah luput dari muka bumi.

Semua entry yang lama masih ada, masih kekal. Nanti-nanti ada masa akan dipindahkan ke sini semuanya. Semuanya ada di... SESUATU DI ANTARA WAKTU

09 November 2007

Tempias

Beberapa hari kebelakangan ni, hujan sering menimpa bumi, terutama waktu-waktu petang membawa ke malam dan berlarutan hingga ke dinihari. Sejuk dan dingin, setelah siangnya begitu terik. Syukur atas rahmat-Nya.

Beberapa hari lalu abang yang dok kat kampung SMS - hujan dan banjir! Hujan itu rahmat, banjir itu dugaan.

Tiba-tiba teringat zaman kanak-kanak, terutama waktu-waktu mandi hujan. Yang pertama mandi kerana kehujanan kerana tak ada tempat nak berteduh. Kedua, sengaja mandi hujan sebab memang dah tak ada benda nak buat.

Alangkah segarnya ketika duduk di tingkap dan muka disapa tempias. Bagai mencuci segala kekusutan yang bersarang.

Sering mendengar ungkapan hidup mesti terus. Ya, hidup mesti diteruskan kerana Yang Maha Berkuasa belum mematikan kita lagi. DIA masih mahu kita menyedut udara di alam fana ini. DIA masih mahu kita menikmati anugerah-anugerah-Nya yang tak terhitung dengan sejumlah angka. DIA juga masih mahu kita menghadapi segala dugaan penyeri kehidupan yang dihidangkan.

Menghadapi segalanya dengan kesyukuran atau keluhan? Jawapannya terpulang masing-masing kerana tiap orang berbeza. Namun, dalam berbeza itu setiap daripada kita merangkul nikmat dari sumber yang sama - nikmat kurniaan-Nya.

Setiap daripada kita mungkin terjebak dalam dosa-dosa yang sentiasa mahu memerangkap. Setiap daripada kita mungkin tak mampu keluar dari penjara dosa walau telah cuba melarikan diri. Takdir kitakah itu atau Maha Pencipta mahu terus menduga? Moga-moga ada cahaya hidayah yang terbit dan menyuluh jalan untuk kita keluar dari kegelapan.

Tiap di antara kita dihidangkan dengan menu dugaan yang berbeza oleh Maha Pencipta - itu semua kita tahu! DIA Maha Tahu apa yang kita tak tahu, termasuk kemampuan kita sebagai hamba-Nya. Ini diri kita, jasad kita - namun, sejauh dan sedalam mana kita mengenali diri sendiri?

Memang, ada waktu-waktu kita bagai protes, mengatakan mengapa kita diberi dugaan seberat ini, mengapa kita diuji dengan ujian begitu dahsyat? Kita mungkin ada sejuta satu persoalan kenapa begitu kenapa begini - persoalan-persoalan yang seolah-olah menyalahkan-Nya kerana memberi 'nikmat dugaan' kepada kita. Jawapan kepada sejuta satu persoalan itu ada SATU - kerana DIA mahu kita tahu siapa diri kita! Siapa kita terhadap diri kita sendiri dan siapa kita terhadap DIA.

Kita yang sering sesat di jalan yang terang;
- dan, hanya tergerak mencari CAHAYA bila sudah kegelapan!
Kita yang sering menyambut nikmat dengan rasa 'masih tak cukup';
- dan, hanya berasa cukup setalah nikmat-nikmat itu luput!
Kita yang sering menerima dugaan dengan keluhan;
- dan, hanya mengucap kesyukuran apabila sedar kesenangan bukanlah kebahagiaan!

07 November 2007

Gelora Rasa di Jiwa

Lama tak menyentuh dan mengatur huruf-huruf di sini... Bukan hilang entah ke mana, sekadar mencari sesuatu yang telah hilang. Bukanlah sesuatu itu ghaib tak ketahuan, melainkan ada jua di dalam diri, terpampang terbayang jua di ruang mata. Ruang-ruang yang kosong semakin menggetarkan rasa, namun hakikat kehidupan harus diterima walau apa jua yang melanda.

Jika hidup dan kehidupan ini diibaratkan pantai nan memutih, pernahkah walau sekali pantai itu tak dijamah ombak? Baginilah hidup dan kehidupan yang diserahkan kepada kita untuk mengurusinya oleh Maha Pencipta. Ombak dan badai walau ganas menggila - itulah alunan yang membuat kehidupan ini semakin indah. Kehidupan yang hidup!

Pernah seseorang berilmu mengungkapkan; katanya... berfikirlah, gunakanlah otak yang dianugerahkan untuk memikirkan tentang hidup dan kehidupan. Tak semua apa yang kita fikirkan akan menjanjikan jalan penyelesaian, tak semua akan berakhir dengan keindahan. Malah mungkin kita semakin buntu, bagai bertemu jalan mati!

Berkata dan mengungkapkan kata memang mudah, tak semudah bahu yang memikul. Melihat dengan rasa simpati tak sesenang hati yang merasai. Apapun jua ucap dan ungkapan dari luar diri kita biarlah ia menjadi kata-kata keramat yang membangkit semangat. Pujian adalah ujian - mungkin kita lemas dan karam kerananya. Jadi, adakalanya pujian dan kejian bagai tak membawa apa perbezaan. Terimalah kedua-duanya sebagai satu yang membakar semangat kebaikan dalam diri kita.

Nota Jari:- Kita semakin dipisahkan oleh keadaan, namun rasa kecintaan dan kasih sayang itu tak pernah berubah walau jarak semakin jauh...
Blog Widget by LinkWithin