19 November 2007

Kepakkan Sayap, Terbanglah...


SEORANG petani menemui sebutir telur di sawahnya, yang ternyata telur itu adalah telur helang. Namun si petani tersebut tidak menyedarinya. Kemudian si petani membawa telur tersebut pulang dengan niat untuk digoreng sebagai tambahan lauk hari itu. Tetapi sesampainya di rumah, dia membatalkan niatnya, tambahan melihat bentuk telur itu yang agak besar dan berbeza daripada telur ayam biasa. Akhirnya si petani meletakkan telur helang tersebut di sangkar seekor ayam betina yang sedang mengeram di belakang rumahnya.

Hari berganti hari, dan akhirnya telur helang itupun menetas bersama dengan telur–telur ayam lainnya. Masa kecil helang tersebut dihabiskan bersama anak–anak ayam yang lain sehingga cara kehidupan anak helang tersebut seperti anak-anak ayam yang lain.

Si helang semakin dewasa. Badannya semakin besar, sayapnya semakin lebar, paruhnya kuat dan semakin tajam, seta kakinya semakin gagah mencengkam. Tetapi ia masih berkelakuan seperti ayam. Ia tidak berani untuk mengepakkan sayapnya. Ia hanya bersedih melihat dirinya berbeza dengan ayam–ayam lainnya dan hanya mampu memandang ke langit memerhatikan burung–burung lain terbang. Hingga akhirnya si helang itupun mati tanpa ia mampu mengepakkan sayapnya dan terbang tinggi di angkasa.



SEBUAH pelajaran yang berharga dari kisah si helang. Ibaratkan diri kita adalah seekor helang yang sebenarnya mampu untuk terbang, melayang tinggi, dan bermain di angkasa. Hanya tinggal kemahuan untuk cuba mengepakkan sayap, maka kita akan mampu terbang bersama burung–burung lain dan malah mampu lebih tinggi jika kita menyedari bahawa diri kita memiliki kelebihan dan kekuatan untuk melakukan hal itu.

Namun sayangnya, kadang–kadang pemikiran kita masih berada jauh dari impian, masih berkisar di dalam lingkungan yang sempit, ketinggalan, dan tidak mahu berubah seperti helang tadi. Untuk keluar mencuba melakukan sesuatu hal yang baru masih tidak mampu dan tidak berani melakukannya. Kita masih dipenjara oleh lingkungan, tanpa mahu tahu sebenarnya kita juga mampu mengubah keadaan sekitar kita.

Memang berat menjadi seekor helang di dalam lingkungan ayam, kerana memang sudah menjadi kebiasaan, menjadi satu tabiat, semua dilakukan atas asas tradisi. Tapi tidak ada salahnya untuk mencuba, tidak ada salahnya untuk cuba berubah. Hidup adalah sebuah jalan yang tidak sentiasa lurus. Ia bergerak dunamik mengikuti arah perkembangan zaman.

Banyak rintangan dan cabaran menjadi sebuah pelajaran buat kita untuk mampu menghadapinya. Kesabaran untuk belajar mengepakkan sayap secara perlahan–lahan tapi pasti akan menunjukkan jati diri bahawa kita adalah manusia yang diciptakan oleh Maha Pencipta secara sempurna yang diberikan akal untuk berfikir, untuk bertahan hidup, dan juga untuk mampu merasakan setiap perbezaan dengan perubahan.

Yakinlah! Kerana dengan keyakinan lebih separuh daripada diri kita sudah bergerak ke arah yang kita mahu dan impikan.

0 comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin