11 March 2008

Cermin Diri, Bercermin Diri Sendiri : Pantulan-pantulan Imej Kesilapan


Pernahkah kita berasa begitu banyak kesilapan telah kita lakukan, sama ada sengaja atau sebaliknya? Bilakah detik-detik begitu akan cukup terasa menjalar di segenap benak kita? Apakah yang kita perbuat untuk menghadapi atau melegakan rasa sebegitu? Adakah kita mampu memujuk otak untuk diam dan jangan memikirkannya – persetankan semua itu! Dan, sampai waktu-waktunya ia akan reda dan tenang kembali. Atau, kita terus mengorek masa silam dan mengimbas kesilapan-kesilapan yang pernah berlaku dalam hidup dan kehidupan kita.

Saya percaya bahawa setiap kesilapan yang pernah belaku harus dibayar, dan bukan sesuatu yang boleh kita jangkakan bilakah kita mampu untuk melunasinya. Malah, kadang-kadang saya berasa bahawa saya tak akan mampu untuk ‘membayar’ kepada setiap kesalahan dan kesilapan yang pernah saya lakukan.

Saya semakin kurang tidur sejak kebelakangan ini. Selain saya lebih ‘selesa’ melakukan kerja selepas melewati waktu tengah malam, saya juga kadang-kadang hanya duduk menerawangkan pemikiran entah ke mana-mana. Cuma yang pasti saya lebih banyak berfikir tentang himpunan masa-masa lampau, yang di dalamnya ada pelbagai cerita tentang hidup dan kehidupan seorang hamba Maha Pencipta. Saya semakin banyak menoleh ke belakang sekarang ini. Bukanlah kerana banyak detik-detik gemilang, tetapi mungkin kerana saya harus berbuat begitu untuk menambah bekal kekuatan untuk saya terus berjalan ke hadapan. Merempuh perjalanan yang entah berapa detik lagi berbaki ini. Meredah jalan di hadapan yang saya lihat hanya ada kelam, ada cabang dan simpang, ada pelbagai halangan merentang.

Kadangkala saya berfikir, adakah semua yang berlaku kepada saya pada waktu ini secara kebetulan? Datangnya satu persatu bagai mengikut urutan, bagaikan telah tersusun rapi dan hanya menanti untuk ‘dihidangkan’ kepada saya saja.

Apapun, saya melihat semua ini sebagai sesuatu yang harus saya terima dengan penuh redha walaupun bukan mudah untuk memujuk hati meredhakan segalanya. Tambahan apabila akal pula berperang dengan perasaan – apakah semua ini wajar berlaku kepada diri saya? Kemudian saya melihat bahawa memang ada sesuatu yang sengaja dirancang agar saya tercampak dalam satu situasi tertentu. Mungkin, saya menerima semua ini dengan rasa yang memang menyakitkan. Namun, alhamdulillah… saya tetap masih dapat meredhakannya. Untuk lebih memudahkan, saya akan selalu mengingatkan bahawa saya ini seorang hamba yang tidak dapat lari dari melakukan kesilapan demi kesilapan. Nah, apa yang Tuhan berikan ini adalah bayaran-bayaran terhadap kesilapan tersebut. Walaupun saya tahu bahawa saya masih belum mampu melunasi segalanya, mudah-mudahan ‘hutang’ saya semakin berkurangan.

Sesungguhnya, sejak dahulu saya tidak berapa suka bercermin atau duduk mengadap cermin lama-lama. Kebetulan saya seorang lelaki, jadi saya berasa itu semua tidak perlu. Bagaimanapun, apabila menyebut tentang cermin saya teringat bahawa segala sesuatu yang berlaku di sekeliling saya ibarat cermin. Cermin yang secara tidak langsung memantulkan imej-imej tentang perlakuan hidup dan kehidupan.

Misalnya, apabila saya melihat seseorang melakukan kesalahan – yang saya lihat pada zahirnya memang satu kesilapan telah berlaku. Namun, hakikatnya itu mungkin salah satu gambaran tentang kesilapan yang juga pernah saya lakukan. Syukur kerana saya masih dapat melihat cermin kehidupan yang berada di sekitar saya. Walaupun tidak kesemuanya mampu untuk menembusi dinding rasa saya dan menyelinap ke sanubari, sekurang-kurang saya masih terdetik di hati, “Oh Tuhan, aku pernah melakukan kesilapan sebegini, mudah-mudahan ia tidak berlaku lagi.”

Banyak, terlalu banyak yang boleh dijadikan cermin di sekitar kita, baik melalui hamba bernyawa seperti kita mahupun benda-benda yang kaku tak bernyawa. Pernah saya termenung lama memerhati landasan keretapi yang kaku, yang hanya menanti train demi train melaluinya, dan hati saya berkata bahawa begitulah juga dengan hidup saya. Saya bagai landasan yang menyambung kepada satu destinasi, tetapi dalam masa yang sama ada rutin lain yang akan melalui diri saya yang tak dapat saya elakkan. Saya harus terima dan saya harus redha.

Sebagaimana yang saya tahu bahawa jika saya tak merubah nasib saya, siapa yang mahu melakukannya untuk saya? Memang kadang-kadang pada tahap tertentu saya, atau mungkin sesiapa pun akan berasa bagai duduk di dalam jurang paling bawah, di tempat paling rendah! Lalu, akan bergemalah ungkapan sebegini, “Biarlah apa nak jadi pun, mungkin sudah takdir dan kalau fikir sampai pecah kepala pun belum tentu hal akan selesai.” Mungkin ia bernada negatif kerana pemikiran ketika itu memang tak berapa boleh diguna-pakai. Anggap saja ia sebagai suatu rungutan kecil dan cepat-cepatlah buka mata dan bangkit menghadapi dunia realiti!

Membuka minda dan pemikiran bukan seperti membuka pintu atau tingkap. Membuka pintu hati bukan sekadar memulas timbol lalu menarik daun pintu. Segalanya memerlukan kekuatan dalaman yang bukan sedikit, malah harus ada keberanian untuk berdepan dengan apa yang ada di balik pintu yang bakal dibuka kelak. Adakah kita benar-benar yakin mampu untuk berdepan dengan kehidupan di sebalik pintu itu nanti atau nantinya kita akan berundur masuk kembali. Atau, kita berdiam saja di balik pintu tanpa membukanya langsung? Segalanya di tangan kita!

Mungkin ungkapan-ungkapan di atas kedengarannya seperti yang biasa semua orang dengar dan saya mengulanginya kembali. Hal sebegitu sesiapa pun pernah melakukannya. Namun, hal-hal tersebut pernah dan sedang saya alami. Walaupun saya rasa saya kuat, tetapi ada waktunya saya tak mampu dan tak berani untuk membuka pintu kehidupan seterusnya. Walaupu saya rasa saya tahu ada landasan merentas menuju destinasi yang cukup bagus, tetapi saya tak mampu untuk berjalan di atas landasan tersebut. Lalu saya akan cepat-cepat berbalik kepada ketentuan-Nya, di mana saya sebagai hamba harus berusaha mencari kebaikan untuk kehidupan yang lebih baik, tetapi yang menentukan segalanya hanyalah DIA.

Selain keampunan-Nya saya pohohkan, untuk insan-insan yang telah saya berikan kesilapan saya, mohon ampun dari hujung rambut hingga hujung kaki. Moga dalam sisa-sisa perjalanan hidup dan kehidupan yang tak selama mananya lagi ini, saya lebih mudah melangkah, agar kalaupun saya tersungkur lagi saya tetap akan boleh bangun meneruskan langkah.

Dalam sejuta langkah
Bukan aku tak pernah rebah
Malah dengan luka-luka nan parah
Dengan langkah hilang arah
Rebah dan rebah
Menjadikan aku kian tabah

01 March 2008

Diri Sendiri, Bersendiri & Sendirian

Salam untuk semua… moga sihat sejahtera hendaknya, saya doakan.

Kita sudah berada di hari pertama, bulan ketiga 2008. Sepertimana tahun-tahun sebelum ini, pastinya ada di antara kita yang akan berkata, “Cepatnya masa berlalu, sedar tak sedar kita sudah berada di bulan Mac.”

Sesungguhnya saya juga merasakan begitu. Hati saya juga berkata begitu tentang betapa cepatnya masa saya rasakan bergerak. Sebenarnya, sebelum-sebelum ini pun begitu juga. Kita akan merasakan masa terlalu pantas bergerak dan, sedar tak sedar agak lama saya biarkan blog ini sunyi, bukan?

Adakah sesiapa yang merindui saya? Adik-adik saya, buah hati saya, orang-orang yang istimewa di dalam hidup saya, orang yang sentiasa berada di dalam hati saya? Biasanya, jika saya merindui seseorang saya yakin dia juga merindui saya. Tak apalah, rindu atau tidak mereka kepada saya bukanlah hak saya untuk menentukannya. Yang nyata saya memang rindu untuk meluahkan sesuatu di sini. Di sinilah biasanya saya melepaskan apa saja yang terbuku selain berkata-kata kepada-Nya, yang Maha Mendengar.

Banyak hal yang berlaku sepanjang saya menyepi diri di sepanjang Februari. Hal-hal yang sentiasa menduga dan menguji kesabaran saya sebagai hamba Maha Pencipta. Hal-hal yang membawa saya untuk pergi buat sementara – mencari kembali kekuatan-kekuatan yang seperti berkecai. Mengutip kembali dan mencantumkan harapan-harapan yang berdarai. Muhasabah kepada diri yang remuk dihentam dugaan (atau barangkali lebih sesuai sebagai hukum).

Saya insan lemah dan serba kekurangan. Saya boleh terhumban ke mana saja dengan takdir-Nya. Saya boleh tersungkur saya boleh bangun – tetapi mungkin kalau kehendak-Nya meletakkan bahawa saya harus terus tersungkur buat suatu masa yang lama, sesunguhnya saya sedang belajar untuk terus redha.

Kalau dahulu saya sering berkata hidup ini ibarat roda, tetapi ketika itu saya hanya melihat roda yang berputar-putar. Kini saya telah menjadi sebahagian daripada roda itu. Saya tahu bagaimana rasanya ketika berada di atas dan saya saya juga tahu apabila berada di bawah. Walaupun sakitnya bukan kepalang, tetapi rasa terima kasih dan syukur sentiasa saya ucapkan agar saya tak hilang arah, agar saya sentiasa ingat tentang pelajaran yang saya perolehi sepanjang menjadi roda.

Orang kata belajar dari pengalaman memang cukup mengesankan, dan itu memang saya akui. Apapun, kadang-kadang kita tetap tak mampu untuk bergajak ke langkah seterusnya walaupun kelihatan bukan sukar untuk melakukannya. Kemampuan setiap daripada kita tak sama. Kekuatan setiap individu tak pernah serupa dan setara. Kekuatan fizikal bukan menjanjikan kekuatan mental.

Pernahkah di antara kalian berasa pada suatu waktu tidak mampu untuk berbuat apa-apa? Malah untuk memikirkan sesuatu juga pemikiran bagai tepu! Beku! Segala yang cuba difikirkan bagai serba tak kena. Kita berasa cukup-cukup penat walhal kita tak melakukan apa-apa pun dengan tulang empat kerat. Kepenatan dalaman yang cukup mendalam hingga ke dasar yang tak mampu dicapai oleh perasaan, yang tak mampu diluahkan dengan apa jua bahasa yang ada.

Pernahkah di antara kalian berasa diri kalian terkepung oleh pelbagai hal, baik yang besar mahupun yang remeh? Kita merasakan tak ada langsung ruang untuk meloloskan diri dari kepungan itu. Segala ikhtiar bagaikan mati! Segalanya bagaikan telah membunuh kehidupan kita.

Pernahkah di antara kalian berasa terlalu sunyi sedangkan kalian berada di tengah-tengah keriuhan. Kita ada keluarga, kita ada sahabat-handai, kita ada kawan-kawan tetapi kita terus-terusan berkawan dengan kesepian paling sepi. Sunyi yang tak mampu digambarkan, apatah lagi menggambarkan perasaan ketika berada di dalam situasi begitu.

Pernahkah di antara kalian berasa terlalu sayu, teramat sedih pilu tak terhingga sedangkan orang lain melihat kita bibir kita menguntum seulas senyuman? Tak ada setitispun air mata yang gugur membasahi pipi, tetapi kepiluan yang kita alami cukup menyayat hati. Hati telah basah dibanjiri kesedihan itu namun tak mampu kita alirkan air mata.

Suatu hari di pertengahan Februari lalu saya merempit meredah kesesakan di pagi hari untuk ke satu destinasi. Lama saya tak berbuat begitu. Saya juga bukanlah berani sangat merempit meredah sesak begitu. Fobia! apabila sampai di satu jalan yang sibuk berganda, saya tersekat seketika – tak berani untuk terus mencelah di samping bimbang terlanggar side-mirror kereta yang bersesak-sesak. Saya berada di sisi sebuah kereta mewah warna hitam, tiba-tiba pemandunya menurunkan cermin tingkap, lalu menarik side-mirror agar saya boleh lolos meneruskan perjalanan. Terima kasih!

Kemudian saya teringat beberapa tahun lalu ketika memandu dalam keadaan agak sesak di Lebuhraya KESAS. Tiba-tiba sebuah motor yang agak laju merempuh side-moror kereta saya. Hancur! Dan, penunggang itu lesap di celahan kesesakan. Mungkinkah kerana kereta saya ‘ciput’ maka orang lain tak peduli?

Lebih kurang setengah jam merempit, saya meneruskan perjalanan menaiki komuter pula. Hamper 20 minit melanguk di stesen komuter, train mash tak nampak bayang. Kemudian kedengaran pengumuman mengatakan train lewat 20 minit. Saya hanya merenung rel keretapi sebab tak ada benda lain yang lebih menarik perhatian ketika itu. Saya berfikir bahawa kita ini hanya mampu merancang. Secanggih mana sekalipun peralatan yang dicipta, tetap tak akan mampu melawan takdir.

Setelah sampai ke destinasi, saya harus bertemu seseorang sebagaimana temujanji yang dibuat sebelum ini. Saya datang dengan harapan pertemuan itu akan mampu melegakan sedikit rasa yang saya hadapi sejak ke belakangan ini. Namun, agak mengecewakan! Tetapi saya tidak menyalahkan individu tersebut kerana sebagaimana yang selalu saya ingat-ingatkan bahawa setiap manusia tak akan sama reaksinya terhadap diri kita – tak kira apa jua alasannya. Pertemuan yang sebelum ini saya jangkakan mungkin paling tidak akan berlanjutan sekitar setengah jam, hanya berakhir sekitar 15 minit sahaja.

Saya melangkah meninggalkan tempat itu untuk pulang. Sementara menantikan train komuter tiba saya membuat kesimpulan mudah dan ringkas. Bahawa sesungguhnya hanya kita saja yang tahu tentang diri kita (selain Tuhan), apa yang kita alami, yang kita rasa dan sudah tentu juga hanya kita yang benar-benar mampu melega dan meredakan resah rasa yang dialami. Kita hanya boleh bercerita kepada sesiapa pun, tetapi kita harus sedar bahawa tak semua orang mampu mendengar rasa hati kita dengan benar. Tak ramai yang mampu menjadikan diri mereka sebagaimana diri kita. Apapun itu sebagai alternatif yang tetap boleh mengurangkan resah rasa kita. Tahukah kita bahawa kadang-kadang kita lupa untuk mengadu kepada yang Maha Mendengar.

Itu sekadar sebahagian cebisan kisah hidup dan kehidupan yang saya lalui kebelakangan ini. Sebenarnya setiap detik ada satu kisah tentang diri kita yang telah tercipta. Kadang-kadang saya berasa mahu lari jauh-jauh, biar kononnya segala hal yang merantai rasa dapat saya luputkan. Namun mana mungkin hal itu berlaku. Saya hanya mampu meluputkan segala hal kalau saya hilangkan ingatan saya. Tetapi apalah ertinya hidup lagi kalau tak punya apa-apa memori? Bayangkan saja kalau komputer kita tak punya memori, apakah nilainya lagi?

Kebelakangan ini juga saya sering berfikir tentang kehilangan. Memang banyak hal, perkara dan benda yang telah hilang dari diri saya. Dan, saya tahu saya akan terus berhadapan dengan kehilangan-kehilangan lain. Saya cukup tahu bahawa kehilangan-kehilangan itu akan berhenti berlaku kepada diri saya apabila saya sendiri telah hilang kelak.

Sejak dahulu, sebenarnya saya cukup tahu bahawa sesuatu yang paling disayangi itulah yang akan hilang daripada diri kita. Kerana kita cukup sayang terhadap sesuatu itu maka apabila ia hilang kita akan cukup merasakannya, cukup mengesankan! Berbanding dengan hal atau benda yang kita kurang atau tak ambil peduli langsung, sama ada ia wujud atau hilang tak pernah memberi apa-apa kesan terhadap diri kita. Kesimpulannya, kita hanya akan kehilangan sesuatu apabila kita menyayanginya.

Saya cukup berasa kehilangan seorang emak kerana saya sayangkan emak saya. Saya cukup terasa kehilangan kerja kerana selama lebih 20 tahun saya membina kerjaya san memang saya cukup sayangkan kerjaya itu. Dan, sebenarnya saya terasa kehilangan adik-adik dan kawan-kawan apabila saya atau mereka menyepikan diri. Tetapi saya tetap berasa emak saya tetap hidup dalam diri saya walaupun emak telah pergi selamanya. Saya tetap melakukan kerja-kerja yang saya lakukan sejak lebih 20 tahun lalu walaupun saya belum ada tapak tetap untuk mengembangkan kerjaya itu untuk masa-masa akan datang. Dan, adik-adik serta kawan-kawan tetap ada dalam hati saya walau suatu masa nanti masing-masing tetap akan pergi dari kehidupan saya. Ruang hati saya ‘besar’, heart-disc saya no limit space! Jadi saya mampu meletakkan setiap makhluk yang pernah singgah dalam kehidupan saya di dalamnya.

Masa akan terus bergerak dan berubah. Saya dan kalian juga begitu – bergerak dan akan memgalami perubahan demi perubahan. Masa mengubah kita dan kita berubah mengikut masa – hal ini juga berlaku mengikut keperluan serta kepentingan masing-masing.

Ketika saya berada di dalam situasi paling down, paling teruk, paling sedih dan yang seumpamanya, saya cuba memujuk diri untuk menumpu pada satu titik saja. Fokus kepada sesuatu yang saya rasa adalah rangkuman kepada segala macam hal yang ada dalam kehidupan kita, segala macam yang mengkucar-kacirkan perasaan dan rasa saya. Memang satu kerja yang bukan mudah mahu menumpu pada satu titik dalam pada pemikiran berkecamuk, tapi kalau tidak dicuba manakan kita merasa hasilnya. Biar walaupun tak merubah apa-apa dalam kehidupan saya selepas itu, tetapi saya tetap cuba melakukannya. Memang ada orang kata kalau buat sesuatu yang kita tak tahu hasilnya ibarat melakukan kerja sia-sia, saya peduli apa!

Selama saya melakukannya, pada mulanya memang saya fikir tak dapat apa-apa pun. Tetapi rupanya saya baru sedar bahawa bila saya berfikir tentang sesuatu yang walaupun tak mendapat jalan selesainya, saya tetap mendapat pelajaran. Pelajaran yang diperolehi daripada guru semula jadi, yakni persekitaran saya. Saya semakin memahami siapa diri saya – adakah saya ini jenis manusia bagaimana, begitu dan begini. Saya juga berasa saya semakin kerdil dan kecil apabila ‘melihat’ akan kebesaran-Nya yang disampaikan melalui dugaan-dugaan getir atau yang mengujakan.

Kemudian daripada kejadian-kejadian yang dilakukan oleh orang lain terhadap diri saya, walaupun pada mulanya menimbulkan rasa amarah, tetapi akhirnya saya coolkan diri. Lalu saya pun terkenang mungkin suatu masa dahulu saya pernah melakukan hal-hal sebegitu kepada orang lain juga. Dan, saya cuba menyampaikan kepada diri sendiri bahawa dugaan yang datang sebagai penyuci kepada kesalahan-kesalahan yang pernah saya lakukan kepada makhluk lain.

Sebenarnya memang benar, kita akan menghargai sesuatu, kita hanya akan melihat sejauh mana nilai sesuatu itu apabila ia telah hilang daripada diri kita. Walaupun sebelum ini saya tahu bahawa harta dan pangkat sekadar suatu ‘penyedap’ untuk kehidupan dunia, kini saya telah benar-benar tahu bagaimana nilai harta dan pangkat itu dalam kehidupan fana ini. Saya juga mampu melihat bagaimana nilai seorang kawan atau sahabat dalam dua situasi berbeza. Mungkin tak perlu ungkapan penjelasan, kita sudah mampu untuk membaca persahabatan selama ini bagaimana nilainya.

Kesimpulan mudahnya yang saya dapat, bahawa kita bukan hanya akan SENDIRIAN apabila masuk ke dalam kubur nanti, tetapi di atas muka bumi ini pun kita sebenar-benarnya telah diajar untuk bersendirian! Yang menjadi kawan ketika di dalam kubur kelak adalah amal kita, dan ketika di atas muka bumi ini pun serupa. Dengan kekuatan amal kita akan kuat menghadapi tekanan, kita mampu bangun dari tersungkur walau berpuluh kali. Orang lain sama seperti kita, mereka juga adalah seorang hamba yang lemah dan tak sempurna.

Untuk diri saya sendiri, untuk adik, untuk adik-adik saya, untuk kawan-kawan saya serta sahabat-handai, yang sedang bergelut dengan hal-hal yang memenatkan rasa, yang bergelumang dengan ujian-ujian indah, yang ditaburi dugaan-dugaan tak terduga… tahukah kalian bahawa TUHAN AMAT-AMAT SAYANGKAN KITA. Segala perhatian-Nya tertumpah kepada kita, maka itu diberi-Nya kita segala macam dugaan. Dan, sedarkah bahawa kini kita semakin dekat pada-Nya?

Bulan Mac datang lagi. Bulan Mac adalah bulan saya. Dalam sejarah hidup dan kehidupan saya selama sehingga hari ini, banyak hal yang mengesankan berlaku pada bulan ini. Secara kebetulan atau ia memang ditakdirkan begitu, syukurlah. Bagi saya bulan Mac banyak melengkapi sebahagian kisah perjalanan kehidupan saya, menjadikan ia bervariasi, berwarna-warni. Tidak kira sama ada ia sesuatu yang indah mahupun sebaliknya, ia tetap warna-warna kehidupan saya sepanjang menjadi hamba kepada Maha Pencipta.

Untuk orang yang saya sayangi, untuk orang-orang yang disayangi dan untuk semua – mohon ampun dan maaf atas segala keterlanjuran saya. Entah bila pula kita akan bertemu lagi, entah bila pula saya dapat mencoret di sini, mudah-mudahan Maha Pencipta sentiasa mengizinkannya.


Lukaku tak pernah berdarah
Tapi kutahu ia semakin parah
Kucuba untuk terus pasrah
Tapi aku bukan menyerah
Apatah lagi mengalah

Lemas terkepung sejuta resah
Tiada nampak sekelumit jalan untuk diredah
Bukan aku untuk sekadar berserah
Biar terasa telah begitu lelah
Lihatlah! Pasti ada ketikanya cerah
Setelah kegelapan melitup seluruh daerah
Blog Widget by LinkWithin