11 March 2008

Cermin Diri, Bercermin Diri Sendiri : Pantulan-pantulan Imej Kesilapan


Pernahkah kita berasa begitu banyak kesilapan telah kita lakukan, sama ada sengaja atau sebaliknya? Bilakah detik-detik begitu akan cukup terasa menjalar di segenap benak kita? Apakah yang kita perbuat untuk menghadapi atau melegakan rasa sebegitu? Adakah kita mampu memujuk otak untuk diam dan jangan memikirkannya – persetankan semua itu! Dan, sampai waktu-waktunya ia akan reda dan tenang kembali. Atau, kita terus mengorek masa silam dan mengimbas kesilapan-kesilapan yang pernah berlaku dalam hidup dan kehidupan kita.

Saya percaya bahawa setiap kesilapan yang pernah belaku harus dibayar, dan bukan sesuatu yang boleh kita jangkakan bilakah kita mampu untuk melunasinya. Malah, kadang-kadang saya berasa bahawa saya tak akan mampu untuk ‘membayar’ kepada setiap kesalahan dan kesilapan yang pernah saya lakukan.

Saya semakin kurang tidur sejak kebelakangan ini. Selain saya lebih ‘selesa’ melakukan kerja selepas melewati waktu tengah malam, saya juga kadang-kadang hanya duduk menerawangkan pemikiran entah ke mana-mana. Cuma yang pasti saya lebih banyak berfikir tentang himpunan masa-masa lampau, yang di dalamnya ada pelbagai cerita tentang hidup dan kehidupan seorang hamba Maha Pencipta. Saya semakin banyak menoleh ke belakang sekarang ini. Bukanlah kerana banyak detik-detik gemilang, tetapi mungkin kerana saya harus berbuat begitu untuk menambah bekal kekuatan untuk saya terus berjalan ke hadapan. Merempuh perjalanan yang entah berapa detik lagi berbaki ini. Meredah jalan di hadapan yang saya lihat hanya ada kelam, ada cabang dan simpang, ada pelbagai halangan merentang.

Kadangkala saya berfikir, adakah semua yang berlaku kepada saya pada waktu ini secara kebetulan? Datangnya satu persatu bagai mengikut urutan, bagaikan telah tersusun rapi dan hanya menanti untuk ‘dihidangkan’ kepada saya saja.

Apapun, saya melihat semua ini sebagai sesuatu yang harus saya terima dengan penuh redha walaupun bukan mudah untuk memujuk hati meredhakan segalanya. Tambahan apabila akal pula berperang dengan perasaan – apakah semua ini wajar berlaku kepada diri saya? Kemudian saya melihat bahawa memang ada sesuatu yang sengaja dirancang agar saya tercampak dalam satu situasi tertentu. Mungkin, saya menerima semua ini dengan rasa yang memang menyakitkan. Namun, alhamdulillah… saya tetap masih dapat meredhakannya. Untuk lebih memudahkan, saya akan selalu mengingatkan bahawa saya ini seorang hamba yang tidak dapat lari dari melakukan kesilapan demi kesilapan. Nah, apa yang Tuhan berikan ini adalah bayaran-bayaran terhadap kesilapan tersebut. Walaupun saya tahu bahawa saya masih belum mampu melunasi segalanya, mudah-mudahan ‘hutang’ saya semakin berkurangan.

Sesungguhnya, sejak dahulu saya tidak berapa suka bercermin atau duduk mengadap cermin lama-lama. Kebetulan saya seorang lelaki, jadi saya berasa itu semua tidak perlu. Bagaimanapun, apabila menyebut tentang cermin saya teringat bahawa segala sesuatu yang berlaku di sekeliling saya ibarat cermin. Cermin yang secara tidak langsung memantulkan imej-imej tentang perlakuan hidup dan kehidupan.

Misalnya, apabila saya melihat seseorang melakukan kesalahan – yang saya lihat pada zahirnya memang satu kesilapan telah berlaku. Namun, hakikatnya itu mungkin salah satu gambaran tentang kesilapan yang juga pernah saya lakukan. Syukur kerana saya masih dapat melihat cermin kehidupan yang berada di sekitar saya. Walaupun tidak kesemuanya mampu untuk menembusi dinding rasa saya dan menyelinap ke sanubari, sekurang-kurang saya masih terdetik di hati, “Oh Tuhan, aku pernah melakukan kesilapan sebegini, mudah-mudahan ia tidak berlaku lagi.”

Banyak, terlalu banyak yang boleh dijadikan cermin di sekitar kita, baik melalui hamba bernyawa seperti kita mahupun benda-benda yang kaku tak bernyawa. Pernah saya termenung lama memerhati landasan keretapi yang kaku, yang hanya menanti train demi train melaluinya, dan hati saya berkata bahawa begitulah juga dengan hidup saya. Saya bagai landasan yang menyambung kepada satu destinasi, tetapi dalam masa yang sama ada rutin lain yang akan melalui diri saya yang tak dapat saya elakkan. Saya harus terima dan saya harus redha.

Sebagaimana yang saya tahu bahawa jika saya tak merubah nasib saya, siapa yang mahu melakukannya untuk saya? Memang kadang-kadang pada tahap tertentu saya, atau mungkin sesiapa pun akan berasa bagai duduk di dalam jurang paling bawah, di tempat paling rendah! Lalu, akan bergemalah ungkapan sebegini, “Biarlah apa nak jadi pun, mungkin sudah takdir dan kalau fikir sampai pecah kepala pun belum tentu hal akan selesai.” Mungkin ia bernada negatif kerana pemikiran ketika itu memang tak berapa boleh diguna-pakai. Anggap saja ia sebagai suatu rungutan kecil dan cepat-cepatlah buka mata dan bangkit menghadapi dunia realiti!

Membuka minda dan pemikiran bukan seperti membuka pintu atau tingkap. Membuka pintu hati bukan sekadar memulas timbol lalu menarik daun pintu. Segalanya memerlukan kekuatan dalaman yang bukan sedikit, malah harus ada keberanian untuk berdepan dengan apa yang ada di balik pintu yang bakal dibuka kelak. Adakah kita benar-benar yakin mampu untuk berdepan dengan kehidupan di sebalik pintu itu nanti atau nantinya kita akan berundur masuk kembali. Atau, kita berdiam saja di balik pintu tanpa membukanya langsung? Segalanya di tangan kita!

Mungkin ungkapan-ungkapan di atas kedengarannya seperti yang biasa semua orang dengar dan saya mengulanginya kembali. Hal sebegitu sesiapa pun pernah melakukannya. Namun, hal-hal tersebut pernah dan sedang saya alami. Walaupun saya rasa saya kuat, tetapi ada waktunya saya tak mampu dan tak berani untuk membuka pintu kehidupan seterusnya. Walaupu saya rasa saya tahu ada landasan merentas menuju destinasi yang cukup bagus, tetapi saya tak mampu untuk berjalan di atas landasan tersebut. Lalu saya akan cepat-cepat berbalik kepada ketentuan-Nya, di mana saya sebagai hamba harus berusaha mencari kebaikan untuk kehidupan yang lebih baik, tetapi yang menentukan segalanya hanyalah DIA.

Selain keampunan-Nya saya pohohkan, untuk insan-insan yang telah saya berikan kesilapan saya, mohon ampun dari hujung rambut hingga hujung kaki. Moga dalam sisa-sisa perjalanan hidup dan kehidupan yang tak selama mananya lagi ini, saya lebih mudah melangkah, agar kalaupun saya tersungkur lagi saya tetap akan boleh bangun meneruskan langkah.

Dalam sejuta langkah
Bukan aku tak pernah rebah
Malah dengan luka-luka nan parah
Dengan langkah hilang arah
Rebah dan rebah
Menjadikan aku kian tabah

0 comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin