17 August 2008

Taman Raudhah


PERTAMA kali menjejakkan kaki di situ, hari sudah hampir senja. Berbalam dan kelam dikelilingi pohon-pohon besar. Ada anak sungai mengalir, ada pondok-pokdok di lereng bukit. Walaupun serba sederhana dan kekurangan, saya menganggap lanskap di perkarangan Pondok Penyayang Raudhah itu cukup menarik. Malah, saya lebih suka memanggilnya sebagai TAMAN RAUDHAH.

Sesungguhnya... hati saya menjadi sejuk, damai dan aman apabila melabuhkan punggung di bangku di perkarangan masuk ke Taman Raudhah. Dengarlah desir angin menyapa daun-daun. Dengarlah kicau burung. Dengarlah bunyi merdu aliran air dari anak sungai ke kolam sederhana Taman Raudhah. Seketika hati saya berkata, "Aku berada di dunia lain!"

Zaman kanak-kanak saya di kampung dulu, setiap bulan biasanya akan ada wayang pacak, sama ada layar gergasinya di pacak di padang awam atau sekolah. Bayaran untuk menonton wayang pacak seingat saya antara 50sen - RM1. Walaupun saya tak dapat mengingati jalan cerita sepenuhnya bagaimana, tetapi LOCENG MAUT antara filem yang saya tonton di tengah padang ketika itu. Dan, sudah semestinya saya ingat benar siapa hero dalam filem itu - MOKHTARUDDIN!

Zaman kanak-kanak saya tinggalkan dan nama hero filem LOCENG MAUT itu juga hilang dari ingatan saya.


Saya meninjau-ninjau sekitar perkarangan Taman Raudhah, mendongak ke lereng bukit berhutan, merenung air yang mengalir masuk dan keluar dari kolam-kolam taman. Kemudian memandang bangunan serba sederhana yang berdiri di pinggir anak sungai. Bebarapa orang kanak-kanak sekitar 9-15 tahun senyum malu-malu bila mata kami bertembung.

"Ustaz ada?" tanya saya. Salah seorang mengangguk kemudian berlari memanjat tangga menuju ke arah di mana saya memasuki perkarangan Taman Raudhah tadi. Lenyap buat seketika. Kemudian saya lihat satu susuk berjalan ke arah saya. Saya memberi salam dan bersalaman dengannya.

"Haa, siapa yang nak jumpa tadi?" tanyanya sambil berjalan dan masuk ke salah sebuah bangunan di situ.

Setelah lebih 30 tahun filem LOCENG MAUT itu saya tonton dan saya lihat aksi heronya bersilat dalam filem itu, kini hero itu ada di depan saya! - USTAZ MOKHTARUDDIN, pengasas Pertubuhan Penyayang Raudhah.

Seperti yang saya katakan, saya suka menyebutnya sebagai TAMAN RAUDHAH kerana di sinilah berlindungnya anak-anak kurang bernasib baik, anak-anak yatim, anak-anak yang pernah kehilangan arah hidup. Di sinilah mereka memulakan kehidupan baru dengan didikan agama, membentuk semula keperibadian, menjejak kembali jalan yang sebelum ini kelam.

Apa dan siapa yang ada di Taman Raudhah? Bacalah antara petikan dari risalah yang sentiasa diberikan oleh Ustaz Mokhtaruddin.

DATANGLAH MELAWAT ANAK YATIM DI RAUDHAH, BOLEH SOLAT BERJEMAAH DAN BERDOA BERSAMA. JIKA ADA ANAK-ANAK YANG DEGIL, ATAU REMAJA PEREMPUAN YANG MENGANDUNG, HANTARLAH KE RAUDHAH, KITA AJAR BERTAUBAT, SOLAT, ZIKIR DAN JANGAN BUAT ZINA LAGI.


Azan Maghrib dan berkumandang, kami solat berjemaah. Usai solat Ustaz Mokhtaruddin beri sedikit tazkirah. Simple, tepat dan bersahaja. Selang-seli buat lawak tapi tepat kena batang hidung.

Apa yang boleh saya bantu untuk mengindahkan lagi TAMAN RAUDHAH, itu yang sentiasa bermain di benak. Ustaz kata, "BERJUANGLAH!" Lalu saya fikir ini sebagai langkah awal untuk saya mengindahkan taman ini.

PONDOK ANAK YATIM RAUDHAH MEMERLUKAN SUMBANGAN UNTUK MEMBAIK PULIH ASRAMA DAN SURAU. KAMI JUGA SEDIA MENERIMA PAKAIAN TERPAKAI, KASUT, PINGGAN MANGKUK, SARDIN, BERAS, GULA DAN APA SAJA YANG DIRASAKAN SESUAI. DATANGLAH MELAWAT TAMAN RAUDHAH... UNTUK BANTUAN KEWANGAN BOLEH SALURKAN KE AKAUN MAYBANK : 564221610787
ATAU, CEK ATAS NAMA 'PERTUUHAN PENYAYANG RAUDHAH'
ALAMAT : PONDOK PENYAYANG RAUDHAH
BATU 11, GOMBAK, 53100 SELANGOR DARUL EHSAN.
TEL: 03 61852048


Sebelum pulang hati saya berkata lagi, "Dapat tinggal di sini mesti lebih aman. Harap begitulah suatu masa nanti, insya-Allah...."

15 August 2008

Terhentinya Roda Kehidupan

Saya baru pulang dari kerja! Sebenarnya hari ini saya pulang agak lewat, biasanya waktu-waktu begini, selepas solat subuh saya mungkin sudah lena. Namun hari ini disebabkan masalah teknikal saya ambil keputusan untuk tidak melelapkan mata. Mungkin nanti-nanti, saya akan terlelap jua, apabila mata ini sudah tak mampu untuk bertahan.

Saya telah memulakan sesuatu yang baru lagi dalam hidup saya sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Tidak tahu berapa lama saya mampu bertahan dengan 'sesuatu yang baru' ini. Mudah-mudahan, apa jua yang saya lakukan adalah merupakan yang terbaik untuk saya. Sekaligus, harapan itu hendaknya membuatkan saya mampu untuk terus bertahan.

Hidup ini ibarat putaran roda; ungkapan yang selalu saya dengar dan hampir selalu juga saya lafazkan kepada orang lain. Sejak setahun lalu, roda kehidupan saya berputar dan terhenti! Bermakna serentak dengan terhentinya putaran itu, saya berada di bawah. Mungkin terasa bagai dipenyek digelek oleh roda! Setiap detik saya cuba menggerakkan roda itu dan berharap akan berada walau tidak di atas, cukup pada suatu kedudukan yang lega.

Hidup dan kehidupan ini amat adil. Maha Pencipta Maha Adil dalam memberi sesuatu kepada hamba-hamba-Nya. Saya tetap bersyukur, malah amat bersyukur kerana Maha Pencipta telah memberi saya ruang dan peluang untuk merasai, sekaligus memahami apa erti 'berada di bawah'!

Mungkin ketika keadaan 'ok-ok' dahulu, saya selalu lupa segala sesuatu itu jika mahu hilang, ia boleh berlaku dalam sekelip mata. Mungkin kurang motivasi, mungkin kurang mengingatkan diri... tetapi saya belum sampai kepada 'lupa diri' mungkin.

Apabila kita berada di bawah, handak tidak hendak kemungkinan kita akan berdepan dengan kehilangan demi kehilangan adalam amat cerah. Bila di bawah, siapakah yang dapat 'melihat' kita lagi. Kita terpelosok, tersorok, terpenyek rata! Selain DIA yang Maha Melihat hamba-hamba-Nya, siapa lagi agaknya? Memang ada hamba seperti kita yang memiliki hati yang boleh memahami, tetapi mungkin boleh dihitung dengan jari.

Kehilangan yang kita alami sebenarnya merupakan salah satu hukum kehidupan. Sama ada kehilangan itu memang disengajakan atau memang telah sampai masanya ia hilang.

Mungkin saya boleh katakan bahawa, saya sudah banyak melalui kehilangan-kehilangan, sama ada yang disengajakan mahupun kehilangan tak terduga. Alhamdulillah, rasanya saya mampu saja mendepaninya walaupun saya tahu pada waktu-waktu tertentu perasaan saya merudum ke dasar rasa yang tak mampu digambarkan dengan apa-apa jua sekalipun.

Saya memulakan sesuatu yang baru untuk menggerakkan kembali roda kehidupan ini. Syukur kepada-Nya kerana masih memberi saya ruang dan peluang. Terima kasih kepada insan-insan yang ada di dalam hati saya....

13 August 2008

Kehilangan

Salam... bila kali terakhir saya buat posting di sini ya? Lama juga saya 'hilang', kan? Lama saya membiarkan persekitaran di sini diselimuti sawang. Kenapa? Mungkin kerana diri dan hati saya juga penuh dengan sawang.

Kadang-kadang untuk merasai sesuatu, kita harus masuk ke dalam situasi itu. Kebetulan sudah disebut tentang hilang, maka boleh juga sembang-sembang tentang kehilangan ini. Apabila sesuatu itu sudah hilang, kemungkinannya ia akan hilang terus dan kita tak akan mampu menemuinya semula. Atau, mungkin juga kehilangan itu bersifat sementara di mana pada suatu waktu kita akan menemui semula sesuatu yang hilang itu.

Dua situasi berbeza walaupun pada dasarnya ia berasal dari SUATU KEHILANGAN!

Pelikkah kalau saya katakan, saya hilang untuk mencari dan memahami kehilangan-kehilangan yang saya alami? Atau, dengan lebih mudah... saya hilang kerana mahu mencari apa yang ada di sebalik kehilangan itu sendiri. Bagaimana rasanya kehilangan sesuatu dan sesungguhnya memang benar kata ungkapan; KITA HANYA AKAN BARU TAHU NILAI SESUATU ITU SETELAH IA HILANG.

Dalam pada itu juga, saya cuba memahami dan mendalami rasa setiap orang yang mungkin mengalami kehilangan. Apa-apa jua yang pada dasarnya kita lihat terlalu kecil nilainya, namun setelah kita kehilangannya barulah kita tahu berapa besar nilainya. Malah mungkin kita tak mampu meletak berapa besar nilai sesuatu yang telah hilang itu.

Setiap saat kita mengharap untuk bertemu kembali dengan sesuatu yang hilang itu. Mudah-mudahan andai kita ketemuinya kembali kelak, kita lebih tahu menghargainya walaupun mungkin saja ia tak sama seperti sebelum kehilangannya.

Setelah agak lama hilang, kini saya kembali setelah saya memahami dan menemui kembali kehilangan-kehilangan yang pernah saya alami dulu. Walaupun tak semuanya dapat saya rangkul kembali dalam dakapan saya, apa adanya ini harus saya syukuri.

07 April 2008

Ada Apa Dengan Hidup Ini?

SALAM... agak lama saya tak menulis dan menaip. Biarlah blog ini bersawang buat seketika. Mungkin ada orang yang rindu dekat saya, eh... dekat apa yang saya bebelkan. Selain otak tak berapa mengizinkan saya membebel di sini, kedua-dua jari telunjuk saya juga agak sakit apabila dibengkokkan. Alasan nak bagitahu bahawa saya tak berapa selesa menaip.

Ada banyak bahan yang terkumpul di dalam kepala otak saya sejak kebelakangan ini. Ada banyak cerita yang berlaku di sekitar saya, malah ada banyak perkara yang berlaku ke atas diri sendiri. Semua itu memang hendak dikongsikan di sini, namun ia bagai 'malas' nak dikeluarkan.

Kadang-kadang saya berfikir sejauh-jauhnya, berapa banyakkah kesilapan tanpa sedar yang telah saya lakukan sepanjang-panjang usia saya ini? Berjuta-juta barangkali. Dalam pengamatan dan sepanjang penghidupan ini, benarlah bahawa apabila kita berkata sesuatu, melakukan sesuatu yang mungkin tidak kena, maka suatu hari hal-hal itu akan dipamerkan kembali kembali di depan mata kita.

Mungkin hari ini kita memarahi seseorang atas kesilapannya, percayalah bahawa suatu masa nanti kita pula yang mungkin akan melakukan kesilapan serupa. Dan, kita fikirlah sendiri bagaimana perasaan orang yang berhadapan dengan kita ketika itu. Mungkin hari ini kita mengata anak orang begitu begini. Dan... suatu masa yang entah bila, mungkin apa yang kita kata itu berlaku terhadap anak kita pula.

Ya, itulah yang dikatakan putaran roda kehidupan - berputar dan terus berputar.

11 March 2008

Cermin Diri, Bercermin Diri Sendiri : Pantulan-pantulan Imej Kesilapan


Pernahkah kita berasa begitu banyak kesilapan telah kita lakukan, sama ada sengaja atau sebaliknya? Bilakah detik-detik begitu akan cukup terasa menjalar di segenap benak kita? Apakah yang kita perbuat untuk menghadapi atau melegakan rasa sebegitu? Adakah kita mampu memujuk otak untuk diam dan jangan memikirkannya – persetankan semua itu! Dan, sampai waktu-waktunya ia akan reda dan tenang kembali. Atau, kita terus mengorek masa silam dan mengimbas kesilapan-kesilapan yang pernah berlaku dalam hidup dan kehidupan kita.

Saya percaya bahawa setiap kesilapan yang pernah belaku harus dibayar, dan bukan sesuatu yang boleh kita jangkakan bilakah kita mampu untuk melunasinya. Malah, kadang-kadang saya berasa bahawa saya tak akan mampu untuk ‘membayar’ kepada setiap kesalahan dan kesilapan yang pernah saya lakukan.

Saya semakin kurang tidur sejak kebelakangan ini. Selain saya lebih ‘selesa’ melakukan kerja selepas melewati waktu tengah malam, saya juga kadang-kadang hanya duduk menerawangkan pemikiran entah ke mana-mana. Cuma yang pasti saya lebih banyak berfikir tentang himpunan masa-masa lampau, yang di dalamnya ada pelbagai cerita tentang hidup dan kehidupan seorang hamba Maha Pencipta. Saya semakin banyak menoleh ke belakang sekarang ini. Bukanlah kerana banyak detik-detik gemilang, tetapi mungkin kerana saya harus berbuat begitu untuk menambah bekal kekuatan untuk saya terus berjalan ke hadapan. Merempuh perjalanan yang entah berapa detik lagi berbaki ini. Meredah jalan di hadapan yang saya lihat hanya ada kelam, ada cabang dan simpang, ada pelbagai halangan merentang.

Kadangkala saya berfikir, adakah semua yang berlaku kepada saya pada waktu ini secara kebetulan? Datangnya satu persatu bagai mengikut urutan, bagaikan telah tersusun rapi dan hanya menanti untuk ‘dihidangkan’ kepada saya saja.

Apapun, saya melihat semua ini sebagai sesuatu yang harus saya terima dengan penuh redha walaupun bukan mudah untuk memujuk hati meredhakan segalanya. Tambahan apabila akal pula berperang dengan perasaan – apakah semua ini wajar berlaku kepada diri saya? Kemudian saya melihat bahawa memang ada sesuatu yang sengaja dirancang agar saya tercampak dalam satu situasi tertentu. Mungkin, saya menerima semua ini dengan rasa yang memang menyakitkan. Namun, alhamdulillah… saya tetap masih dapat meredhakannya. Untuk lebih memudahkan, saya akan selalu mengingatkan bahawa saya ini seorang hamba yang tidak dapat lari dari melakukan kesilapan demi kesilapan. Nah, apa yang Tuhan berikan ini adalah bayaran-bayaran terhadap kesilapan tersebut. Walaupun saya tahu bahawa saya masih belum mampu melunasi segalanya, mudah-mudahan ‘hutang’ saya semakin berkurangan.

Sesungguhnya, sejak dahulu saya tidak berapa suka bercermin atau duduk mengadap cermin lama-lama. Kebetulan saya seorang lelaki, jadi saya berasa itu semua tidak perlu. Bagaimanapun, apabila menyebut tentang cermin saya teringat bahawa segala sesuatu yang berlaku di sekeliling saya ibarat cermin. Cermin yang secara tidak langsung memantulkan imej-imej tentang perlakuan hidup dan kehidupan.

Misalnya, apabila saya melihat seseorang melakukan kesalahan – yang saya lihat pada zahirnya memang satu kesilapan telah berlaku. Namun, hakikatnya itu mungkin salah satu gambaran tentang kesilapan yang juga pernah saya lakukan. Syukur kerana saya masih dapat melihat cermin kehidupan yang berada di sekitar saya. Walaupun tidak kesemuanya mampu untuk menembusi dinding rasa saya dan menyelinap ke sanubari, sekurang-kurang saya masih terdetik di hati, “Oh Tuhan, aku pernah melakukan kesilapan sebegini, mudah-mudahan ia tidak berlaku lagi.”

Banyak, terlalu banyak yang boleh dijadikan cermin di sekitar kita, baik melalui hamba bernyawa seperti kita mahupun benda-benda yang kaku tak bernyawa. Pernah saya termenung lama memerhati landasan keretapi yang kaku, yang hanya menanti train demi train melaluinya, dan hati saya berkata bahawa begitulah juga dengan hidup saya. Saya bagai landasan yang menyambung kepada satu destinasi, tetapi dalam masa yang sama ada rutin lain yang akan melalui diri saya yang tak dapat saya elakkan. Saya harus terima dan saya harus redha.

Sebagaimana yang saya tahu bahawa jika saya tak merubah nasib saya, siapa yang mahu melakukannya untuk saya? Memang kadang-kadang pada tahap tertentu saya, atau mungkin sesiapa pun akan berasa bagai duduk di dalam jurang paling bawah, di tempat paling rendah! Lalu, akan bergemalah ungkapan sebegini, “Biarlah apa nak jadi pun, mungkin sudah takdir dan kalau fikir sampai pecah kepala pun belum tentu hal akan selesai.” Mungkin ia bernada negatif kerana pemikiran ketika itu memang tak berapa boleh diguna-pakai. Anggap saja ia sebagai suatu rungutan kecil dan cepat-cepatlah buka mata dan bangkit menghadapi dunia realiti!

Membuka minda dan pemikiran bukan seperti membuka pintu atau tingkap. Membuka pintu hati bukan sekadar memulas timbol lalu menarik daun pintu. Segalanya memerlukan kekuatan dalaman yang bukan sedikit, malah harus ada keberanian untuk berdepan dengan apa yang ada di balik pintu yang bakal dibuka kelak. Adakah kita benar-benar yakin mampu untuk berdepan dengan kehidupan di sebalik pintu itu nanti atau nantinya kita akan berundur masuk kembali. Atau, kita berdiam saja di balik pintu tanpa membukanya langsung? Segalanya di tangan kita!

Mungkin ungkapan-ungkapan di atas kedengarannya seperti yang biasa semua orang dengar dan saya mengulanginya kembali. Hal sebegitu sesiapa pun pernah melakukannya. Namun, hal-hal tersebut pernah dan sedang saya alami. Walaupun saya rasa saya kuat, tetapi ada waktunya saya tak mampu dan tak berani untuk membuka pintu kehidupan seterusnya. Walaupu saya rasa saya tahu ada landasan merentas menuju destinasi yang cukup bagus, tetapi saya tak mampu untuk berjalan di atas landasan tersebut. Lalu saya akan cepat-cepat berbalik kepada ketentuan-Nya, di mana saya sebagai hamba harus berusaha mencari kebaikan untuk kehidupan yang lebih baik, tetapi yang menentukan segalanya hanyalah DIA.

Selain keampunan-Nya saya pohohkan, untuk insan-insan yang telah saya berikan kesilapan saya, mohon ampun dari hujung rambut hingga hujung kaki. Moga dalam sisa-sisa perjalanan hidup dan kehidupan yang tak selama mananya lagi ini, saya lebih mudah melangkah, agar kalaupun saya tersungkur lagi saya tetap akan boleh bangun meneruskan langkah.

Dalam sejuta langkah
Bukan aku tak pernah rebah
Malah dengan luka-luka nan parah
Dengan langkah hilang arah
Rebah dan rebah
Menjadikan aku kian tabah

01 March 2008

Diri Sendiri, Bersendiri & Sendirian

Salam untuk semua… moga sihat sejahtera hendaknya, saya doakan.

Kita sudah berada di hari pertama, bulan ketiga 2008. Sepertimana tahun-tahun sebelum ini, pastinya ada di antara kita yang akan berkata, “Cepatnya masa berlalu, sedar tak sedar kita sudah berada di bulan Mac.”

Sesungguhnya saya juga merasakan begitu. Hati saya juga berkata begitu tentang betapa cepatnya masa saya rasakan bergerak. Sebenarnya, sebelum-sebelum ini pun begitu juga. Kita akan merasakan masa terlalu pantas bergerak dan, sedar tak sedar agak lama saya biarkan blog ini sunyi, bukan?

Adakah sesiapa yang merindui saya? Adik-adik saya, buah hati saya, orang-orang yang istimewa di dalam hidup saya, orang yang sentiasa berada di dalam hati saya? Biasanya, jika saya merindui seseorang saya yakin dia juga merindui saya. Tak apalah, rindu atau tidak mereka kepada saya bukanlah hak saya untuk menentukannya. Yang nyata saya memang rindu untuk meluahkan sesuatu di sini. Di sinilah biasanya saya melepaskan apa saja yang terbuku selain berkata-kata kepada-Nya, yang Maha Mendengar.

Banyak hal yang berlaku sepanjang saya menyepi diri di sepanjang Februari. Hal-hal yang sentiasa menduga dan menguji kesabaran saya sebagai hamba Maha Pencipta. Hal-hal yang membawa saya untuk pergi buat sementara – mencari kembali kekuatan-kekuatan yang seperti berkecai. Mengutip kembali dan mencantumkan harapan-harapan yang berdarai. Muhasabah kepada diri yang remuk dihentam dugaan (atau barangkali lebih sesuai sebagai hukum).

Saya insan lemah dan serba kekurangan. Saya boleh terhumban ke mana saja dengan takdir-Nya. Saya boleh tersungkur saya boleh bangun – tetapi mungkin kalau kehendak-Nya meletakkan bahawa saya harus terus tersungkur buat suatu masa yang lama, sesunguhnya saya sedang belajar untuk terus redha.

Kalau dahulu saya sering berkata hidup ini ibarat roda, tetapi ketika itu saya hanya melihat roda yang berputar-putar. Kini saya telah menjadi sebahagian daripada roda itu. Saya tahu bagaimana rasanya ketika berada di atas dan saya saya juga tahu apabila berada di bawah. Walaupun sakitnya bukan kepalang, tetapi rasa terima kasih dan syukur sentiasa saya ucapkan agar saya tak hilang arah, agar saya sentiasa ingat tentang pelajaran yang saya perolehi sepanjang menjadi roda.

Orang kata belajar dari pengalaman memang cukup mengesankan, dan itu memang saya akui. Apapun, kadang-kadang kita tetap tak mampu untuk bergajak ke langkah seterusnya walaupun kelihatan bukan sukar untuk melakukannya. Kemampuan setiap daripada kita tak sama. Kekuatan setiap individu tak pernah serupa dan setara. Kekuatan fizikal bukan menjanjikan kekuatan mental.

Pernahkah di antara kalian berasa pada suatu waktu tidak mampu untuk berbuat apa-apa? Malah untuk memikirkan sesuatu juga pemikiran bagai tepu! Beku! Segala yang cuba difikirkan bagai serba tak kena. Kita berasa cukup-cukup penat walhal kita tak melakukan apa-apa pun dengan tulang empat kerat. Kepenatan dalaman yang cukup mendalam hingga ke dasar yang tak mampu dicapai oleh perasaan, yang tak mampu diluahkan dengan apa jua bahasa yang ada.

Pernahkah di antara kalian berasa diri kalian terkepung oleh pelbagai hal, baik yang besar mahupun yang remeh? Kita merasakan tak ada langsung ruang untuk meloloskan diri dari kepungan itu. Segala ikhtiar bagaikan mati! Segalanya bagaikan telah membunuh kehidupan kita.

Pernahkah di antara kalian berasa terlalu sunyi sedangkan kalian berada di tengah-tengah keriuhan. Kita ada keluarga, kita ada sahabat-handai, kita ada kawan-kawan tetapi kita terus-terusan berkawan dengan kesepian paling sepi. Sunyi yang tak mampu digambarkan, apatah lagi menggambarkan perasaan ketika berada di dalam situasi begitu.

Pernahkah di antara kalian berasa terlalu sayu, teramat sedih pilu tak terhingga sedangkan orang lain melihat kita bibir kita menguntum seulas senyuman? Tak ada setitispun air mata yang gugur membasahi pipi, tetapi kepiluan yang kita alami cukup menyayat hati. Hati telah basah dibanjiri kesedihan itu namun tak mampu kita alirkan air mata.

Suatu hari di pertengahan Februari lalu saya merempit meredah kesesakan di pagi hari untuk ke satu destinasi. Lama saya tak berbuat begitu. Saya juga bukanlah berani sangat merempit meredah sesak begitu. Fobia! apabila sampai di satu jalan yang sibuk berganda, saya tersekat seketika – tak berani untuk terus mencelah di samping bimbang terlanggar side-mirror kereta yang bersesak-sesak. Saya berada di sisi sebuah kereta mewah warna hitam, tiba-tiba pemandunya menurunkan cermin tingkap, lalu menarik side-mirror agar saya boleh lolos meneruskan perjalanan. Terima kasih!

Kemudian saya teringat beberapa tahun lalu ketika memandu dalam keadaan agak sesak di Lebuhraya KESAS. Tiba-tiba sebuah motor yang agak laju merempuh side-moror kereta saya. Hancur! Dan, penunggang itu lesap di celahan kesesakan. Mungkinkah kerana kereta saya ‘ciput’ maka orang lain tak peduli?

Lebih kurang setengah jam merempit, saya meneruskan perjalanan menaiki komuter pula. Hamper 20 minit melanguk di stesen komuter, train mash tak nampak bayang. Kemudian kedengaran pengumuman mengatakan train lewat 20 minit. Saya hanya merenung rel keretapi sebab tak ada benda lain yang lebih menarik perhatian ketika itu. Saya berfikir bahawa kita ini hanya mampu merancang. Secanggih mana sekalipun peralatan yang dicipta, tetap tak akan mampu melawan takdir.

Setelah sampai ke destinasi, saya harus bertemu seseorang sebagaimana temujanji yang dibuat sebelum ini. Saya datang dengan harapan pertemuan itu akan mampu melegakan sedikit rasa yang saya hadapi sejak ke belakangan ini. Namun, agak mengecewakan! Tetapi saya tidak menyalahkan individu tersebut kerana sebagaimana yang selalu saya ingat-ingatkan bahawa setiap manusia tak akan sama reaksinya terhadap diri kita – tak kira apa jua alasannya. Pertemuan yang sebelum ini saya jangkakan mungkin paling tidak akan berlanjutan sekitar setengah jam, hanya berakhir sekitar 15 minit sahaja.

Saya melangkah meninggalkan tempat itu untuk pulang. Sementara menantikan train komuter tiba saya membuat kesimpulan mudah dan ringkas. Bahawa sesungguhnya hanya kita saja yang tahu tentang diri kita (selain Tuhan), apa yang kita alami, yang kita rasa dan sudah tentu juga hanya kita yang benar-benar mampu melega dan meredakan resah rasa yang dialami. Kita hanya boleh bercerita kepada sesiapa pun, tetapi kita harus sedar bahawa tak semua orang mampu mendengar rasa hati kita dengan benar. Tak ramai yang mampu menjadikan diri mereka sebagaimana diri kita. Apapun itu sebagai alternatif yang tetap boleh mengurangkan resah rasa kita. Tahukah kita bahawa kadang-kadang kita lupa untuk mengadu kepada yang Maha Mendengar.

Itu sekadar sebahagian cebisan kisah hidup dan kehidupan yang saya lalui kebelakangan ini. Sebenarnya setiap detik ada satu kisah tentang diri kita yang telah tercipta. Kadang-kadang saya berasa mahu lari jauh-jauh, biar kononnya segala hal yang merantai rasa dapat saya luputkan. Namun mana mungkin hal itu berlaku. Saya hanya mampu meluputkan segala hal kalau saya hilangkan ingatan saya. Tetapi apalah ertinya hidup lagi kalau tak punya apa-apa memori? Bayangkan saja kalau komputer kita tak punya memori, apakah nilainya lagi?

Kebelakangan ini juga saya sering berfikir tentang kehilangan. Memang banyak hal, perkara dan benda yang telah hilang dari diri saya. Dan, saya tahu saya akan terus berhadapan dengan kehilangan-kehilangan lain. Saya cukup tahu bahawa kehilangan-kehilangan itu akan berhenti berlaku kepada diri saya apabila saya sendiri telah hilang kelak.

Sejak dahulu, sebenarnya saya cukup tahu bahawa sesuatu yang paling disayangi itulah yang akan hilang daripada diri kita. Kerana kita cukup sayang terhadap sesuatu itu maka apabila ia hilang kita akan cukup merasakannya, cukup mengesankan! Berbanding dengan hal atau benda yang kita kurang atau tak ambil peduli langsung, sama ada ia wujud atau hilang tak pernah memberi apa-apa kesan terhadap diri kita. Kesimpulannya, kita hanya akan kehilangan sesuatu apabila kita menyayanginya.

Saya cukup berasa kehilangan seorang emak kerana saya sayangkan emak saya. Saya cukup terasa kehilangan kerja kerana selama lebih 20 tahun saya membina kerjaya san memang saya cukup sayangkan kerjaya itu. Dan, sebenarnya saya terasa kehilangan adik-adik dan kawan-kawan apabila saya atau mereka menyepikan diri. Tetapi saya tetap berasa emak saya tetap hidup dalam diri saya walaupun emak telah pergi selamanya. Saya tetap melakukan kerja-kerja yang saya lakukan sejak lebih 20 tahun lalu walaupun saya belum ada tapak tetap untuk mengembangkan kerjaya itu untuk masa-masa akan datang. Dan, adik-adik serta kawan-kawan tetap ada dalam hati saya walau suatu masa nanti masing-masing tetap akan pergi dari kehidupan saya. Ruang hati saya ‘besar’, heart-disc saya no limit space! Jadi saya mampu meletakkan setiap makhluk yang pernah singgah dalam kehidupan saya di dalamnya.

Masa akan terus bergerak dan berubah. Saya dan kalian juga begitu – bergerak dan akan memgalami perubahan demi perubahan. Masa mengubah kita dan kita berubah mengikut masa – hal ini juga berlaku mengikut keperluan serta kepentingan masing-masing.

Ketika saya berada di dalam situasi paling down, paling teruk, paling sedih dan yang seumpamanya, saya cuba memujuk diri untuk menumpu pada satu titik saja. Fokus kepada sesuatu yang saya rasa adalah rangkuman kepada segala macam hal yang ada dalam kehidupan kita, segala macam yang mengkucar-kacirkan perasaan dan rasa saya. Memang satu kerja yang bukan mudah mahu menumpu pada satu titik dalam pada pemikiran berkecamuk, tapi kalau tidak dicuba manakan kita merasa hasilnya. Biar walaupun tak merubah apa-apa dalam kehidupan saya selepas itu, tetapi saya tetap cuba melakukannya. Memang ada orang kata kalau buat sesuatu yang kita tak tahu hasilnya ibarat melakukan kerja sia-sia, saya peduli apa!

Selama saya melakukannya, pada mulanya memang saya fikir tak dapat apa-apa pun. Tetapi rupanya saya baru sedar bahawa bila saya berfikir tentang sesuatu yang walaupun tak mendapat jalan selesainya, saya tetap mendapat pelajaran. Pelajaran yang diperolehi daripada guru semula jadi, yakni persekitaran saya. Saya semakin memahami siapa diri saya – adakah saya ini jenis manusia bagaimana, begitu dan begini. Saya juga berasa saya semakin kerdil dan kecil apabila ‘melihat’ akan kebesaran-Nya yang disampaikan melalui dugaan-dugaan getir atau yang mengujakan.

Kemudian daripada kejadian-kejadian yang dilakukan oleh orang lain terhadap diri saya, walaupun pada mulanya menimbulkan rasa amarah, tetapi akhirnya saya coolkan diri. Lalu saya pun terkenang mungkin suatu masa dahulu saya pernah melakukan hal-hal sebegitu kepada orang lain juga. Dan, saya cuba menyampaikan kepada diri sendiri bahawa dugaan yang datang sebagai penyuci kepada kesalahan-kesalahan yang pernah saya lakukan kepada makhluk lain.

Sebenarnya memang benar, kita akan menghargai sesuatu, kita hanya akan melihat sejauh mana nilai sesuatu itu apabila ia telah hilang daripada diri kita. Walaupun sebelum ini saya tahu bahawa harta dan pangkat sekadar suatu ‘penyedap’ untuk kehidupan dunia, kini saya telah benar-benar tahu bagaimana nilai harta dan pangkat itu dalam kehidupan fana ini. Saya juga mampu melihat bagaimana nilai seorang kawan atau sahabat dalam dua situasi berbeza. Mungkin tak perlu ungkapan penjelasan, kita sudah mampu untuk membaca persahabatan selama ini bagaimana nilainya.

Kesimpulan mudahnya yang saya dapat, bahawa kita bukan hanya akan SENDIRIAN apabila masuk ke dalam kubur nanti, tetapi di atas muka bumi ini pun kita sebenar-benarnya telah diajar untuk bersendirian! Yang menjadi kawan ketika di dalam kubur kelak adalah amal kita, dan ketika di atas muka bumi ini pun serupa. Dengan kekuatan amal kita akan kuat menghadapi tekanan, kita mampu bangun dari tersungkur walau berpuluh kali. Orang lain sama seperti kita, mereka juga adalah seorang hamba yang lemah dan tak sempurna.

Untuk diri saya sendiri, untuk adik, untuk adik-adik saya, untuk kawan-kawan saya serta sahabat-handai, yang sedang bergelut dengan hal-hal yang memenatkan rasa, yang bergelumang dengan ujian-ujian indah, yang ditaburi dugaan-dugaan tak terduga… tahukah kalian bahawa TUHAN AMAT-AMAT SAYANGKAN KITA. Segala perhatian-Nya tertumpah kepada kita, maka itu diberi-Nya kita segala macam dugaan. Dan, sedarkah bahawa kini kita semakin dekat pada-Nya?

Bulan Mac datang lagi. Bulan Mac adalah bulan saya. Dalam sejarah hidup dan kehidupan saya selama sehingga hari ini, banyak hal yang mengesankan berlaku pada bulan ini. Secara kebetulan atau ia memang ditakdirkan begitu, syukurlah. Bagi saya bulan Mac banyak melengkapi sebahagian kisah perjalanan kehidupan saya, menjadikan ia bervariasi, berwarna-warni. Tidak kira sama ada ia sesuatu yang indah mahupun sebaliknya, ia tetap warna-warna kehidupan saya sepanjang menjadi hamba kepada Maha Pencipta.

Untuk orang yang saya sayangi, untuk orang-orang yang disayangi dan untuk semua – mohon ampun dan maaf atas segala keterlanjuran saya. Entah bila pula kita akan bertemu lagi, entah bila pula saya dapat mencoret di sini, mudah-mudahan Maha Pencipta sentiasa mengizinkannya.


Lukaku tak pernah berdarah
Tapi kutahu ia semakin parah
Kucuba untuk terus pasrah
Tapi aku bukan menyerah
Apatah lagi mengalah

Lemas terkepung sejuta resah
Tiada nampak sekelumit jalan untuk diredah
Bukan aku untuk sekadar berserah
Biar terasa telah begitu lelah
Lihatlah! Pasti ada ketikanya cerah
Setelah kegelapan melitup seluruh daerah

04 February 2008

Marah + Bengang + Penat + Sengal = SABAR

HARI ini, saya menerima SMS mengecewakan lagi! Walaupun tanpa sebarang alasan, tetapi perkara yang dijajikan oleh seseorang pada hari ini nampaknya terpaksa DIMUNGKIRINYA lagi. Sungguh-sungguh benar, saya telah kehilangan rasa amarah kepadanya walaupun dalam tempoh dua bulan berurusan dengannya - janji-janji yang diberikannya tak pernah TEPAT! Mungkinkah sebelum-sebelum ini amarah yang melanda saya telan dengan keterpaksaan, dimana kesudahannya saya redha dengan ketentuan ini.

Bagusnya hari ini dia sekadar memberitahu bahawa job yang saya amanahkan masih tak mampu disudahkannya. Katanya, mungkin malam nanti baru boleh diserahkan kepada saya. Yang saya tahu, sejak pertama kali dia memungkiri janjinya sebenar-benarnya dia bukan tidak dapat menyiapkan tugas itu, tetapi dia TIDAK MELAKUKANNYA! Jadi bagaimana tugas itu dapat diselesaikan sepertimana janjinya jika tidak dikerjakan.

Saya terpaksa berdepan dengan kejatuhan reputasi. Andailah ini urus niaga berjuta-juta mungkin saya dah lama diheret ke mahkamah kerana gagal. Gagal saya kerana gagalnya orang yang saya amanahkan untuk melakukannya. Tak apa... baru sebentar tadi saya bersyukur kerana dianugerahkan kawan sepertinya. Kawan yang ditugaskan menduga kesabaran saya. Dan, akhirnya... rasa marah terhadap sesuatu dapat saya bendung, saya pujuk hati untuk menerima dengan redha walaupun dirasakan lebih daripada ibarat MENGINJAK-INJAK KEPALA saya.

Syukur kerana MARAH itu saya TELAN dan jadikan ia sebagai sebuah ilmu pengetahuan tentang sifat-sifat manusia. Mungkin Tuhan mahu mengajar saya dengan cara ini. Saya berharap hari ini saya dapat selesaikan tugas ini. Memang saya penat melayani kerenah job ini, tetapi itu antara cabang rezeki saya. Saya tak akan putus asa tetapi CUKUPLAH saya berurusan dengannya.

02 February 2008

Semua Orang Ada Alasan, Tapi Tak Semua Orang SUDI Menerima Alasan...


KITA sudah memasuki bulan ke dua tahun 2008. Rasa sekejap saja masa berlalu, bukan? Minggu lepas saya memang terasa dipermain-mainkan sekaligus ia membuat saya begitu tertekan. Hal ini menyebabkan penyakit athma saya tiba-tiba menyerang kembali. Apabila saya kurang dapat mengawal emosi, biasanya saya akan terbatuk-batuk, uhuk! uhuk! uhuk! Sakit dada macam nak pecah!

Ekoran SMS daripada seseorang yang menjanjikan akan menyelesaikan tugas yang saya berikan kepadanya, tetapi hal sebaliknya berlaku. Beliau hanya mampu menyudahkan sebahagian saja kerja tersebut dalam masa yang dia sendiri janjikan. SMS sebelumnya, 'SAYA JAMIN SIAP!' Saya mengangap SMS itu janjinya, janji yang sudah masuk lebih tiga kali dimungkirinya. SMS itu juga saya anggap riak dan terlalu yakin sedangkan saya rasa dia tak berusaha untuk menyudahkan tugas tersebut.

Sebelum ini saya sudah marah. Tetapi saya masih percaya dia akan menyudahkannya. Kemudian dia berjanji untuk kali yang keberapanya, iaitu berjanji akan menyudahkan kerja tersbut pada Khamis. Paginya, dia SMS... 'Maaf, kerja tu aku akan siapkan Isnin'. Ketika membaca SMS itu, aku sudah tiada reaksi - bagai telah kematian perasaan!

Aku duduk menung dan meningglkan buat sementara kerja-kerja yang aku buat tadi. Saja nak merehatkan minda sambil berfikir-fikir tentang manusia di sekeliling saya. Sesiapa pun akan marah, bengang atau yang seumpamanya - kerana kerja yang saya amanahkan kepadanya harus juga saya serahkan kepada orang lain. Saya tarik nafas dalam-dalam mencari hikmah di sebalik semua ini. Adakah saya perlu bersikap TIDAK PERCAYA lagi kepada kawan saya itu, setelah lebih lima kali dia memberi alasan kerana tidak menyiapkan kerja yang saya berikan?

Saya cuba untuk memahami situasinya walaupun dia mungkin tak pernah mahu memahami kedudukan saya pula. Tak apa... Saya tahu dia ada alasan mengapa hal itu berlaku. Biarlah dia dengan seribu satu alasan sekalipun, saya sebenarnya tak mahu mendengar apa-apa kerana nanti saya menjadi marah kepadanya. Sebab itu saya bersikap tak apa, kerana bila marah-marah syaitan masuk campur dan saya mungkin akan memutuskan silaturrahim dangan kawan ini. Saya membuat kesimpulan - mungkin saya hanya memutuskan urusan perniagaan dengannya, tetapi tidak untuk persahabatan.

Saya menanti pagi Isnin untuk melihat sama ada dia berjaya 'menyejukkan' hati saya. Mudah-mudahan dia mampu, kerana saya telah hilang keyakinan terhadapnya. Saya sebenarnya seorang yang 'degil'. Saya degil untuk terus memberinya peluang, tetapi mungkin saya jadi degil untuk tidak lagi memandangnya...

Petang hari itu pula saya ada mesyuarat kecil. Tak lama, ia berjalan sekitar setengah jam saja, kemudian kami turun ke kedai mamak untuk minum-minum. Sebaik meneguk air, hujan turun dengan lebat. Setelah agak reda, saya minta diri kerana ada hal lain yang harus saya selesaikan. Saya berlari anak menuju ke kereta...

Kemudian saya terpaku seketika apabila mendapati sebuah BMW menghalang kereta saya. Saya masuk dan membunyikan hon beberapa kali. Tak ada reaksi, cuma orang semakin ramai menyaksikan saya yang mula berasap kepala cuba untuk mengeluarkan kereta. Dua tiga kali saya menjerit walaupun tanpa reaksi. Lebih kurang 20 minit, setelah berhempas pulas cuba meloloskan kereta dari halangan BMW itu, seorang lelaki berkopiah dalam lingkungan 50-an mengangkat tangan meminta maaf.

"Maaf dik, saya tak dengar..." Alasan lagi!

Saya cuma menjawab, "Mujur kereta pakcik tak calar..." Saya terus berlalu tanpa menoleh pakcik itu. Kalau lama-lama melayan nnti saya semakin marah, bila marah syaitan masuk campur - dah tak hairan nanti saya menjadi 'kurang ajar' kepada pakcik itu. Cuma hari itu yang saya tahu Tuhan menganugerahkan kepada saya pengetahuan lagi tentang sikap manusia. Tentang kejujuran, amanah, tangungjawab dan sikap terhadap persekitaran.

Kepada kawan saya itu, terima kasih banyak-banyak kerana walaupun saya marah tapi saya mampu mengawal agar ia tak meletup! Ia mengajar saya, andai ada tugas yang diamanahkan kepada saya, saya harus selesaikan. Jika berjanji, teliti dahulu adakah saya berkemampuan untuk menunaikan janji itu. Dan seterusnya, saya tahu dia juga manusia biasa seperti saya, yang pasti-pasti akan melakukan kesilapan.

Kepada pakcik BMW atau sesiapa saja yang jika terdesak tiada lagi petak letak kereta yang kosong, dan terpaksa menghalang kereta lain - sila tinggalkan nombor telefon anda di atas dashboard. Biar mudah orang yang keretanya kamu halang untuk menghubungi kamu.

Petangnya setelah segala urusan selesai, saya baring mengadap televisyen. Sesuatu yang saya dapat dan boleh saya kongsi di sini untuk semua; 'Kita ada otak dan pemikiran, kita ada hati yang mengawal dan menilai segala perbuatan - gunakan anugerah-anugerah Tuhan itu agar kita menjadi hamba yang lebih berkualiti kepada diri sendiri serta orang lain.'

25 January 2008

Saya Semakin Suka Menangis...


SIAPAKAH yang dapat menyangkal bahawa apabila kita pergi dan berada di tempat yang baik-baik, maka kita akan sentiasa diselubungi kebaikan. Dan, begitulah sebaliknya... andai kita pergi serta berada di tempat yang tidak baik, maka kita sebenarnya mengundang bencana untuk diri sendiri.

Begitu juga orang akan melihat kita ini bagaimana dengan melihat siapa orang-orang yang ada di sekeliling kita, siapa yang menjadi kawan-kawan kita. Andai kawan-kawan kita itu terdiri daripada orang baik-baik, insya-Allah kebaikan yang akan dapat kita perolehi hasil dari persahabatan itu.

Beberapa hari kebelakangan ini saya sering diserang stress, tertekan perasaan dengan tiba-tiba. Perasaan marah saya tiba-tiba muncul, malah sesekali timbul benci dengan situasi yang berlaku. Namun saya cepat-cepat mengingati diri sendiri bahawa apa yang berlaku ada hikmahnya. Saya melepaskan rasa terbuku itu dengan 'membebel'kan ketidakpuasan itu kepada adik-adik saya. Saya hanya mahu mencari orang untuk mendengar sahaja, kerana saya tahu dalam keadaan spontan tak ramai yang mampu memberi pandangan balas.

Ada macam-macam cara untuk melepaskan rasa terbuku di hati. Namun saya mendapati sejak kebelakangan ini ada satu cara yang datang ke dalam diri saya. Saya menyedari semua itu dan ia memang sentiasa berlaku apabila saya berasa tertekan, stress atau rasa teraniaya. Ya, saya keluarkan air mata saya!

Pada mulanya hal ini berlaku saya hanya menyedari hal itu mungkin kerana saya terlalu marah atau sedih. Tetapi lama kelamaan saya mendapati ia bagaikan terapi untuk jiwa saya kembali normal, kembali kepada asalnya, kembali berfikir secara rasional dan positif. Hasilnya, rasa benci dan marah saya menjadi pudar perlahan-lahan dan kemudian lenyap. Malah ia segera menjadikan saya positif untuk menerima hakikat kejadian tersebut.

Ketika air mata saya mengalir, fokus pertama-tama saya adalah Maha Pencipta. DIA menyediakan ujian kekuatan ini untuk saya lalui yang sudah pasti untuk menjadikan saya sebagai seorang hamba yang lebih sedar diri. Kemudian, fokus saya tertumpu kepada dalam diri saya sendiri; dalam beberapa detik saya dapat mengumpulkan kekuatan untuk redha dan berkata, "Tuhan telah menunjukkan sesuatu untuk diriku..."

Apa yang DIA mahu tunjukkan kepada saya? Pertama, saya hanya seorang hamba yang sentiasa tak dapat lari dari melakukan kesilapan. Mungkin Tuhan mahu 'mencuci' dosa-dosa saya dengan balasan segera sebegini - tak perlu tunggu 'di sana' nanti! Saya juga melihat bahawa apabila saya boleh melakukan kesilapan, maka tentu orang lain yang juga hamba seperti saya turut tak lepas dari kesilapan. Dan, jika DIA yang Maha Agung itu mengampunkan dosa-dosa saya yang entah berapa banyak jumlahnya ini, mengapa saya yang terlalu kerdil lagi hina ini TAK MAHU memaafkan makhluk yang setaraf dengan saya?

Lalu, saya pun semakin berfikir mengapa Tuhan menciptakan air mata, mengapa Tuhan menganugerahkan manusia dengan tangisan - air mata dan tangisan itu merupakan satu terapi jiwa bagi yang mahu mengerti.

Orang yang biasanya disenangi dan disayangi adalah orang yang menyenangi dan menyayangi orang lain seikhlasnya. Orang yang biasanya paling dibenci adalah orang yang sering dan suka membenci orang lain. Ungkapan ini melekat di dalam hati saya sebaik dibacakan di mimbar Jumaat tadi.

22 January 2008

Roda Kehidupan Takkan Sama Putarannya


SAYA selalu ingin berada dalam kedudukan selesa, namun saya tahu dalam hidup dan kehidupan ini kita tak semestinya berada pada satu-satu tahap untuk suatu jangka masa tertentu. Kita tidak akan pernah tahu sampai bila kita berada dalam kedudukan yang ada sekarang, tidak kira sama ada kita berada di puncak, di pertengahan atau di bawah.

Ini hukum kehidupan yang harus kita sedari, yang harus kita lalui - mahu tidak mahu!

Roda kehidupan yang kita lalui sejak kita mengenal dunia hingga kelak kita pergi menemui-Nya akan sentiasa berputar. Namun putaran setiap roda kehidupan milik kita tak pernah sama. Ada yang laju, ada yang perlahan, malah mungkin ada yang terhenti buat suatu waktu yang agak lama.

Memang semua orang ingin berada di puncak. Tetapi kebanyakan orang lupa bahawa jika berada di puncak, andai terjatuh sakitnya tentu bukan kepalang berbanding yang berkedudukan lebih terkebawah. Malah biasanya ketika berada di puncak kebanyakan kita hanya melihat pada paras tertinggi itu sahaja. Ramai yang lupa memandang ke bawah, atau malah ramai juga yang takut memandang ke bawah. Ngeri mengenangkan andai terjatuh barangkali.

Sebenarnya, saya melihat kehidupan saya selama ini kelihatan mendatar. Mungkin paras roda kehidupan saya memang sebegitu ditakdirkan. Pun begitu saya berasa bersyukur kerana saya mampu berada di kalangan kawan-kawan yang berada di puncak, dan sahabat-sahabat yang berada di bawah. Mungkin Maha Pencipta mahu saya sentiasa bersedarhana dalam apa jua keadaan. Syukurlah...

Ada waktu-waktu saya terasa seperti ingin mampu memiliki apa jua yang. Tetapi dalam masa yang sama tiba-iba saya berasa takut. Takut apabila segalanya telah berkecukupan, saya menjadi manusia yang lupa dan lalai dari mana saya datang. Hakikat ini berlaku apabila saya melihat kawan-kawan dan orang-orang yang saya kenali menjadi sebegitu. Saya tahu bagaimana kehidupan mereke sebelum meraih kedudukan tinggi itu. Dan saya melihat perubahan demi perubahan dalam hidup mereka. Malah, saya melihat betapa mereka semakin lupa... lupa asal-usul!

Lalu saya pun berkata, cukuplah apa adanya.

Kemudian, pada waktu-waktu tertentu Maha Pencipta menguji saya dengan meletakkan roda kehidupan saya di bawah dan sepertinya tidak bergerak ke mana-mana. Saya pasrah dan menerima bahawa itu ujian dan dugaan yang DIA berikan untuk melihat saya menjadi semakin kuat. Berapa kuatnya saya untuk menggerakkan roda kehidupan ini agar ia beranjak.

Saya menghela nafas dan berkata, syukur kerana DIA memberi saya kekuatan ini.

Sebenarnya, saya berasa cukup-cukup bertuah kerana walaupun dalam hidup ini saya tak diberikan adik kandung sedarah, namun hidup saya cukup meriah dengan adik-adik yang hadir. Seingatnya, sejak saja bersekolah menengah lagi saya cukup suka melayan anak-anak jiran sebelah rumah yang masih kecil. Makan minum semuanya saya layan sehingga mereka menjadi seperti adik kandung saya. Dan kini, adik-adik saya itu telah dewasa dan punya keluarga sendiri.

Bila saya memasuki alam pekerjaan, karier saya membantu saya mengumpul adik-adik baru sehingga berpuluh-puluh orang jumlahnya. Apabila saya memasuki alam dewasa yang benar-benar dewasa, adik-adik yang dianugerahkan kepada saya kebanyakannya mempunyai sejarah hidup yang menarik bagi saya.

Ada seribu satu kisah dalam kehidupan adik-adik saya yang saya anggap istimewa. Mungkin Tuhan menganugerahkan mereka kepada saya untuk terus menguji saya, untuk terus menjadikan saya kuat. Saya bukan saja melihat kehidupan adik-adik yang senang dan mewah, tetapi saya turut diperlihatkan dengan kehidupan yang cukup menekan. Sehingga ada yang pernah melakukan percubaan bunuh diri. Ada pula yang sampai tahap tak tahu lagi bagaimana nak berfikir tentang kehidupan sendiri - lalu hanya berserah pada keadaan.

Saat saya sendiri tertekan dengan pesekitaran, selain mengingati bahawa semua ini dugaan-Nya, saya banyak mengingati adik-adik saya. Seorang demi seorang hadir dalam benak saya lalu semuanya saya kumpulkan di dalam hati. Walaupun adik-adik tak buat apa-apa bagi saya cukuplah saya tahu bahawa mereka ada dengan saya - saya sayang adik-adik saya, dan sebolehnya tak mahu mereka berada dalam keadaan down sehingga hilang punca. Dan, saya yakin dan percaya adik-adik saya juga kuat.

Ada waktu mungkin saya 'hilang' dari mereka, tetapi saya mahu mereka tahu bahawa saya sentiasa ada, saya sentiasa ada dalam hati mereka kerana saya juge sentiasa meletakkan mereka di hati saya ini.

12 January 2008

Saya Pelajar Yang Tak Pernah Habis-Habis Belajar...


GERBANG 2008 sudah dua minggu berlalu, dan seperti tahun-tahun sebelumnya saya lebih suka menyepikan diri pada awal-awal tahun begini. Mungkin sudah menjadi kebiasaan, otak saya lebih banyak menerawang memikirkan hal-hal yang kadangkala tak ada pastinya. Mungkin pada kebanyakan orang pada sebelaum dan awal-awal tahun begini lebih banyak yang memandang ke hadapan. Merancang apa yang hendak dilakukan. Menanam azam itu dan ini serentak menjelang tahun baru.

Entahlah, yang nyata saya banyak menghabiskan masa menoleh ke belakang. Mengimbau masa-masa yang telah berlalu. Menghitung-hitung apa yang telah saya lakukan sepanjang hidup sehingga hari ini. Banyakkah kebaikan yang telah saya lakukan? Atau lebih banyak hal-hal kesia-siaan yang telah saya perbuat selama ini? Sesungguhnya saya tak mampu untuk menilai apa yang telah saya lakukan sepanjang hidup dan kehidupan yang telah berlalu. Hanya saja saya berharap agar Maha Pencipta memberkati kehidupan saya, merestui usaha-usaha yang pada pandangan saya adalah baik, serta mengampunkan segala kesilapan saya sama ada sengaja atau sebaliknya.

Bila mengimbau dan mengamati kehidupan lalu, saya memang seharusnya bersyukur sebanyak-banyaknya kepada Maha Pencipta. Saya sesungguhnya melalui kehidupan yang mudah dan lancar selama ini, walaupun tidaklah semewah atau sesenang orang yang dikelilingi harta dan kekayaan. Saya juga sentiasa 'bernasib baik' dalam bidang yang saya ceburi walaupun saya bukanlah di antara golongan yang ada kelulusan. Mungkin saya memang bernasib baik dan Tuhan menganugerahkan peluang itu awal untuk saya berbanding kawan-kawan sebaya.

Saya mendahului yang lain-lain bergelumang dengan dunia pekerjaan (mungkin keadaan waktu itu membuat saya 'malas' untuk terus belajar). Ketika kawan-kawan sibuk ngan study dan kuliah, saya sibuk dengan art-work dan dateline. Ketika mereka bersengkang mata sampai dini hari mengulangkaji, saya bersengkang mata mengejar dateline. Dan, ketika saya berasa sudah ada riak-riak kelelahan dalam melayari dunia pekerjaan ini, rakan-rakan saya baru bersorak gembira dengan gulungan-gulungan kelulusan akademik masing-masing.

Saya lari meninggalkan kampung halaman lebih banyak atas desakan persekitaran, kemudian kebetulan saya ada alasan untuk mencari sesuatu yang tak ada di situ. Saya memang tak ramai kawan dan ke mana-mana pun lebih suka bersendirian. Saya tak berapa rapat dengan rakan sekampung dan lebih suka mencari kawan-kawan yang jauh. Malah, kepergian saya meninggalkan kampung tak ramai yang tahu. Atau mungkin kewujudan saya di kampung juga seperti tidak disedari sebelum itu.

Seikhlasnya, ketika mengambil keputusan meninggalkan kampung, destinasi saya memang Kuala Lumpur - tetapi sebenarnya saya kabur! Kabur dengan matlamat, keyakinan yang ada sebab atas desakan keinginan yang kuat. Itu saja modal yang saya ada. Walaupun saya telah meletakkan dua sasaran tempat yang harus saya tuju apabila tiba di Kuala Lumpur, sebenarnya saya main redah saja tanpa sebarang panduan. Sebab itulah saya akhirnya mendapat pengalaman cukup menarik pada subuh bening penghujung Disember tahun 198... - saya berjalan kaki dari Hentian Pudu Raya sehingga ke Jalan Pantai Baharu, yakni destinasi pertama yang saya hendak tujui.

Setiap langkah yang saya hayun sebenarnya hanya mengikut gerak hati semata-mata - itu kali pertama saya jejakkan kaki di bumi Kuala Lumpur. Saya tak tahu berapa ratus atau ribu langkah lagi yang ada di depan untuk sampai ke destinasi. Cuma ketika saya terserempak dengan seorang perempuan dan bertanyakan arah Jalan Pantai Baharu, perempuan itu berkata, "Adik naik bas mini la..." Dengan sendiri saya tahu bahawa saya harus melangkah jauh lagi.

Itu antara pelajaran awal di universiti kehidupan saya dan saya amat-amat bersyukur berjaya melaluinya. Malah, saya cukup bangga kerana bukan semua orang beroleh pengalaman seperti itu.

Ketika meneruskan kuliah di universiti kehidupan ini, saya menjadi antara 'pelajar termuda'. Kehidupan saya di kelilingi senior sekaligus menjadikan saya berfikir selari dengan mereka. Benarlah kata orang bahawa persekitaran banyak mempengaruhi kehidupan kita. Mujurlah 'penapis' saya cukup kuat menapis dan memisahkan antara yang perlu dengan yang tidak untuk diri saya.

Saya pernah terbaca satu ungkapan dalam sebuah buku; 'Pelajaran itu ada dalam dua bentuk, yakni yang baik dan yang tidak baik. Kita boleh memilih untuk mempelajari yang baik sahaja dan membiarkan yang tidak baik. Kita juga boleh mempelajari kedua-duanya, menggunakan yang baik itu sebagai panduan dan menjadikan yang tidak itu sebagai peringatan.'

Saya hanya ingin bersyukur dengan kehidupan saya. Berterima kasih kepada universiti kehidupan yang mengajarkan saya tengang hidup dan kehidupan - yang banyak mendedahkan saya kepada praktikalnya berbanding hanya teori. Namun sebenarnya tetap ada rasa terkilan kerana saya gagal untuk memenuhi tuntutan akademik yang mencukupi untuk bekalan, atau sekurang-kurangnya menambahkan ilmu saya yang masih kurang. Biarpun saya tahu bahawa proses menuntut ilmu itu akan berterusan sehinggalah kita menutup mata kelak, namun ada waktu-waktu kemampuan kita terbatas. Ada waktunya kita bagai 'terhenti' di satu titik walaupun itu bukan titik kematian.

Saya sentiasa berharap saya akan terus mampu menjadi mahasiswa di universiti kehidupan ini, di mana di sini saya tak pernah pun mengharapkan untuk memperolehi segulung ijazah. Saya cuma berharap mendapat keredhaan-Nya, mendapat mendapat keberkatan-Nya dan mendapat keampunan-Nya atas 'kenakalan' saya dalam setiap 'sesi kuliah'.

01 January 2008

...Dan, Ketika Mentari Berlabuh Aku Berharap Dapat Merasai Hangatnya Lagi...


HANYA ada satu perkataan yang paling layak saya ucapkan bila berlabuhnya tirai 2007 selepas azan maghrib semalam - syukur alhamdulillah; saya sudah lalui jua hari-hari sepanjang 2007 sehingga ke penghujungnya.

Dan, ketika subuh membangkitkan seluruh umat serta mentari 2008 bersinar terang pagi ini - sekali lagi saya mengucap syukur alhamdulillah kerana saya Maha Pencipta masih memberi peluang untuk saya menjalani hari-hari 2008 ini. Namun, entah berapa hari yang diberikan-Nya untuk saya pada 2008 ini saya tak akan tahu. Mudah-mudahan saya mampu menmanfaatkan usia berbaki ini dengan sebaiknya.

Sesungguhnya saya juga menantikan ambang 1429 yang bakal menjelma. Namun, saya bukanlah menanti satusatu masa untuk 'melakukan' sesuatu. Bagi saya setap masa ada nilai dan harganya. Jikalau saya berasa waktu dan ketika yang datang itu sesuai maka insya-Allah, saya akan lakukan apa yang terbaik.

Sejak awal 2007 lalu, saya seperti merasakan bahawa tahun itu seperti akan menghadirkan cabaran lebih rumit. Bukanlah bermakna sebelum-sebelum ini tak ada cabaran. Mungkin naluri saya berasa 2007 ada kelainannya. Entahlah, mungkin hanya perasaan saja saja. Hal ini selalu juga saya bicarakan dengan adik-adik.

Memang dalam penelitian dan setelah melalui 2007 ternyata dugaan yang datang menimbulkan rasa lain macam berbanding sebelumnya. Tambahan saya sendiri berasa cukup tertekan dengan pelbagai hal sejak awalnya. Hal-hal berkaitan kerja, juga hal-hal peribadi. Walaupun sebelum ini bukan tak pernah saya lalui hal-hal yang serupa itu, namun impaknya untuk 2007 sebenarnya boleh membuat saya terduduk, tertiarap... atau, malah mungkin seperti tak berdaya lagi!

Sesunguhnya, saya melangkahi hari-hari 2007 hanya dengan sisa-sisa tenaga simpanan dan kerana kekuatan anugerah-Nya. Setiap detik saya mengharapkan akan datang suatu hari dalam 2007 itu yang menjadi pintu untuk saya keluar dari kemelut. Namun, hakikat dan kehendak-Nya mungkin tak begitu. DIA mahu terus memberi saya anugerah demi anugerah dalam bentuk dugaan. Syukur dalam waktu-waktu saya berasa cukup-cukup berada 'di bawah' paras normal itu, saya masih ingat pada-Nya.

Ketika seluruh warga bumi merdeka ini bersiap menyambut ulangtahun ke-50 kemerdekaan, saya telah 'dimerdekakan' dari pekerjaan. Syukur, dengan kehilangan pekerjaan saya lebih banyak melihat 'siapa' diri saya. Sesungguhnya saya tak ada apa-apa dan sesiapa. Mungkin DIA mahu membukakan mata hati saya lebih luas, mahu menunjukkan kepada saya bahawa apalah sangat yang saya dapat apabila bergantung hanya kepada sesama manusia.

Saya bukanlah sekuat mana - hakikat bahawa saya seorang hamba yang serba kekurangan itu siapakah yang boleh menafikannya? Memang kalau diibaratkan saya ini seperti jatuh terhumban ke dasar jurang paling dalam. Tapi di jurang paling dalam itulah saya dapat melihat siapa diri saya. Diri saya yang kekurangan, diri saya yang hina, diri saya penuh dengan dosa dan 1001 kekurangan lainnya.

Saya tak pernah mengharap sesiapa pun faham dan cuba memahami. Kerana apa yang saya lalui sudah tentunya bukan harus dirasa oleh orang lain. Tuhan mahu memberikan anugerah itu untuk saya dan sayalah yang harus merasainya.

Ada waktu tertentu dan untuk suatu waktu tertentu juga, saya harus hilang. Mungkin ada saja yang mahu bertanya ke mana hilangnya saya, dan apa perlunya saya hilang? Memang hak saya untuk tidak memberi apa-apa alasan, tetapi sebenarnya apabila saya hilang saya kembali ke dalam jurang di mana saya pernah terhumban dahulu. Tapi kali ini saya bukan terhumban, melainkan saya yang turun ke situ untuk mencari kekuatan-kekuatan baru.

Maafkan saya, andai ada hal yang saya lakukan membuat sesiapa saja terasa, terutama kepada adik-adik yang sentiasa ada di sekeliling saya. Cuma sebelum menutup mata saya mahu mereka tahu bahawa saya tak pernah 'meninggalkan' mereka, dan saya tak pernah pun mahu berbuat begitu.

Sepanjang memulakan karier sejak lebih 20 tahun lalu, kehadiran adik-adiklah yang membuat saya berasa begitu bermakna. Memang ada waktu saya terus berfikir tepatkah saya memilih jalan ini dahulu? Untuk kembali pada keadaan normal, saya lebih suka mengenang adik-adik yang datang memeriahkan karier saya. Adik-adik yang dianugerahkan kepada saya melalui karier saya ini - alhamdulillah.

Entah di mana mereka sekarang? Setiap kali musim berganti adik-adik saya pergi meneruskan kehidupan baru masing-masing; mudah-mudahan mereka bahagia. Untuk Adik GIE yang dah pergi buat selama-lamanya moga sentiasa dicucuri rahmat; al-Fatihah. Saya mengenali arwah ketika baru memulakan karier, tak sempat bertemu mata dengannya... dan paling syahdu setelah setahun dia pergi barulah saya tahu akan hal itu. Hanya sepucuk surat untuk saya sebelum kepergiannya - bertulis dengan dakwat merah di atas kertas kuning.

Antara kandungannya yang masih saya ingat...

Abang, hari ini hari lahir Gie. Mama dengan papa nak buat majlis hari jadi, tapi Gie rasa lebih baik buat doa selamat. Mungkin Gie tak akan dapat jumpa abang sampai bila-bila sebab rasanya ini adalah hari lahir Gie yang terakhir...

Maaf, Gia guna pen dakwat merah, Gie guna pen papa...


Setahun surat itu terperap dalam simpanan keluarganya kerana di atas sampul surat putih itu Gie hanya menulis nama RODIN tanpa alamat. Kebetulan pula salah seorang lagi adik saya mengenali Gie dan ketika berkunjung ke rumah keluarga arwah, keluarga arwah menunjukkan surat itu. Dan... setelah setahun itulah baru saya tahu bahawa adik saya dah tak ada lagi. Walaupun sebelum ini saya cuba mencarinya, tetapi disebabkan waktu itu saya hanya mengenalinya lebih kurang enam bulan. Tak tahu alamatnya, tak tahu nombor telefonnya - sebab saya memang jarang meminta semua itu kecuali diberikan kepada saya.

Gie menghidap lukemia. Meninggal selepas enam bulan mendaftar belajar kat UiTM. Merupakan anak tunggal ibu bapanya...

Apabila masa terus berganti, saya terus bersyukur kerana sentiasa dianugerahi dengan adik-adik. Dan ketika terhumban ke dalam jurang paling dalam itu saya memang banyak merindui adik-adik saya, tetapi sebenarnya saya terpaksa cuba lari kerana saya tak suka orang lain melihat saya 'tidak normal'. Saya tahu adik-adik saya tak pernah berkira apa pun. Tapi memang ada waktu saya suka 'mendera' mereka. Saya mahu menimbulkan suasana bahawa saya ini manusia biasa.

Tiga bulan terakhir 2007 bolehlah dikatakan menjadi kemuncak tekanan yang saya alami. Apapun Ramadan dan Syawal mampu menyejukkan kemelut yang bersarang walau ada waktu semakin rasa tertekan. Saya menyibukkan diri dengan entah apa-apa, maklumlah tak ada kerja tetap macam dulu lagi. Tapi banyak hal yang dilakukan tak menjadi, mungkin sebab saya tak memberi sepenuh tumpuan.

Maka... segalanya pun berlabuh tatkala mentari beradu; saya simpan segalanya menjadi kenangan. Ketika mentari bangkit saya cuba lepangkan dada dan dengan pasrah menerima kedatangan anugerah-anugerah-Nya pada sisa-sisa yang tinggal ini.

Untuk semua yang sentiasa ada di keliling saya, terutama keluarga dan adik-adik saya... terima kasih kerana telah turut mewarnai kehidupan saya, terima kasih kerana sentiasa memberi kekuatan. Sesungguhnya saya sentiasa ada di sini...
Blog Widget by LinkWithin