16 February 2007

Lilin Harapan

Ada empat batang lilin sedang menyala, dan sedikit demi sedikit habis meleleh. Suasana begitu sunyi, sehingga terdengarlah percakapan di antara mereka.

Lilin yang pertama berkata, “AKU ADALAH DAMAI, namun manusia tak pernah mampu menjagaku. Maka lebih baik aku mematikan diriku saja!” Maka sedikit demi sedikit lilin itu padam.

Lilin yang kedua berkata, “AKU ADALAH IMAN, sayangnya aku tak berguna lagi. Manusia tak mahu mengenalku, untuk itulah tak ada gunanya lagi aku untuk tetap menyala.” Selesai berbicara, tiupan angin memadamkannya.

Dengan rasa sedih, giliran lilin ke tiga pula berkata, “AKU ADALAH CINTA, tak mampu lagi manusia untuk tetap menyala dengan cinta. Manusia tidak lagi memandang dan menganggapku berguna, mereka saling membenci, bahkan mereka membenci yang mencintainya, membenci keluarganya!” Tanpa menunggu waktu yang lama, maka matilah lilin ke tiga.

Tanpa terduga… seorang kanak-kanak masuk ke dalam kamar, dan melihat ketiga-tiga lilin itu telah padam. Kerana takut akan kegelapan, maka dia berkata, “Ehh, apa yang terjadi? Kamu semua harus tetap terus menyala, aku takut kegelapan!”

Lalu dia menangis tersedu-sedu.

Dengan terharu lilin ke empat pun berkata, “Jangan takut, jangan menangis. Selagi aku masih ada dan tetap menyala, kita akan tetap dapat menyalakan ketiga-tiga lilin itu lagi, AKULAH HARAPAN!”

Dengan mata bersinar, kanak-kanak tadi mengambil lilin HARAPAN, lalu menyalakan ke tiga lilin lainnya yang telah padam.

Apa yang tidak pernah mati hanyalah HARAPAN yang ada pada diri kita dan setiap daripada kita semoga dapat menjadi seperti kanak-kanak tersebut. Yang dalam situasi apa pun mampu menghidupkan kembali IMAN, DAMAI, CINTA dengan HARAPANNYA!

15 February 2007

Kucari Damai di Hati

Kegembiraan akan hadir dan melenyapkan pelbagai kegundahan dan kerungsingan apabila kita berusaha menyingkirkan penyebab kegundahan itu dan meraih pelbagai cara yang dapat membuahkan kegembiraan. Melupakan cubaan-cubaan yang telah lampau yang tidak mungkin diulang kembali, dan menyedari bahawa kekalutan hati dan memikirkan hal itu adalah suatu tindakan sia-sia.

Jadi kita harus tidak memikirkan cubaan masa lalu itu. Juga meyakinkan hatinya agar tidak gelisah menghadapi masa yang akan datang, yang dibayangkan dengan bayang-bayang masa depan buruk yang lain. Hendaknya kita mengetahui, bahawa segala peristiwa di masa mendatang, sama ada yang baik atau keburukan, gembira atau derita, adalah tidak dapat diketahui, dan bahwasanya itu semua di tangan Maha Pencipta. Di tangan kita sekalian hamba ini tiada lain adalah usaha untuk mendapat kebaikan dan menghindar keburukan di masa mendatang itu.

Hendaknya kita hamba ini mengetahui, jika kita memalingkan fikirannya dari bayang-bayang kegelisahan masa depan dan bertawakal kepada-Nya untuk menghadapinya serta percaya penuh kepada Maha Pencipta saat melakukan semua itu, nescaya hati kita akan tenteram.

14 February 2007

Kita Adalah Pengembara

Kita hidup di dunia ini seperti behenti sejenak untuk minum seteguk dua teguk air. Kita adalah seorang pengembara yang menempuh perjalanan jauh, menempuh takdir dan ketentuan masing-masing. Seperti lazimnya pengembara, dalam perjalanannya mereka membawa bekal. Ada yang sekadar untuk cukup makan dan minum. Namun tak kurang banyak pengembara mensia-siakan pengembaraannya dan tak tahuapa yang sesungguhnya dia cari.

Apa yang pengembara cari di dunia ini? Ada yang mencari impian masa kecilnya. Bayangan keindahan tempat lain. Atau, sekedar pencarian diri sendiri.

Al Ghazali pernah berkata, untuk menjadi seorang pemimpin yang tangguh setidaknya pernah mengembara. Dengan pengembaraan itulah, diri kita dilatih menjadi mandiri, menjadi kuat, menjadi tabah dengan kehidupan yang keras, dan paling penting melatih hati agar lebih faham pelbagai masalah hidup dari pengalaman yang ditemui selama pengembaraan.

Maka tak hairan, dalam sejarah kenabian, banyak nabi menjadi penggembala yang mengembara mencari rumput-rumput hijau, yang bertemu dengan pelbagai bangsa di ceruk bumi yang lain. Bahkan, Nabi Muhammad SAW di masa kecil Baginda pernah mengembara bersama datuk. Di masa sebelum kenabian pun, Baginda adalah seorang pengembara, yang berdagang dan berkenalan dengan pelbagai suku di tempat lain. Dan peristiwa Isra' Mi'raj pun hakikatnya adalah pengembaraan yang hakiki.

Bagaimana dengan kita? Tentu bukan hanya pengembaraan secara fizikal saja yang dapat kita mengerti. Lebih penting adalah pengembaraan hati, agar sentiasa hijrah, hati yang selalu berevolusi, hati yang selalu mengevaluasi dirinya sendiri. Tak hairan, pengembaraan adalah proses penempaan hati. Begitu pula pengembaraan dalam hidup ini. Maka, untuk menjadi manusia bijak, kita harus fokus pada hakikat pengembaraan kita. Dan jangan lalu memusatkan diri kepada pencarian di tempat singgah sementara, di dunia. Padahal tugas kita di dunia hanyalah mencari minum dan mendapatkan bekal sekadarnya agar dapat meneruskan pengembaraan selanjutnya. Maka sungguh sesat orang yang sangat mencintai tempat hidupnya, sebab sungguh diyakini dia akan susah melanjutkan pengembaraannya.

"Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia; dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga)." (QS. Al-Imraan 3:14)

05 February 2007

Hitam Putih Kehidupan

Seorang anak bertanya kepada ayahnya mengapa dulu dia mudah sekali tersinggung, mudah marah, tidak tenang, dan selalu berprasangka buruk terhadap orang lain. Dia ingin tahu cara mengubah perangainya...

Ayahnya berkata, "Dalam diri manusia ada dua 'penjaga'. Penjaga Putih dan Penjaga Hitam. Penjaga Hitam selalu berfikiran negatif, mudah marah dan selalu punya prasangka buruk. Manakala Penjaga Putih selalu berfikiran positif, baik hati, dan suka hidup damai. Setiap hari kedua penjaga ini sering berkelahi dalam hati manusia."

"Lalu siapakah yang menang?" tanya si anak.

"Yang menang adalah yang setiap hari kau beri makan," kata ayah. "Contohnya, ketika peperiksaan tiba, Penjaga Putih akan menyuruh kamu belajar dengan tekun tetapi sebaliknya Penjaga Hitam akan menyuruh kamu untuk meniru teman si sebelah kamu," tambah ayahnya.

Anak tersebut mengangguk-angguk mendengarkan nasihat ayahnya.


DIRI kita adalah apa yang kita fikirkan. Kita akan menjadi seperti apa yang kita fikirkan tentang diri kita. Mengapa fikiran itu begitu besar pengaruhnya? Ternyata fikiran-fikiran yang kita masukkan dalam diri kita akan mempengaruhi perilaku kita sehari-hari, perilaku akan membentuk sifat, sifat akan membentuk kebiasaan dan kebiasaanlah yang akan menentukan nasib kita.

Memang nasib manusia berada dan ditentukan oleh Allah SWT, tetapi manusia juga mempunyai pilihan untuk menentukan nasibnya sebelum hal itu terjadi. Allah SWT tidak akan mengubah nasib hamba-Nya kalau manusia itu sendiri tidak mahu mengubahnya.

Maka, mulai saat ini masukkanlah fikiran-fikiran positif yang bermanfaat dalam diri kita, buanglah jauh-jauh rasa iri hati, dendam, benci dan fikiran negatif lainnya yang akan merugikan kita. Janganlah kita memberi makan kepada 'Penjaga Hitam' yang ada dalam diri kita.
Blog Widget by LinkWithin