14 February 2007

Kita Adalah Pengembara

Kita hidup di dunia ini seperti behenti sejenak untuk minum seteguk dua teguk air. Kita adalah seorang pengembara yang menempuh perjalanan jauh, menempuh takdir dan ketentuan masing-masing. Seperti lazimnya pengembara, dalam perjalanannya mereka membawa bekal. Ada yang sekadar untuk cukup makan dan minum. Namun tak kurang banyak pengembara mensia-siakan pengembaraannya dan tak tahuapa yang sesungguhnya dia cari.

Apa yang pengembara cari di dunia ini? Ada yang mencari impian masa kecilnya. Bayangan keindahan tempat lain. Atau, sekedar pencarian diri sendiri.

Al Ghazali pernah berkata, untuk menjadi seorang pemimpin yang tangguh setidaknya pernah mengembara. Dengan pengembaraan itulah, diri kita dilatih menjadi mandiri, menjadi kuat, menjadi tabah dengan kehidupan yang keras, dan paling penting melatih hati agar lebih faham pelbagai masalah hidup dari pengalaman yang ditemui selama pengembaraan.

Maka tak hairan, dalam sejarah kenabian, banyak nabi menjadi penggembala yang mengembara mencari rumput-rumput hijau, yang bertemu dengan pelbagai bangsa di ceruk bumi yang lain. Bahkan, Nabi Muhammad SAW di masa kecil Baginda pernah mengembara bersama datuk. Di masa sebelum kenabian pun, Baginda adalah seorang pengembara, yang berdagang dan berkenalan dengan pelbagai suku di tempat lain. Dan peristiwa Isra' Mi'raj pun hakikatnya adalah pengembaraan yang hakiki.

Bagaimana dengan kita? Tentu bukan hanya pengembaraan secara fizikal saja yang dapat kita mengerti. Lebih penting adalah pengembaraan hati, agar sentiasa hijrah, hati yang selalu berevolusi, hati yang selalu mengevaluasi dirinya sendiri. Tak hairan, pengembaraan adalah proses penempaan hati. Begitu pula pengembaraan dalam hidup ini. Maka, untuk menjadi manusia bijak, kita harus fokus pada hakikat pengembaraan kita. Dan jangan lalu memusatkan diri kepada pencarian di tempat singgah sementara, di dunia. Padahal tugas kita di dunia hanyalah mencari minum dan mendapatkan bekal sekadarnya agar dapat meneruskan pengembaraan selanjutnya. Maka sungguh sesat orang yang sangat mencintai tempat hidupnya, sebab sungguh diyakini dia akan susah melanjutkan pengembaraannya.

"Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia; dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga)." (QS. Al-Imraan 3:14)

0 comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin