09 November 2007

Tempias

Beberapa hari kebelakangan ni, hujan sering menimpa bumi, terutama waktu-waktu petang membawa ke malam dan berlarutan hingga ke dinihari. Sejuk dan dingin, setelah siangnya begitu terik. Syukur atas rahmat-Nya.

Beberapa hari lalu abang yang dok kat kampung SMS - hujan dan banjir! Hujan itu rahmat, banjir itu dugaan.

Tiba-tiba teringat zaman kanak-kanak, terutama waktu-waktu mandi hujan. Yang pertama mandi kerana kehujanan kerana tak ada tempat nak berteduh. Kedua, sengaja mandi hujan sebab memang dah tak ada benda nak buat.

Alangkah segarnya ketika duduk di tingkap dan muka disapa tempias. Bagai mencuci segala kekusutan yang bersarang.

Sering mendengar ungkapan hidup mesti terus. Ya, hidup mesti diteruskan kerana Yang Maha Berkuasa belum mematikan kita lagi. DIA masih mahu kita menyedut udara di alam fana ini. DIA masih mahu kita menikmati anugerah-anugerah-Nya yang tak terhitung dengan sejumlah angka. DIA juga masih mahu kita menghadapi segala dugaan penyeri kehidupan yang dihidangkan.

Menghadapi segalanya dengan kesyukuran atau keluhan? Jawapannya terpulang masing-masing kerana tiap orang berbeza. Namun, dalam berbeza itu setiap daripada kita merangkul nikmat dari sumber yang sama - nikmat kurniaan-Nya.

Setiap daripada kita mungkin terjebak dalam dosa-dosa yang sentiasa mahu memerangkap. Setiap daripada kita mungkin tak mampu keluar dari penjara dosa walau telah cuba melarikan diri. Takdir kitakah itu atau Maha Pencipta mahu terus menduga? Moga-moga ada cahaya hidayah yang terbit dan menyuluh jalan untuk kita keluar dari kegelapan.

Tiap di antara kita dihidangkan dengan menu dugaan yang berbeza oleh Maha Pencipta - itu semua kita tahu! DIA Maha Tahu apa yang kita tak tahu, termasuk kemampuan kita sebagai hamba-Nya. Ini diri kita, jasad kita - namun, sejauh dan sedalam mana kita mengenali diri sendiri?

Memang, ada waktu-waktu kita bagai protes, mengatakan mengapa kita diberi dugaan seberat ini, mengapa kita diuji dengan ujian begitu dahsyat? Kita mungkin ada sejuta satu persoalan kenapa begitu kenapa begini - persoalan-persoalan yang seolah-olah menyalahkan-Nya kerana memberi 'nikmat dugaan' kepada kita. Jawapan kepada sejuta satu persoalan itu ada SATU - kerana DIA mahu kita tahu siapa diri kita! Siapa kita terhadap diri kita sendiri dan siapa kita terhadap DIA.

Kita yang sering sesat di jalan yang terang;
- dan, hanya tergerak mencari CAHAYA bila sudah kegelapan!
Kita yang sering menyambut nikmat dengan rasa 'masih tak cukup';
- dan, hanya berasa cukup setalah nikmat-nikmat itu luput!
Kita yang sering menerima dugaan dengan keluhan;
- dan, hanya mengucap kesyukuran apabila sedar kesenangan bukanlah kebahagiaan!

0 comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin