29 November 2007

Hikmah Untuk Kita


SUDAH tiga bulan berlalu - 26hb OGOS, saya diberitahu bahawa esok (27hb OGOS) ada pertemuan dengan bos besar. Semalman, yang datang dalam fikiran saya adalah hal yang pernah dibincangkan setahun sebelumnya.

Memang benar apa yang saya fikirkan! Maka, bersempena dengan ulangtahun ke-50 negara kita merdeka, saya dan seluruh team BS turut 'DIMERDEKAKAN'. Dibebaskan dari penjara alis sangkar emas.

Sudah tiga bulan juga saya menjadi 'penganggur'. Walaupun ada kerja, yakni mencari kerja adalah kerja saya - namun, bukanlah mudah seperti yang disangka. Banyak faktor yang mungkin hanya orang yang mengalaminya saja yang akan benar-benar faham hakikat ini.

Bermula dengan menghadapi Ramadan sebagai pengangur. Kemudian berhari raya juga sebagai penganggur. Mujurlah umur sudah boleh dikatakan banyak, jadi tak berapa dihiraukan tentang persediaan 'beria-ia' menyambut raya yang lalu.

Sambil-sambil menghabiskan masa mencari apa kerja yang boleh saya buat, saya buat macam-macam eksperimen termasuk hal-hal yang tak pernah saya lakukan sebelum ini. Alhamdulillah, walaupun bukan mendatangkan hasil buat masa ini, saya yakin ia boleh menjadi penyumbang kepada salah satu sumber pendapatan saya.

Siapa yang tak sedih melihat keadaan diri begini - tipu kalau tak ada perasaan begitu. Tak apalah, nasib masing-masing antara kita tak sama. Ada hikmah walaupun mungkin kita belum nampak apa-apa lagi. Cuba, semenjak jadi penganggur 'anak dara' saya cukup suka sebab katanya ayah ada banyak masa melayan kerenah dia. Hujung-hujung sebelum cuti semester akhir persekolahan 2007, saya hantar dan jemput dia pulang dari sekolah. Itu antara yang dia suka sangat-sangat. Dan... mungkin itu juga salah satu hikmah saya jadi penganggur - masa yang terlalu kurang dengannya dapat saya tebus kembali.

Seperkara lagi, saya berpeluang cuba memasak resipi-resipi keluarga yang ayah dan arwah mak saya pernah ajarkan. Ada kala seawal jam 10 pagi saya dah berdiri di dapur. Hikmahnya, barulah saya tahu sampai suatu masa kalau dah hari-hari duduk dapur kita memang kematian idea nak masak apa lagi.

Beberapa hari lalu, sebelum menghadiri perjumpaan Komik Malaysia PTS, saya sempat SMS kawan-kawan yang mungkin berminat. Sambil-sambil itu, bertanya khabar dan perkembangan masing-masing. Walaupun mereka bukan menjadi tangungjawab saya sebagai Ketua Jabatan mereka lagi, tapi hubungan harus diteruskan sebagai kawan dan manusia.

Ketika dalam perjalanan ke Wangsa Melawati, saya mendapat satu SMS... [aku dah kene halau dengan bini!] Saya hanya mampu mengucap panjang dengan nasib kawan ini. Mungkin layak disebut, sudah jatuh ditimpa tangga! Tak pasti adakah dia dihalau dek bini itu kerana kegagalannya mendapat kerja atau sumber pendapatan. Mungkin ada hal lain dan itu hanya salah satu sebab.

Apa yang dapat saya fikirkan - nasib setiap di antara kita berbeza. Dan, setiap di antara kita yang pastinya akan merasai saat-saat yang cukup menekan setidak-tidaknya sekali dalam seumur hidup ini.

Moga Tuhan Yang Maha Pemurah sentiasa memberi ketenangan kepada kita. Sesungguhnya dengan ketenangan jiwa, kita lebih rasional melayan fikiran. Bila kita rasional, banyaklah hal-hal positif yang mampu kita fikirkan, insya-Allah.

2 comments:

  1. ermmm....mmg byk hikmahnye entri nih...buat nana kembali rasional...bkn ikut telunjuk hati dan rase lg...tq

    ReplyDelete
  2. mudah2an begitulah sentiasa.

    ReplyDelete

Blog Widget by LinkWithin