03 December 2007

Setiap Kita Ada 'Kekuatan'


KITA dah berada di bulan terakhir 2007 - DISEMBER! Sama ada ini merupakan satu kebetulan atau memang takdir keadaan, saya mengamati bahawa 2007 memang tahun mencabar. Bukan saja berdasarkan kepada apa yang telah saya alami, malah situasi persekitaran juga seperti menggambarkan begitu.

Sebenarnya, apa jua keadaan dan situasi sekali pun kita tidak boleh tidak dari menghadapinya. Mampukah kita lari dari berdepan dengan hakikat dan realiti yang memang telah tertulis ke atas diri kita? Andai lari, berapa lamakah kita mampu menghindar dari situasi yang tak mahu kita hadapi itu?

Bercakap saja tentu mudah, tak semudah memikul dan menghadapinya, bukan? Namun kita harus bercakap dan mendengar apa yang orang lain cakapkan kerana kita hidup dalam satu rumpun, dalam satu komuniti, dalam satu lingkungan. Mungkin kita berfikir orang lain sekadar mahu sibuk-sibuk ambil tahu. Mungkin begitu, tapi kita tak tahu mungki ada yang benar-benar prihatin.

Setiap orang tak sama kemampuan menghadapi sesuatu situasi. Saya pernah gagal berkali-kali dan rasanya sehingga sekarang taklah berjaya mana pun. Mungkin itu sudah takdir saya dan saya tak pernah berhenti untuk mencuba. Cuma, memang diakui adakala saya berasa cukup penat. Mungkin pendekatan terbaik yang saya perolehi, 'berehat' dari apa yang saya cuba lakukan selama ini dan mencuba sesuatu yang baru. Tak apalah kalau kelihatannya seperti membuang masa, asalkan saya tak terus rasa tertekan.

Sebagaimana cacatan sebelum ini, saya bersyukur kerana mempunyai lebih banyak masa bersama anak dara saya berbanding sebelum saya menjadi penganggur. Kalau dulu saya pernah kehilangan saat-saat membesarnya anak dara saya, kini saya tak mahu kehilangan detik-detik seperti itu lagi.

Memang kadang-kadang cukup menaikkan tekanan darah saya untuk melayani kerenah anak dara saya itu. Suara saya juga kadang-kadang jadi seperti halilintar, hehehe. Tetapi, selepas itu saya peluk anak dara saya ketat-ketat. (Tiba-tiba saya terfikir kalau ambil upah jaga 'baby' pun bagus jugak ya...)Saya memang tak boleh marah lama-lama walaupun ada orang berkata bahawa saya ini jenis manusia 'penyimpan'. Manusia jenis 'penyimpan' memang makan masa lama untuk melupakan sesuatu. Memang saya suka 'menyimpan' dan 'melayan' sesuatu itu. Bagi saya, tak guna saya cuba lupakan sedangkan hati tak mahu begitu. Saya layankan apa saja perasaan sehingga suatu masa saya kembali 'aman'.

Beberapa hari lalu saya beroleh ungkapan ini - "menangis boleh saja... asalkan jangan kita sesali dan ratapi sesuatu takdir yang berlaku terhadap diri kita."

Tujuh tahun lalu, ketika menerima panggilan menyuruh saya pulang kerana emak sakit, saya sungguh-sungguh tak menyangka rupa-rupanya 'emak sakit' itu bermaksud bahawa 'emak sudah tiada'. Mungkin ketika itu ayah saya terlalu sebak, sehingga berpesan kepada adik jiran sebelah rumah yang diarahkan menelefon saya untuk berkata begitu.

Sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan yang saya lalui, apa yang banyak saya terfikirkan adalah 'mungkinkah emak dah tak ada' berbanding 'emak sakit apa sebenarnya'. Tiga hari sebelum menerima khabar itu saya bersembang panjang dengan emak di telefon.

Ketika masuk simpang ke rumah di kampung, hati saya mengesahkan bahawa emak memang benar-benar dah tak ada apabila melihat ramai orang di halaman rumah. Saya tak berkelip menatap jenazah emak, wajah emak lembut dan senyum tetapi kaku! Saya keluar dari bilik di mana jenazah emak dibaringkan. Jiran-jiran, emak saudara dan nenek teresak-esak menangis sedangkan ketika itu hati saya menjadi keras untuk mengalirkan air mata - air mata saya beku mungkin kerana naluri saya telah awal-awal bersedia menghadapi kematian itu.

Hanya pada malamnya, ketika kakak saya yang tinggal di Perak tiba dan dia menangis teresak-esak di sebelah saya ketika menghadap jenazah emak. Ketika itulah air mata saya cair - saya menangis melihat kakak menangis! Saya redha dengan pemergian emak, tapi saya sedih melihat kakak yang terlalu sedih.

Mungkin orang melihat saya seperti tak ada perasaan kerana 'selamba' menghadapi kehilangan emak. Tapi, sebenar-benarnya setiap masa saya sentiasa merasakan bahawa emak saya masih ada, sentiasa 'hidup' dalam diri saya - jadi untuk apa saya terlalu bersedih. Saya hanya kehilangan jasad emak, saya dah tak dapat memeluk emak, tapi bukan kehilangan emak.

Kepada beberapa orang adik pernah saya katakan bahawa saya cukup bertuah kerana pernah mempunyai emak yang tak pernah marah. Memang emak saya tak pernah marah atau merungut. Emak saya yang buta huruf dan tak pandai menulis juga tak pernah putus asa untuk mencuba; di mana akhirnya emak pandai juga menulis namanya sendiri. Emak pandai melukis untuk dibuat sulaman. Cuma, ada satu perkara yang saya dan kakak ajarkan kepada emak tapi emak tak boleh juga nak buat - anyam ketupat! Emak kidal, saya dan kakak mengajar emak menganyam ketupat kanan... jadi memang emak tak faham-faham juga.

Emak memang penyabar berbanding ayah yang agak 'panas'. Itulah keseimbangan, bukan? Suatu ketika abang saya yang menghadapi masalah terjebak dengan dadah, emak cukup sabar melayani abang. Emak biarkan dan buat pekak telinga dengan apa orang kata tentang anaknya. Dan, abang saya pernah berkata bahawa hanya emak saja manusia yang dia paling percaya untuk cerita apa saja masalahnya sehingga dia terjebak begitu. Hanya emak yang mahu mendengar...

Itulah sebahagian cerita emak saya yang dapat saya kongsi bersama, tentang dia yang tak pernah putus asa, yang sentiasa mencuba.

Kita manusia tak boleh lari dari sikap mengaku kalah apabila berasa sudah cukup mencuba, dah puas mencuba, tak guna mencuba lagi, berasa sia-sia dan yang seumpamanya. Saya sendiri begitu, tetapi cepat-cepatlah mencari motivasi, mencari kekuatan sebagai sokongan supaya tak terus 'down'. Bersyukur dengan apa yang ada, melihat bahawa ada orang lain yang lebih sukar hidupnya berbanding kita, kenapa orang lain boleh sedangkan kita tidak.

"Kita mungkin akan terus diberi dugaan sepanjang hayat, kerana Tuhan mahu kita menjadi terus kuat dan menikmati segala imbuhan atas kesabaran itu di sana kelak. Bukankah Dia Maha Adil terhadap hamba-hamba-Nya."

2 comments:

  1. salam uncle.
    moga ketabahan tu masih lagi dikurniakan kepada kita yer? :)

    ReplyDelete
  2. salam hajar...
    insya-Allah, mudah2an begitu hendaknya.

    ReplyDelete

Blog Widget by LinkWithin