21 December 2007

Hari Ini; Lapan Tahun Lalu [Satu Kehilangan]


SALAM AIDILADHA...
Hari ini, 11 Zulhijjah; lapan tahun lalu, saya bersembang-sembang dengan emak di talian. Bertanyakan suasana Aidiladha di kampung sebab keadaan tak mengizinkan saya pulang. Walaupun emak tak meluahkan perasaannya, tapi saya boleh menghidu rasa sunyi sebab kecuali abang sayang yang nombor tiga yang berada di rumah, abang sulung dan kakak juga tak pulang beraya seperti saya.

Di hujung perbualan, mak berpesan, "Kirim salam pada semua... mana tahu lepas-lepas ni dah tak jumpa lagi."

Saya menganggap itu pesanan biasa. Macam seperti sebelum-sebelum ini ketika perbualan dengan mak sampai ke penghujungnya. Sebelum itu juga buat entah yang ke berapa kalinya emak bertanya nama anak saya - QISTINA KHAYRIN. Beberapa kali emak menyebut nama itu dengan agak payah. Biasalah lidah orang tua menyebut nama-nama yang 'pelik' begitu.

Esoknya, 12 Zulhijjah, lapan tahun lalu, saya keluar membeli barang-barang keperluan dapur. Kebetulan masih cuti lagi. Kira-kira jam 11 pagi saya pulang ke rumah. Penat, letih, mamai... selepas angkat barang-barang yang dibeli, saya terlentang di lantai ruang tamu - merenung siling. Tiba-tiba saya rasa dunia saya benar-benar sunyi - telinga saya rasa berdengung sebentar sebelum semuanya bagaikan mati. Hal itu saya alami untuk beberapa detik.

Kesunyian itu berakhir apabila handphone saya berbunyi. Saya bangkit dan melihat nombor telefon kampung terpapar di skrin. Sempat terdetik, kenapa orang kampung call handphone, tak pernah-pernah. Sebelum-sebelum ini emak, ayah atau abang saya akan call talian di rumah saja.

Ternyata suara di hujung talian bukan suara emak, bukan ayah atau abang saya. Tetapi adik jiran sebelah rumah. Ringkas pesaannya, "Abang balik cepat... mama sakit!" Adik-adik jiran sebelah semua pangil emak dengan panggilan mama - mereka lebih manja dengan emak berbanding emak mereka sendiri.

Bila perkataan emak sakit itu saya dengar, sempat bertanya kepada diri sendiri, benarkah? Semalam emak sihat-sihat saja. Saya terus berkemas tanpa berkata apa-apa. Bila isteri saya bertanya, saya jawap mak sakit jom balik. Kemudian saya call kakak di Perak. Tak banyak info yang saya dapat selain dengar tangisannya.

Mungkin saya dah ceritakan kisah ini sebelumnya, yang mana sebenarnya emak sudah tak ada ketika saya mendapat panggilan tersebut. Saya cuma sekadar nak berkongsi betapa saya akan mengingati sesuatu setiap kali Aidiladha tiba. Mengingati akan kehilangan seseorang yang melahirkan, membesarkan saya. Sekadar nak berkongsi akan erti kehilangan, tidak kita kehilangan apa pun kerana sesuatu yang hilang itu biasanya akan kita selalu kenang.

Kehilangan sesuatu yang harus kita terima dengan redha, bukan dengan ratapan dan kesedihan nan berpanjangan. Memang saya akan sentiasa mengenang kehilangan emak. Biarpun saya sedih kerana tak akan dapat berjumpa dengan emak lagi, tetapi saya sentiasa mendoakan emak akan lebih bahagia di sana. Moga emak berada di jalan menuju kebahagian hakiki.

Saya kehilangan orang yang saya sayang, tetapi kasih sayang orang yang telah mati itu tak akan mati. Kasih sayangnya akan tetap hidup subur dalam diri saya, sehingga saya pula menutup mata bila tiba masanya kelak. Begitu juga dengan perpisahan dan kehilangan-kehilangan lain yang saya hadapi - saya tak pernah membunuh rasa kasih yang pernah saya semai. Saya akan menjadi begitu bodoh apabila membunuh sesuatu yang telah dengan susah payah saya semai.

Kehilangan sentiasa saya anggap sebagai simbolik, sebagai cermin atau malah sebagai petunjuk untuk sesuatu. Bohong kalau saya katakan tak ada rasa sakit apabila saya menghadapi kehilangan. Sakit itu akan cepat-cepat saya simpan kerana jika saya terus melayan kesakitan itu, maka saya akan BERTAMBAH SAKIT! Saya menjadikan formula; simpan dan hadapi sebagai penawar kepada kesakitan yang saya alami. Simpan sakit - saya simpan hal-hal yang boleh menyebabkan datangnya kesakitan. Saya hadapi - saya hadapi kenyataan, saya hadapi orang atau sesuatu yang menyebabkan saya sakit itu. Saya harus menyelami kenapa sesuatu itu menyakitkan saya.

Kesimpulannya; kita memang akan menghadapi kesakitan-kesakitan, cuma bila dan bagaimana saja yang membezakannya. Cara kita menghadapi dan menanganinya juga mungkin tak akan sama. Sebab itu kesakitan setiap di antara kita tak akan sama bagaimana rasa dan pedihnya. Kesakitan selain simboliknya untuk menjadikan kita kuat, ia mungkin sebagai medium untuk menyedarkan kita bahawa kita sebagai hamba ini apabila disakiti barulah mata kita akan terbuka luas untuk melihat realiti hidup dan kehidupan.

Untuk yang masih memiliki emak di muka bumi ini; jagalah mereka sebaiknya, terutama soal perasaan. Insya-Allah suatu hari nanti di antara kita akan menjadi seorang emak pula.

0 comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin