03 December 2007

Mencari Kekuatan

SAYA pernah sembang-sembang dengan seorang kawan, tentang rezeki dan kekayaan. Lalu saya katakan kepadanya, saya bersyukur kerana tak menjadi seorang yang kaya dengan harta benda serta wang ringgit - walaupun sebenar-benarnya saya terlalu ingin menjadi kaya! Saya tahu Tuhan tak memberikan anugerah kekayaan sebegitu kepada saya kerana ada sebab. Mungkin salah satu daripadanya kerana saya sudah banyak melihat orang-orang yang tak kaya kemudian menjadi kaya akhirnya menjadi lupa diri. Memang terbetik di dalam benak, saya takut hal seperti itu berlaku kalau saya menjadi kaya.

Hidup kita untuk melalui dugaan dan kita hidup untuk menerima dugaan. Kalau kita remehkan orang lain dan berkata hal yang dialaminya hanya hal kecil, itu sebenarnya kita lupa bahawa setiap manusia diberikan kemampuan yang berbeza. Kecil di mata kita, mungkin terlalu berat bahunya untuk memikul.

Saya mungkin sudah tak akan berkata, "Sabarlah dengan dugaan dan ujian ini..." kepada diri sendiri, kerana saya tahu sedalam mana sabar yang ada. Malah kepada adik-adik yang saya lihat sentiasa bergelumang dengan dugaan Maha Pencipta, pun tak lagi saya titipkan pekataan SABAR kepada mereka. Bukan kerana saya tak simpati, tak prihatin lagi... tetapi sebab saya tahu betapa SABARNYA adik-adik saya selama ini menghadapi apa jua. Lalu saya fikir, adalah lebih baik saya berkata sesuatu yang lain, yang mungkin boleh mengamankan perasaan mereka, yang mampu membawa mereka lebih redha kepada realiti hidup dan kehidupan, yang boleh memberitahu mereka bahawa mereka sentiasa bertuah berbanding orang lain.

Kita mungkin bosan dengan lingkungan kita yang 'bingit', yang menganggu ketenteraman jiwa kita. Tapi sebenarnya kalau kita amati, kebingitan itu mungkin mampu menjadikan telinga kita kebal kepada hal-hal lain yang boleh menyakitkan telinga serta hati.

Hidup dalam lingkungan yang ada macam-macam perangai memang akan menguji kesabaran. Sama ada ia mampu membuat kita 'meletup' atau rasa macam nak telan orang, atau... mungkin kita hanya sebak sendirian melayan hati yang terhiris. Kedua-duanya hanya mendatangkan impak dalaman buat kita sendiri, sedangkan orang lain yang membuat onar akan terus bersikap peduli apa dengan perasaan orang lain. Itu hakikat hidup dan kehidupan... dan itulah antara perangai makhluk bernama manusia!

Ada waktu mungkin kita harus mengalah dengan keadaan sebegitu, tetapi mengalah itu bukanlah bermakna kita kalah. Kita berundur atau melangkah bukan kerana hati luka dan pasrah dengan nasib, tetapi mencari kekuatan baru yang mungkin tak kita temukan lagi. Sesungguhnya setiap di antara kita ada kekuatan tersendiri untuk menghadapi apa jua, kerana Maha Pencipta telah menyediakan kita secukupnya sebelum kita lahir ke dunia ini. Hanya mungkin kita belum 'menemui' kekuatan itu, atau belum masanya lagi.

Untuk diri saya sendiri dan adik-adik... saya mungkin tak berkata SABAR tetapi hati saya sentiasa mendoakan agar kita semua tergolong dalam himpunan hamba-hamba-Nya yang SABAR...

2 comments:

  1. mudah2an masih lagi dapat menahan kesabaran :)

    ReplyDelete
  2. insya-Allah... Tuhan memberi sesuatu atas kemampuan hamba-hamba-Nya.

    ReplyDelete

Blog Widget by LinkWithin