23 November 2007

Kita Ibarat Benih


JANGAN pernah berasa malu dengan segala keterbatasan. Jangan berasa sedih dengan ketidaksempurnaan. Kerana Maha Pencipta, menciptakan kita penuh dengan keistimewaan. Dan kerana Maha Pencipta, memang menyediakan kita menjadi mahluk dengan pelbagai kelebihan.

Seperti benih pohon yang menyimpan segalanya. Menyimpan batang yang kukuh, dahan yang rendang, daun yang lebar, juga akar-akar yang kuat. Dan untuk menjadi sebesar pohon ini, ia hanya memerlukan angin, air, dan cahaya matahari yang cukup. Namun jangan lupa bahawa waktu yang membuatnya terus tumbuh membesar. Pada mereka semualah benih ini berterima kasih, kerana telah melatihnya menjadi makhluk yang sabar.

Pandanglah pohon besar. Tahukah kita, batangnya yang kukuh, dulu berasal dari benih yang kecil. Dahan, ranting, dan daunnya, juga berasal dari benih. Akar-akarnya yang tampak menonjol, juga dari benih kecil. Dan kalau kita menggali tanah, ketahuilah, sulur-sulur akarnya yang menerobos tanah, juga berasal dari tempat yang sama.

Mungkin suatu ketika, kita pernah berasa kecil, tak mampu, tak berdaya dengan segala persoalan hidup. Kita mungkin sering bertanya-tanya, bila kita akan menjadi besar, dan mampu menggapai semua impian, harapan, dan keinginan yang ada di dalam dada. Kita juga boleh jadi sering membayangkan, bilakah saatnya berhasil? Bilakah saat itu akan datang?

Kita ibarat benih kecil. Benih yang menyimpan semua kekuatan dari batang yang kukuh, dahan yang kuat, serta daun-daun yang lebar. Dalam benih itu pula akar-akar yang keras dan menghujam itu berasal. Namun, akankah Maha Pencipta membiarkan benih itu tumbuh besar, tanpa alpa dengan bantuan tiupan angin, derasnya air hujan, dan teriknya sinar matahari?

Begitu juga kita, akankah Maha Pencipta membiarkan kita besar, berjaya, dan sukses, tanpa pernah merasakan ujian dan cubaan? Akankah Maha Pencipta lupa mengingatkan kita dengan hembusan angin 'masalah', derasnya air 'ujian', serta teriknya matahari 'persoalan'? Tidak! Kerana Dia Maha Tahu, bahawa setiap hamba-Nya akan menemukan jalan keberhasilan, maka Maha Pencipta akan tak pernah lupa dengan itu semua.

Jangan pernah berkecil hati. Sesungguhnya semua keberhasilan dan kesuksesan itu telah ada dalam diri kita.

0 comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin