13 January 2009

Bila Tiba Waktunya...

Salam bersua kembali!

Agak lama saya tinggalkan blog ini - entah ada entah tidak yang mengunjunginya lagi. Mungkin saja setiap kali ke sini tak ada apa-apa yang baru, lalu mereka bosan dan tak pernah kembali lagi!

Seperti dahulu juga, saya tak mahu memberikan apa-apa alasan kenapa saya biarkan blog ini seperti sebelumnya, dan kenapa pula tiba-tiba saya menulis semula. Kadang-kadang sesuatu itu tak perlukan penjelasan apa-apa - biarkan saja.

Tahun 2009 juga sudah masuk minggu kedua, jadi tak perlulah saya ucap selamat tahun baru di sini - biarkan saja. Kerana, apa yang bakal mendatang haruslah kita tempuhi walau bagaimana keadaan sekalipun. Walau sesuatu yang tak kita kehendaki, andai ia datang jua mampukah kita untuk lari? Dalam hidup dan kehidupan hakikatnya tak guna kita melarikan diri kerana andai kita lari pasti akan ada hal lain yang datang juga menghampiri diri kita. Sebenarnya, sudah ditetapkan bahawa kita harus melalui satu-satu hal pada sekian-sekian masa.

Sembilan tahun lalu emak saya pergi buat selama-lamanya... dan penghujung 2008, pada perkiraan tahun hijrahnya hanya berselang tidak berapa lama, nenek dan makcik jiran sebelah rumah pula yang dijemput pergi.

Kalau dahulu, saya tak sempat bertemu emak pada saat akhir beliau. Yang saya tahu emak sihat dan pergi mengejut. Walau saya tak dapat bertemu dalam masa terdekat sebelum kepergiannya, saya panjatkan kesyukuran kerana emak pergi dalam keadaan yang 'mudah'.

Nenek, tidak sedarkan diri selama tiga hari. Ketika saya singgah melawatnya, nenek hanya tidur. Cuma kelihatan dadanya berombak tanda masih bernafas. Wajahnya bersih. Seperti juga arwah emak ketika saya buka kain penutup jenazah, saya lihat emak senyum. Sebelum pulang saya rapati nenek yang tidur dan saya cium dahinya, saya usap rambut nenek yang masih banyak hitam berbanding putih walau usia sudah melebihi 90 tahun.

Kemudian saya pulang ke rumah ayah di daerah lain. Selain nak menjenguk abang saya, saya juga ingin melawat makcik sebelah rumah yang khabarnya kurang sihat ketika itu. Esok petangnya saya terima khabar makcik sebelah rumah dah pergi buat selamanya. Kemudian, tengah hari hari kemudiannya nenek pula menyusul. Al-Fatihah buat semua yang telah pergi lebih dahulu. Kita... saya dan kamu yang masih tinggal ini harus meneruskan kehidupan sehingga waktunya cukup.

Mudah-mudahan selepas ini saya mampu untuk mengisi ruang di sini tanpa sebarang alasan pun. Wassalam....

0 comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin