10 February 2009

Warkah Untuk Puteriku (SATU)


Salam wahai anakanda puteriku…
Aku harap kamu sihat sejahtera, berasa bahagia dengan apa adanya diri kamu ketika ini. Malah aku sentiasa berharap dan mendoakan kebahagian kamu di dunia hingga akhirat kelak. Kerana kamu puteriku, hanya itu yang sentiasa aku harapkan. Hanya itu yang sentiasa aku pohonkan kepada Maha Pencipta.

Puteriku…
Sama ada aku sedar atau tidak, mahu atau tidak menerima hakikat kini kamu sudah belasan tahun. Sudah memiliki kehidupan sendiri, sudah ada impian di hati, sudah ada ambisi tentang hidup dan kehidupan yang seterusnya. Aku sebenarnya cukup kesal atas apa yang berlaku, yang membuat kita tak dapat mengulangi detik-detik indah bersama. Takdir yang ‘memisahkan’ kita ini suatu hakikat dan harus diterima sepahit mana pun rasanya, sepedih mana pun sembilunya menghiris.

Kita bagai menjadi orang asing, mencari siapa diri masing-masing kemudian cuba mencari di mana tempat kita seharusnya berada. Di mana aku di dalam hatimu, wahai puteriku? Dan, aku juga tahu kamu bertanyakan soalan yang sama – di mana tempatmu di dalam hatiku.

Kita tidak tahu di mana kita berada, bukan?

Kita sesat dalam pencarian ini, lalu kita harus meredah apa saja yang ada dan datang tanpa ada sebarang bekalan serta pengalaman. Kita lalui mengikut rentak dan keadaan, berdasar logik semasa. Hal-hal sebegini sering membuat pandangan dan pendapat kita bergeseran lalu mencetuskan api dingin di dalam benak masing-masing.

Puteriku…
Aku hanya mempunyai kenangan lampau bersama kamu. Aku fakir kenangan-kenangan itu mampu menjadi modal untuk aku raih kenangan manis bersama kamu. Namun, hakikatnya tak begitu. Kenangan itu hanya melekat di hatiku, dan tidak di hatimu. Malah, aku tahu kamu hampir langsung tidak menyimpan kenangan-kenangan bersamaku. Segalanya bagaikan lenyap bersama kedewasaanmu. Apalah dayaku… aku tak punya kuasa apa-apa untuk mengembalikan segala kenangan itu. Mungkin juga kamu tidak berminat untuk menyimpan kembali memori yang hilang itu. Kamu mungkin lebih suka dengan memori-memori baru yang kamu ciptakan sendiri.

Apa yang cukup-cukup aku takukan suatu masa dahulu, rupanya mejadi kenyataan. Dahulu aku merasakan akan kehilangan kamu walau hakikatnya jarak kita tak sejauh mana pun. Aku cuba terus yakinkan diri bahawa kamu akan sentiasa ada, sebagaimana aku meyakinkan kamu bahawa ‘ayah sentiasa ada’. Namun masa merubah segalanya, sekaligus mengikis sedikit demi sedikit kewujudan kamu di mata hatiku. Aku sedar dan dapat melihat dengan nyata hakisan-hakisan itu. Dan, hari ini aku memang telah benar-benar yakin bahawa kamu ‘hilang’ dari kehidupanku. Ada rasa ‘dendam’ di benak kamu yang membuat kamu ‘membuang’ segala kenangan. Rasa amarah, rasa tidak puashati itu menjadikan kamu semakin terlepas dari dakapanku.

Kamu tak tahu kenapa kamu begitu, bukan? Kamu hanya melakukan sesuatu atas perintah naluri, atas desakan perasaan. Pujukan-pujukan ketidakpuashatian itu akhirnya merosakkan dan memunahkan segalanya. Ibarat retak menanti belah – bagai kaca terhempas ke batu… berkecai! Jangan kamu kata hati kamu saja yang berkecai, hatiku juga remuk menahan rempuhan-rempuhan dendammu.

Wahai Puteriku…
Sebagaimana kamu tidak tahu mengungkapkan perasaan api dingin itu, begitu juga aku. Kita lepaskan mungkin tidak kena pada cara dan tempat. Walaupun dingin ia tetap api! Walau dingin ia tetap mambakar! Membakar jiwa kita. Apa yang tinggal kini hanyalah kenangan tanpa memorinya, bayangan tanpa imejnya dan… kasih tanpa sayangnya!

Apa yang dapat aku lakukan untuk menebus kesilapan dan kealpaan lampau adalah mengikut ke mana saja rentakmu. Namun, rupanya hal itu juga tak mampu meraih kembali kamu ke sisiku. Lalu, apa mahumu, wahai puteriku?

Sampai bilakan dendammu akah berakhir? Dendam itu hanya merosak hidup dan kehidupan kamu. Kamu menjadikan kesilapan-kesilapanku pada masa lalu sebagai alasan untuk melakukan apa saja tindakan – yang pasti pada pandangan matamu tindakan melepas tekanan namun padaku ia tindakan bodoh yang hanya menghancurkan hidup sendiri! Kamu puas kerana aku melihat ‘kerosakan’ yang kamu lakukan terhadap diri sendiri? Itulah satu-satunya kesilapan paling besar yang telah kamu lakukan. Dengan alasan dendam itu akhirnya kamu telah menjadi ‘seronok’ dan ‘suka’ dengan perbuatan-perbuatan bodoh itu. Kamu tetap beralasan dendam sedangkan pada hakikatnya itu hanya sekadar alasan untuk menutupi salahmu yang kamu sendiri tahu.

Puteriku…
Hanya ini yang dapat aku titipkan buat kamu. Mudah-mudahan kamu membacanya, memahaminya dan berfikirlah serta cari apa yang kamu mahukan dalam hidup dan kehidupan ini. Pada sisa-sisa usia yang ada, dalam keadaan serba kekurangan ini aku bukan berputus asa atau berhenti untuk menyayangi kamu. Aku cuma berasa perlu melakukan sesuatu yang lain agar tiada kesakitan yang amat sangat akan kita rasai. Agar api dingin tak semakin memarak dan membekukan kita dalam luapannya.

Satu perkara yang kamu tak akan dapat nafikan dan memang dapat kamu rasakan bahawa aku tetap sayangkan kamu sebagai puteriku, dunia akhirat. Aku tahu kamu membakar aku dengan api dinginmu, tetapi kamu tetap datang untuk cuba memadamkannya. Dan, aku juga tahu bahawa sejauh mana kamu lari, akhirnya jalan pelarian kamu itu tetap bergarisan akhirnya di depanku. Aku tahu bahawa kamu juga tahu semua itu.

Salam kasih sayang untuk Puteriku…
Daripada Ayahanda.
Wassalam.

0 comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin