05 February 2009

Demi Masa, Kehilangan, Keterpaksaan, Peribadi & Boikot!


Salam untuk semua. Pejam celik pejam celik, kaki sudah pun menginjak bulan ke 2 tahun 2009. Pastinya ramai yang berkata, cepat benar masa berlalu. Begitulah fenomena yang kita lalui pada setiap tahun berganti dan terus berganti, sehingga kita menutup mata. Entry terakhir saya sebelum ini bertarikh 18 Januari 2009 – itu adalah tarikh lahir anak dara saya yang ke 2. Pejam celik pejam celik dia sudah mencecah usia 9 tahun.

Saya mengimbau, mengundur masa cuba mengingati bagaimana keadaan saya ketia usia 9 tahun (bertahun-tahun nan lalu!). Kehidupan anak saya dan saya berbeza – yang ketara persekitaran kami dibesarkan berbeza. Kehidupan kampung dan ketika itu yang tak secanggih hari ini meletakkan tahap pemikiran antara dua generasi ini berbeza. Ketika saya bertanya, “Nak hadiah apa untuk birthday?” kepada anak saya, dia senyum sambil mengungkapkan senarai yang diingininya. Kemudian seingat saya, ayah saya tak pernah bertanya soalan seperti itu. Mungkin dia tak peduli, malah saya pun tak peduli juga tentang tibanya hari lahir saya. Budaya dua generasi yang berbeza, bukan?

TAK SEMUA YANG KITA SUKA AKAN KITA PEROLEHI: Memang, itu hakikat hidup dan kehidupan kita sebagai manusia. Kalaulah semua yang kita ingini itu kita perolehi, rasanya kita bukan lagi hidup di alam fana. Sekali lagi saya membawa diri mengundur ke tahun-tahun akhir persekolahan peringkat menengah. Rasanya banyak juga saya bertukar-tukar sekolah dan situasi itu bila saya fikirkan kembali sekarang ini banyak mempengaruhi konsentrasi pembelajaran saya. Ini bukan alasan, tapi apa yang saya rasai.

Saya bermula dengan tadika – kalau tak silap saya masuk tadika cuma tiga bulan. Tak tahu kenapa sebab tak tahu kepada siapa hendak saya tanyakan. Hal itu pun kakak saya yang beritahu kerana ketika itu dialah yang menghantar saya ke tadika. Kemudian masuk darjah 1. Saya di sekolah ini sampai darjah 2 sahaja, darjah 3-6 saya bertukar sekolah kerana ikut keluarga berpindah. Kemudian masuk sekolah menengah, tingkatan 1-3. Masuk tingkatan 4 kena tukar sekolah lagi sebab sekolah sebelum ini ada takat tingkatan 3 sahaja. Kemudian saya ‘malas’ untuk meneruskan persekolahah kerana mengejar apa yang saya minati dan kemudiannya saya perolehi. Namun bertahun-tahun selepas itu, saya berasa ada kesilapan yang saya lakukan ketika awal-awal membuat keputusan untuk ‘mengejar sesuatu’. Apapun, segalanya sudahpun berlaku dan berlalu, tak ada apa yang harus saya kesalkan, malah tidak pula menyalahkan takdir andai kehidupan hari ini tak seindah impian.

Satu-satunya yang boleh memujuk dan memadam rasa bersalah dan buat silap itu adalah dengan mengatakan bahawa apa yang saya perolehi selama ini sebenar-benarnya tak diperolehi oleh orang lain. Apapun takdir yang kita lalui harus kita terima – sama ada suka atau tidak.

KALAU TAKDIR MENENTUKAN, TERIMA SAHAJA SESUATU SAMA ADA KITA SUKA ATAU TIDAK. Ya, itulah yang harus kita lakukan. Sebenarnya ini adalah sebahagian daripada subjek yang harus kita pelajari di universiti kehidupan. Subjek-subjek yang penuh dengan ketidakselesaan, kesilapan, dosa dan yang seumpamanya. Kita mempelajarinya dengan teori dan praktikal! Banyak hal yang datang tidak kita sukai, tetapi itulah yang harus dihadapi.

Seseorang pernah berkata kepada saya, “Saya tak suka dia, saya tak boleh terima dia walaupun dia kata dia cinta setengah mati kat saya.” Ini soal perasaan dan cukup komplikated untuk dihuraikan kerana hanya yang mengalami saja yang merasainya. Lalu saya balas, “Kalau tidak menjadi kesalahan, awak boleh belajar menerimanya. Mungkin Tuhan memang menghantar dia sebagai jodoh awak.” Berkali-kali dia kata tak boleh dan berkali-kali juga saya suruh dia terus mencuba setakat kemampuannya. Mungkin memang benar itulah jodohnya kerana mereka bakal diijab-kabul tak lama lagi.

Saya tak pernah lupa ungkapan cikgu saya dahulu, katanya dalam kehidupan kita ini penuh dengan keterpaksaan. Kerana keterpaksaan itulah yang membuat kita terus hidup. Katanya lagi, kita terpaksa belajar kerana tak mahu dikata sebagai orang bodoh. Kita terpaksa makan kerana tak mahu kelaparan….

MASA BERLALU, ADA YANG KITA PEROLEHI ADA PULA YANG HILANG DARI KEHIDUPAN KITA. Masa merubah sesuatu, seseorang – walau bukan merubah sesegalanya! Sesuatu yang kita harapkan kekal begitu mungkin sekadar impian yang berlalu pergi. Semua orang mahu kekal muda remaja – menikmati kehidupan horey-horey! Tapi hakikatnya, kulit kita semakin berkedut dan mengendur. Banyak perkara yang dahulu boleh kini tidak lagi – bukan tak nak tetapi hukum kehidupan telah menetapkannya begitu, bahawa satpai suatu ketika suatu masa, sesuatu itu tak akan dapat kita nikmati lagi.

Melihat anak-anak membesar dan terus membesar dalam zaman yang jauh bezanya dengan zaman kita kadang-kadang terlintas di fikiran, alangkah baiknya kalau anak-anak kekal sebagai baby comel montel. Kita tak perlu risau dengan sejuta satu macam pengaruh yang mungkin saja memerangkap anak-anak kita ini. Ada waktu kita memang berada bersama anak-anak yang semakin remaja, tetapi hakikatnya kita ‘kehilangannya’. Dia semakin jauh terpisah dari apa yang kita ingini sehingga kadang-kadang kita pula yang bertanya, sejauh mana hak kita terhadap kehidupan anak-anak?

MAAF, LAMA TAK UPDATE BLOG INI! Bukan tak ada apa-apa yang mahu saya tuliskan di sini – saya tiada alasan apa-apa kerana tidak update blog ini. Saya rasa blog ini tak ramai pengunjungnya, kerana tak ada apa-apa yang istimewa di dalamnya. Isinya biasa-biasa. Banyak orang menulis hal peribadi di blog mereka, kerana blog itu adalah hak mereka dan mereka boleh tulis apa saja. Tapi bagi saya, kalau namanya peribadi tak perlulah dikongsi-baca satu dunia! Atau istilah peribadi itu berlainan maksud kepada orang lain.

Hakikatnya kita orang Melayu ini memang cukup suka membaca atau mendengar kisah orang lain. Ntahlah, prihatin atau busy body, ya? Tapi kadang-kadang kita ini yang bodoh kerana membodohkan diri bercerita sesuatu yang peribadi kepada seluruh dunia melalui blog. Pada pemahaman saya ‘perbadi’ itu adalah sesuatu yang hanya kita sahaja yang perlu tahu. Atau orang lain yang ‘terlibat’ dengan hal peribadi kita itu. Sebagaimana rahsia juga – rahsia adalah hak kita sahaja. Kalau sudah kita khabarkan kepada orang kedua, ia bukanlah rahsia lagi.

Apapun, terserah jari masing-masing nak menaip kisah apa pun di dalam blog masing-masing, kan? Mudah-mudahan kita tidak ditertawakan kerana ‘kebodohan tanpa sedar’ itu. Atau, mungkin ada saja yang celupar mulut dengan mengatakan kita memaparkan ‘kisah murahan’.

INI BUKAN KISAH MURAHAN, TETAPI KISAH MENYEDIHKAN. Boikoi! Boikot Israel, boikot barangan Israel! Mungkin saya ketinggalan bercerita tentang ini, kerana Israel dan tak mengebom Gaza buat masa ini. Saya cari sedikit sebanyak sumber dan sejarah di Palestin itu. 1948 Israel dengan selamba tubuh Negara secara haram kat tanah Palestin. Mereka ini kira pendatang tanpa izin @ PATI lah! US dan Britain sokong mereka tubuh negara Israel. Sudahnya pendatang tanpa izin ini dapat tanah dan kawasan labih banyak berbanding penduduk Palestin sendiri.

Saya melintas di salah sebuah restoran makanan segera yang diboikot oleh orang ramai. Di dindingnya ada notis penafian tentang kononnya restoran itu menyokong Israel. Pekerja Melayu Muslimnya sekitar 8000 orang di seluruh Malaysia tercinta ini. Adakah kamu, adik kamu, kakak kamu, abang kamu, kekasih kamu atau kawan-kawan kamu yang termasuk dalam 8000 orang itu? Yang saya lihat, restoran itu tetap ada pengunjungnya – seperti biasa-biasa sahaja.

Kemudian saya bertemu dengan seorang abang. Entah macam mana tersebut pasal boikot ni. Dia memang fanatik! Habis semua anak-anaknya tak dibenarkan membeli barangan yang ada dalam senarai yang harus diboikot itu. Saya cuma senyum lalu berkata, “Bila abang nak boikot rokok tu bang?” Dia cuma gelak dan menjawap, “Yang ni payah la nak boikot!”

APA KATA, MULAI HARI INI KITA BOIKOT ROKOK! Kerana kalau kita tak didik diri boikot benda kecil macam rokok tu, macam mana kita nak boikot bangsa yang bijak dan sombong itu? Mereka memang bijak dan praktikal.

1 comments:

  1. Hahahahaa.. Gua memang suka stail serta idea penulisan bro..
    Ramai pengunjung atau tidak, itu bukan menjadi pokok-pangkalnya.. Yang gua tahu, gua adalah salah seorang yang meminati idea bro..

    Kelaziman bagi manusia itu untuk mengambil tahu kisah orang lain bro.. Ataupun itu adalah retorik bagi budaya melayu?.. Biarlah mereka dengan labu-labu mereka.. Bro tetap hebat dengan stail bro..

    Sejak Blues Selamanya muncul sampailah ditamatkan, gua selalu baca kolum bro..

    Kerana kita perlu kesabaran untuk diterima.. bukannya memaksa untuk menerima betul tak bro?.. InsyaAllah idea bro akan diterima oleh masyarakat sebagai ilmiah yang berguna satu hari nanti.. Jangan putus asa untuk menulis..!!

    ReplyDelete

Blog Widget by LinkWithin