07 January 2010

2010 : Lawak Antara Benua



SALAM... 2010 ni saya berasa ingin menjadi seorang yang rajin update blog ini. Kasihan sungguh dengan blog ini yang tak berapa terjaga - hidup segan mati pun tak mahu. Mudah-mudahan saya sentiasa ada masa untuk melayani jari-jemari menari di atas papan kekunci.

Nampak gayanya, 2010 ini saya harus meneruskan 'kepenatan' yang sedia ada - melayani date(dead!)line keluaran demi keluaran APO?. Menghadap rutin yang serupa, situasi yang sama dan setiap detik sebenarnya amat berharga. Tetapi sampai bilalah agaknya saya harus stress, migrain, tertekan dan berasa seolah ketidakcukupan masa? Masa yang bergerak terlalu pantaskah atau sayakah yang bergerak semakin perlahan?

Apa yang saya perlu lakukan sekarang adalah pengurusan masa yang lebih baik, penyusunan kerja dan aktiviti dengan lebih kemas. Namun sebenarnya kehidupan kita adalah berkait dengan kehidupan orang lain. Memang benarlah kita bukan dan tak boleh hidup sendiri di muka bumi ini. Dan, ada satu hakikat yang cukup saya fahami - walau secantik mana sekalipun saya mengatur masa dan menyusun segala yang ingin saya lakukan, namun akan tetap bertaburan juga sekiranya orang di sekeliling tidak menghormati 'masa' yang mereka ada, apatah lagi 'masa' orang lain.

Saya teringat kata-kata seseorang suatu masa dahulu, katanya, 'undang-undang dicipta untuk diingkari!' Mungkin ketika itu saya tak pernah mendalami akan maksud tersirat sehingga saya berasa ungkapan itu merupakan satu kenyataan. Bagaimana? Ya, sebenarnya setiap orang pernah melanggar apa yang dianggap sebagai undang-undang, atau janji atau yang seumpamanya sehingga apabila sudah terlalu biasa begitu, kita tak pernah menganggapnya sebagai satu kesalahan. Atau kalau rasa bersalah sekalipun, cukuplah dengan meminta maaf dan kemudian melakukan hal itu lagi, dan lagi... dan lagi!

Tak ada sesiapa yang sempurna, tetapi setiap orang harus berusaha untuk mencapai kesempurnaan semaksimum yang boleh. Atau, sekurang-kurang berusaha untuk menyempurnakan kesempurnaan yang orang lain inginkan, yang mungkin suatu masa nanti kita pula yang memerlukan orang lain untuk menyempurnakan kesempurnaan kita.

Tepuk dada tanyalah hati!

0 comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin