21 January 2010

Kita Akan Memulakan Dari Kosong


Salam sejahtera ke atas sekalian yang ada. Moga sentiasa diberkati dan di bawah lindungan-Nya. Moga kalian beroleh segala kebaikan dunia akhirat. Alhamdulillah... Majalah Lawak Antara Benua keluaran 266 selesai sudah setelah memulun dengan penuh kesengalan jiwa raga. Nama pun Antara Benua, kan? So, memang sebenua jugak lah dugaannya. Tak apalah, itu tugas yang dipikul bukan beban yang menyusahkan. Mudah-mudahan peminat, pengikut dan pembaca APO? semakin dekat di hati. Lagi bagus kalau melekat!

Apa nak cerita? Apa yang menarik? Hum, Jumaat lepas saya solat di Masjid Terapung Puchong Perdana. Park motor di tempat biasa yang disediakan. Selesai solat, tengok-tengok side mirror kiri hilang! Dah la hilang, setan yang amik tu main kopak sampai terkopak sebahagian handle motor. Orang lain solat Jumaat ada setan yang jahanamkan, malah mencuri motor! Hal yang hampir serupa berlaku juga dua tahun lepas. Cuma ketika itu malam ketika solat terawih. Yang ni pun lagi jahanam punya perangai.

Apapun, terima kasih kepada Tuan Nazir yang melayani SMS saya, apabila saya menadu akan hal tersebut. Memang nampak pengurusan masjid yang ada sekarang lebih prihatin, aktif dan lebih banyak aktiviti. Mudah-mudahan berkekalan dan lebih meriah lagi.

Beberapa minggu lalu, terserempak dengan bekas Ketua Pengarang tempat kerja lama saya. Terakhir terserempak dengannya sekitar empat lima tahun lalu. Ketika itu tak sempat sembang apa, berselisih dan sekadar tanya khabar. Sempat sembang sejam dua jugak sambil pekena tah tarik. Apa yang dia rasa, hampir sama dengan apa yang ada dalam benak saya. Dia buat kenyataan - 'kita ni salah pilih bidang'. Ya, mungkin ada kebenaran di situ - tapi ini bukan satu penyesalah, cuma hakikat bidang ini tak mungkin tak menjanjikan 'keindahan' yang berkekalan. Harus ada 'jalan' lain untuk menyeimbangi kehidupan.

Seperti saya, dia juga semacam memulakan kembali kehidupan daripada kosong! Apa yang saya lihat dan alami umpamanya seperti ini - ibarat kita bermain permainan video atau yang seumpamanya. Kita akan melalui tahap demi tahap sehinggalah tahap yang akhir, di mana tak ada lagi tahap seterusnya. Dan... jika kita ingin bermain lagi kita harus memulakannya dari awal... dari kosong!

Kami sembang juga tentang 'nilai' dan 'harga' dalam bidang ini. Baik kartun, komik, ilustrasi dan artikel - berapakah perbezaan sekaligus peningkatan harga sekarang sejak 20 tahun lalu? Kalau dulu RM50 mungkin sekarang RM100. Perbezaan RM50 dalam temboh dua dekad? Kejam tak? Dan mari kita renungkan 'nilai' RM50 tahun 1990 dengan RM50 sekarang ini. Jadi saya sendiri tak boleh melakukan apa-apa sebab inilah hakikat sebenar bidang ini. Angka kelihatan meningkat, tetapi nilainya semakin susut! Salah siapa sehingga jika kita masih berada di dalam bidang ini ibarat telur di hujung tanduk? Saya tak menyalahkan takdir kerana terpaksa memulakan sesuatu dari kosong semula. Apa yang saya fikirkan mudah-mudahan saya kuat untuk buat kerja yang saya pernah lakukan sekitar 20 tahun lalu.

Apapun, syukur saja dengan apa adanya. Dan, hidup mesti terus!

Menanti dan mengharap sesuatu itu lumrah. Setiap di antara kita, akan ada masa dan ketika melalui saat-saat seperti itu. Tidak kira apa pun yang kita nanti dan harapkan. Kadang-kadang dalam keadaan terdesak, tersepit, tertekan harapan kita lebih sakit andai yang dinanti tak muncul-muncul! Sebab itu agaknya, penantian suatu penyiksaan... namun, setiap di antara kita tetap mahu juga menanti, walaupin ia tak pasti hadirnya. Tak apa, itu semangat namanya!


0 comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin